|
Kata Fasha lagi, selain ada waktu kelapangan, dia bersedia berlakon telefilem Dengan Nama Cinta kerana ingin bekerja di bawah arahan Osman Ali.
Lagipun kata Fasha, watak ustazah Najihah yang ditawarkan untuknya cukup mencabar kerana sepanjang berlakon dalam filem, dia belum berpeluang membawa watak sebegitu.
``Saya terima tawaran Osman Ali kerana watak ustazah Najihah menarik dan lagipun saya teringin bekerjasama dengan Osman sebab saya suka hasil kerjanya,'' jelas Fasha.
Selain faktor pengarah, Fasha juga ingin menguji kredibilitinya sebagai pelakon telefilem.
Jelas Fasha, telefilem tersebut ibarat platform untuk dia terus melangkah lebih jauh lagi dalam lakonan drama.
``Telefilem itu benar-benar satu ujian sebab saya tidak pernah berlakon telefilem.
``Tapi saya bernasib baik sebab dapat kerjasama daripada semua pelakon dan tunjuk ajar daripada pengarah,'' cerita Fasha.
Selepas telefilem Dengan Nama Cinta disiarkan, Fasha mendapat tawaran berlakon drama tidak henti-henti.
Bagaimanapun, Fasha lebih senang mengambil sikap selektif bagi memastikan penampilannya tidak stereotaip.
``Saya hanya akan berlakon dalam sesebuah drama, VCD atau filem jika watak yang ditawarkan berbeza.
``Sebagai artis, saya tidak mahu dilabel pelakon statik. Pembawakan pelbagai watak sekali gus membantu saya untuk meningkatkan lagi mutu lakonan,'' katanya terus terang.
Sehubungan itulah Fasha Sandha yang bakal muncul menerusi filem Bintang Hati, Shhh!... The Movie (SH3) dan Berlari Ke Langit tahun depan berharap peminat dapat menilai lakonannya.
``Kalau tengok filem yang bakal ditayangkan macam bertindih tapi watak utama saya hanya menerusi filem SH3 dan Berlari Ke Langit sahaja.
``Kedua-dua watak yang saya bawa berbeza. Jadi tidak akan berlaku pengulangan. Cuma saya bimbang orang jemu tengok wajah saya,'' katanya sambil tersenyum.
|