Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Bintang Hati - Dedah realiti dunia artis ( 6/03/2004 )

Aziz (empat dari kanan) bersama para pelakon Bintang Hati - Jaafar Onn, Fasha Sandha, Amy Mastura, Anuar Zain dan kumpulan Spider.

WALAUPUN Bintang Hati adalah filem komedi romantik, tetapi pengarahnya, Aziz M. Osman turut menyelitkan unsur lain bagi menguatkan lagi sub plotnya.

Menerusi filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd., itu, Aziz menjadikan ruang industri hiburan tempatan antara sub-jek penceritaannya.

Bintang Hati misalnya memaparkan realiti sebahagian dunia artis tempatan yang sekadar kaya populariti tetapi miskin bakat dan moral.

Ketika ditanya, adakah dia menggunakan subjek itu untuk menyindir industri hiburan tempatan, Aziz mempunyai jawapannya sendiri berhubung perkara itu.

``Itu kena tanya Amy Mastura (penulis cerita asal filem itu). Bagi saya, ini juga adalah satu pakatan antara saya dan Amy.

``Saya rasa, anda sebagai wartawan hiburan lebih tahu tentang perkara itu. Dunia hiburan sebagai silap mata atau sarkis, macam David Copperfield umpamanya.

``Ia satu pembohongan tetapi ia diterima oleh para peminat. Dalam industri kita, ada penyanyi yang tidak berbakat menjadi terkenal dan diminati ramai,'' komen Aziz ketika menjawab satu soalan pada sidang akhbar selepas pratonton Bintang Hati di ibu negara tempoh hari.

Menurut Aziz, dia tidak berniat mengetengahkan isu itu untuk menjatuhkan maruah mana-mana artis tempatan.

``Saya cuma sebagai pencerita menerusi filem. Saya bukan hendak `telanjangkan' sesiapa. Saya lakukan apa yang saya tahu dan cuba ketengahkannya kepada masyarakat.

``Peminat sekarang bukan calang-calang. Mereka juga tahu apa yang berlaku dalam industri hiburan tempatan. Saya hanya cerita apa yang sedang berlaku dalam industri hiburan tempatan,'' kata Aziz.

Turut hadir menyaksikan pratonton itu ialah seniwati veteran, Datuk Maria Menado yang diberi penghormatan melancarkan filem tersebut.

Sebelum pratonton, Amy Mastura tampil menyampaikan dua lagu tema filem ini berjudul Bintang Hati dan Andai.

Bintang Hati mengisahkan Syakila, seorang penyanyi terkenal yang diuruskan oleh pengurusnya, Tasha.

Walaupun popular tetapi Syakila tidak mampu menyanyi dengan baik dan dia juga mempunyai masalah disiplin.

Kontroversi juga timbul apabila pihak media massa mencurigai keaslian suara Syakila menerusi album nyanyiannya.

Filem ini memang padat dengan pelbagai rencah yang mampu untuk menyuntik penghayatan para penonton.

Rangkuman unsur komedi, romantik dan jalan cerita yang berkisar tentang realiti dunia artis yang glamor adalah antara suntikan filem ini.

Antara pelakon yang membintangi Bintang hati ialah Amy Mastura, Anuar Zain, Umie Aida, Jaafar Onn, Fasha Sandha, M. Rajoli, Rosnah Mat Aris, Saiful (Senario) dan kumpulan Spider.

Filem ini akan ditayangkan kepada umum pada 25 Mac ini di 32 pawagam seluruh Malaysia.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1