|
Meskipun impiannya itu masih lagi jauh, namun Fasha yakin suatu hari nanti peluang untuknya ke dunia perfileman Indonesia akan dimiliki.
Sementara itu, kata Fasha, dia perlu memperkukuhkan kerjayanya dalam dunia perfileman tempatan.
``Saya perlu berusaha membuktikan bakat saya sebagai pelakon serba boleh di sini. Untuk itu, saya perlu meneliti dulu setiap watak yang ditawarkan kepada saya.
``Walaupun saya masih dikatakan orang baru dalam bidang ini, namun saya perlu berhati-hati. Bukan memilih, tapi saya perlu menjaga nama,'' kata Fasha yang turut mendapat tawaran berlakon filem Dayang.
Dalam filem Dayang, terbitan Media Approach yang akan memulakan penggambaran April nanti, Fasha diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama.
Meskipun Fasha boleh dikategorikan sebagai pendatang baru, namun dia adalah artis baru yang bertuah kerana sehingga kini sering ditawarkan berlakon watak utama.
Antara watak utama yang pernah dipegang oleh pelakon yang berasal dari Pulau Pinang itu ialah filem Berlari Ke Langit, Shhh...!The Movie (SH3) dan telefilem Dengan Nama Cinta.
Selain filem, baru-baru ini Fasha juga diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama untuk drama bersiri Sutera Bintang Yang Seribu, arahan Ismail Yaacob yang diterbitkan oleh Ardwerk Production.
Tegasnya, salah satu faktor yang mendorong dia menerima tawaran tersebut kerana ia berkisar tentang dunia remaja yang mewakili dirinya.
Lagipun kata Fasha, dia tidak menghadapi masalah untuk membawa watak yang diserahkan kerana watak Sutera yang diberikan kepadanya adalah gadis remaja seperti dirinya.
``Saya bukan sekadar membawa watak yang seusia dengan saya, malah mewakili golongan remaja yang lain. Drama ini banyak memaparkan tentang kehidupan dan permasalahan remaja,'' katanya yang suka dengan jalan cerita drama tersebut.
Dalam drama itu Fasha sekali lagi bergandingan dengan Jehan Miskin. Sebelum ini mereka pernah dipertemukan dalam telefilem Dengan Nama Cinta. Lain-lain pelakon yang menjayakan drama Sutera Bintang Yang Seribu ialah Nasir Bilal Khan, Betty Benafe, Shaharudin Thamby, Pushpa Narayan, Estelle Looi Mei Lin dan Subir Selia.
|