|
Fasha mengakui bahawa apa yang menggembirakan dia tentang hubungan itu adalah kedua-dua mereka tidak terlalu terburu-buru melangkah ke alam percintaan. Bagaimanapun kata Fasha lagi, dia akan menerimanya jika persahabatan itu kelak mungkin bertukar menjadi cinta. Itu kerana jejaka yang bertugas dalam bidang produksi itu sememangnya memiliki ciri-ciri lelaki idamannya.
``Kami mempunyai banyak persefahaman antara satu sama lain dan dia juga saling memberi tunjuk ajar kepada saya tentang selok-belok dunia hiburan ini,'' kata Fasha lagi.
Kedengarannya cinta mula mendekati artis itu tetapi Fasha tetap menafikannya. Begitu juga sama ada hubungan itu mampu pergi jauh kata Fasha, dia akan menyerahkannya kepada takdir dan tidak ingin terlalu memikirkan perkara itu.
Tumpuan utamanya kini tentu sekali memberi perhatian kepada dunia lakonan dan modeling yang diceburi. Apatah lagi dengan populariti yang berjaya diraih sebelum ini ingin dipergunakan sepenuhnya untuk mencipta nama dalam bidang itu.
Berbanding dengan pelakon baru lain, model Fair & Lovely itu sememangnya cukup bertuah kerana penampilannya meraih perhatian termasuk penerbit filem.
Pada masa ini dia menanti dengan penuh debaran tayangan tiga filemnya iaitu Bintang Hati, Berlari Ke Langit dan Shhh... The Movie.
Dua daripada filem tersebut menampilkan dirinya sebagai watak utama dan perkara itu menjadikan dia lebih cemas terutamanya untuk menanti maklum balas peminat filem.
Begitu juga setiap watak dalam filem itu menampilkan karakter yang berbeza kata Fasha tetapi artis itu memberitahu dia melakukan yang terbaik untuk menjiwainya.
Fasha diperkenalkan ke layar perak dalam filem Black Maria pada pertengahan tahun lepas. Walaupun persembahannya kurang menyerlah dan mengakui kelemahan menjiwai watak tersebut Fasha tetap bersyukur kerana mempunyai peluang lain selepas itu.
``Sebagai orang baru, saya mengakui sentiasa berharap untuk menerima tunjuk ajar daripada semua pihak termasuk pengarah. Memang masih terlalu banyak yang harus saya pelajari dan pada usia yang masih muda inilah saya akan berusaha,'' katanya.
Selain daripada filem Fasha turut memberi tumpuan berlakon di TV jika tawaran yang diterimanya menarik. Bersempena Hari Raya yang lepas Fasha muncul di TV dalam telefilem Dengan Nama Cinta arahan Osman Ali.
Walaupun sebelum ini sering menolak untuk berlakon di TV, kata Fasha dia menerima Dengan Nama Cinta kerana ia diarahkan oleh pengarah muda berbakat.
``Memang tidak rugi saya berlakon di bawah arahan Osman Ali kerana dia banyak memberi tunjuk ajar dan saya didedahkan kepada dunia pengarahan dengan baik sekali,'' cerita Fasha.
Jika tidak ada aral melintang kata Fasha kemungkinan besar dia akan ke lokasi filem pengarah itu lagi pada tahun depan. Dalam soal tawaran berlakon, Fasha mengakui dia agak memilih dan menetapkan dirinya untuk berlakon berdasarkan kualiti bukan kuantiti.
``Sebab itu saya terpaksa menolak banyak drama dan telefilem VCD kecuali ia benar-benar menarik,'' tambahnya. Lagipun kata Fasha, dia ingin menumpukan perhatian dalam satu-satu bidang dahulu dan tidak mahu bersikap tamak.
''Saya kenal siapa saya. Kalau buat satu kerja mesti perlu habiskan dahulu sebelum ambil kerja yang lain. Saya tidak mahu kegagalan memberi komitmen merosakkan mutu kerja saya kerana saya ingin lama dalam bidang ini,'' jelasnya.
Selain laris di layar perak, Fasha juga menerima banyak tawaran berlakon di iklan TV di dalam dan luar negara.
''Itu adalah rezeki saya dan saya ingin menggunakan sepenuh peluang ini,'' tambahnya.
Fasha membabitkan diri dalam dunia modeling pada usia 17 tahun selepas tamat persekolahan. Wajah yang komersial dan klasik itu nyata membawa tuah untuk dirinya kini
|