|
Kalau adalah seorang
isteri mengatakan dia tidak mengharap kasih sayang dari suaminya, itu
bermakna dia telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang manusia pun
yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain kecuali orang gila.
Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya renggang hati mereka,
tipis kasih sayang mereka dan selalu bermasam muka. Malah perceraian
menjadi perkara biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang
menderita.
Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat menyintainya hingga tidak mahu
berpisah dengannya?
Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita hari ini.
Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi jalan penyelesaian pada masalah
yang mengancam keamanan di dalam rumahtangga.
Mula-mula sekali tanya kenapa seorang lelaki sanggup berbelanja beratus
malah beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri? tentu
kerana untuk mengisi permintaan hati (fitrah)nya yang ingin kepada belaian
dan penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta pengurusan
dirinya oleh isteri dan lebih jauh dari itu untuk mendapatkan anak dan
keriangan dalam rumahtangga. Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang ada
dalam diri semua lelaki dan tidak boleh tidak, wajib dipenuhi.
Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan kesunyian dalam
ruang dada si suami itu. Kalau begitu tiadalah bermakna lagi rumahtangga,
isteri dan anak-anak padanya. Suami tidak akan bahagia dan hatinya tidak
akan tenang sekalipun rumahnya besar, wangnya bertimbun dan dililiti
dengan segala kemewahan.
Untuk mengisi dan menunaikan kemahuan hati suami, para isteri perlu
menjawab soalan ini;
1. Setiap masa ketika suami di rumah, adakah anda melayan keperluan dan
kemahuannya serta memberi sepenuh perhatian dalam urusan itu?
2. Setiap kali ketika suami pulang ke rumah, adakah anda menantinya dan
menyiapkan untuknya apa sahaja yang diperlukan?
3. Rumahtangga dan anak-anak, sudahkah anda jaga begitu teratur dan kemas
hingga tiada satu sudut di dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami bila
memandangnya?
4. Sikap anda, percakapan anda, kasih sayang dan gerak-
geri anda, adakah semuanya menampakkan pada suami bahawa anda benar-benar
merelakan dan menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya padanya?
Kalaulah anda gagal untuk mengiakan semua pertanyan di atas, bermakna anda
seorang isteri yang sedang atau telah gagal. Sesungguhnya tiada seorang
suami pun di dunia ini yang suka hati kalau isteri tidak melayani
kehendaknya. Tidak ada seorang suami pun yang suka hati bila didapati
isteri tiada di rumah ketika dia keletihan pulang dari kerja.
Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan anak pinak
berkecamuk, tidak terurus. Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan
sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang
padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu
bila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri dari memenuhi
kehendak dan kemahuan suami.
Dalam keadaan itu isteri mesti memuliakan suami dan memandang tinggi
padanya, di samping merasakan diri sendiri “memerlukan” suami dan rela
untuk berkhidmat serta taat sepenuhnya padanya. Pandangan dan sikap begini
amat penting kerana darinya akan lahir sikap tolak ansur, kerjasama dan
kasih sayang antara suami isteri.
Sebaliknya kalau isteri beranggapan suami setaraf dengannya, tiada
keistimewaan apa-apa, tidak perlu dimulia dan dipandang tinggi, apa lagi
untuk diberi perkhidmatan dan ketaatan sepenuh masa. Maka itulah punca
utama terjadinya ketegangan dalam rumahtangga.
Bila isteri mahu bertindak macam suami, terjadilah cerita dalam satu kapal
mempunyai dua orang nakhoda. Saling tarik-menarik dan akhirnya pecah lalu
karam. .Adalah mustahil suami akan rela dia di “control” oleh isteri.
Bukan hati lelaki namanya kalau suami meminta dia diarah dan diperintah
oleh isteri.
Sedangkan perempuan hatinya kalau bersih dari nafsu, memang rela
menyerahkan apa saja khidmat pada suami. Tanyalah hati masing-masing
adakah suka berhias untuk suami? Tentu “ya” jawabnya. Maka begitulah dalam
soal yang lain, hati perempuan memang rela untuk dia digunakan oleh
suaminya.
Tiada pilihan lain bagi isteri untuk dapatkan kasih sayang suami dan
kebahagiaan rumahtangga, kecuali meletakkan dirinya sebagai “hak” suami
dan rela untuk berkhidmat pada bial-bila masa. Untuk itu, mungkin
berbagai-bagai pengorbanan perlu dibuat misalnya:
Memasak sendiri di rumah, dengan masakan yang boleh memuaskan hati suami.
Menjaga anak-anak dengan pendidikan yang sebaik-baiknya. Menjaga kesihatan
diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa diminati suami.
Membina akhlak yang mulia semoga dengannyalah suami akan terhibur dan
terelak dari rasa marah dan tawar hati.
Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina
rumahtangga bahagia. Isteri yang bijak, berilmu dan tahu cara-cara
membentuk kebahagiaan sahaja
yang berjaya.
Perlu sangat diinsafi bahawa kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri
adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan bikinan manusia yang boleh
dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan
ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan
lahiriah dan kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara ghaib
dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan.
Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga,
faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira. Yakni
dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan
(zikir) kepada Allah swt. Suami isteri yang membelakangkan Allah swt
adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang.
Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama lain hilang dan rasa
persefahaman kian luput hari demi hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang
mungkin sudah cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi selagi hati
masih kosong dari mengingati Allah, cuai menjalankan perintah-perintah
Allah maka selama itu kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang
sebenarnya. Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah, dimasukkan ke dalam
hati suami isteri yang benar-benar taat dan patuh padanya.
Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan realiti kehidupan
rumahtangga yang berbagai-bagai dan tidak terikat pada kenyataan di atas.
Orang kafir yang tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya. Orang
Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia nampaknya.
Sementelahan rumahtangga ahli agama pun kadang-kadang berkecai. Jadi apa
bukti bahawa punca ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada
Allah?
Sebenarnya, untuk mengukur benar tidaknya sesuatu kenyataan itu tidaklah
boleh hanya menggunakan satu kaedah saja. Sebab Allah swt telah
mentakdirkan sesuatu, bukan dengan satu maksud sahaja. Setengah orang
kafir beroleh bahagia di dunia kerana Allah mahu merasakan nikmat yang
tidak mungkin mereka dapat di akhirat. Orang Islam yang tidak sembahyang
dan tidak fikir halal dan haram nampak bahagia juga. Ini adalah kemurkaan
Allah sudah tertimpa ke atas mereka dan dengan nikmat itu Allah mahu
melalaikan mereka terus menerus hingga mati betul-betul dalam dosa dan
terus ke neraka. Manakala ahli agama kadang-kadang pecah rumahtangga
mereka, Allah bermaksud menguji dan mahu menghapus dosa-dosa mereka.
Maka saya tegaskan sekali lagi, bahawa sumber kasih sayang yang abadi
ialah ketaatan kepada Allah oleh suami dan isteri serta anak-anak mereka.
Perceraian yang menjadi-jadi dewasa kini adalah berpunca dari tidak
taatnya pasangan suami isteri kepada Allah swt. Allah jadikan hati mereka
berpecah belah hingga mereka takut pada perceraian tetapi mereka tidak
dapat lari darinya. Biarpun rumah besar, harta banyak, kesihatan sempurna
dan dunia serba lengkap meliputi mereka, tapi kalau hati berpecah, semua
itu tidak boleh mengikat suami isteri itu lagi.
Mahu tidak mahu mereka kenalah mengadap Allah swt. Mengaku taat setia
padanya dengan tawadhuk. Memohon ketenangan dan kasih sayang untuk hati
mereka.
Artikel ini dipetik dari sites www.telatah.com
edited by AbgNie |
|