Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha - Digugurkan dari Dayang ( 29/05/2004 )

Fasha Sandha digugurkan sebagai pelakon utama filem Dayang. Penerbit Eksekutif filem itu, Alsharafuddin Mohamed berkata, tempat Fasha terpaksa digantikan dengan orang lain setelah pelakon itu tidak menghadirkan diri waktu sesi latihan pra persediaan sebelum penggambaran diadakan lebih seminggu yang lalu.

``Kami tidak menganggap Fasha Sandha disingkirkan daripada filem ini. Sebaliknya tempat dia terpaksa kami gantikan kerana keadaan mendesak.

``Sebagai penerbit, kami mempunyai komitmen terhadap banyak pihak dan perlu membuat keputusan secepat mungkin agar tidak mengganggu kelancaran penggambaran itu,'' katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran filem terbitan Media Approach Sdn. Bhd., itu di Cyberjaya, Rabu lalu.

Fasha sebelum ini diletakkan sebagai pelakon utama yang bakal membawakan watak paling penting dalam filem berkenaan iaitu sebagai Dayang.

Menurut Alsharafuddin sebagai penerbit, beliau sendiri kecewa apabila nama Fasha digugurkan daripada filem itu disaat-saat akhir.

``Masa uji bakat banyak pelakon popular hadir. Bagaimanapun kami memilih Fasha. Bila nama dia digugurkan, sudah tentu dia kecewa tetapi saya juga kecewa,'' katanya.

Watak sebagai Dayang itu kini digantikan oleh pelakon berdarah kacukan, Natasha Hudson.

Filem berkenaan merupakan sebuah filem hikayat yang diadaptasi daripada novel Lembing Awang Pulang Ke Dayang karya sasterawan Johor terkenal, Shahrom Husin.

Novel berkenaan ditulis dalam tahun 1958 berdasarkan kisah sejarah yang berlaku di daerah Muar sekitar tahun 1699 (kurun ke 17).

``Saya sendiri secara peribadi memang lebih berminat kepada filem bercorak sejarah dan hikayat.

``Selepas membaca novel berkenaan, saya terus jatuh cinta kerana ketinggian bahasa dan gaya penciptaannya.

``Novel ini juga sangat sesuai ke filem. Saya juga fikir bahawa kita sudah sekian lama ketandusan filem-filem berfakta sejarah,'' kata Alsharafuddin lagi.

Bakat baru dalam dunia pengarahan, Imri Nasution diberi kepercayaan sebagai pengarah filem yang memperuntukkan bajet tidak melebihi RM2 juta ini.

Menariknya apabila filem ini turut menampilkan semula kehebatan beberapa pelakon veteran seperti Datuk Mustapha Maarof, Datuk Jins Samsudin, Uji Rashid dan Aziz M. Osman ke layar perak.

Selain itu turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Huzaimy, Farid Kamil, Hattan, kumpulan Ruffedge, Pot (Innuendo) dan Andy (Flop Poppy).

Penerbit juga dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album soundtrack berjudul Dayang sekitar Ogos nanti dan penyanyi Hattan diberi tanggungjawab menyelaraskan tugas pembikinan album berkenaan.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1