Beliawanis Yang Sedang Bercinta yang dihormati...
Zaman muda adalah zaman yang amat istimewa bagi kita. Nikmat kemudaan
seharusnya disyukuri dengan cara yang betul. Inilah zaman yang amat
mencabar yang akan dipertanggung-jawabkan oleh Allah. Nabi telah
bersabda:
"Tidak akan berganjak seseorang hamba di hari Kiamat melainkan
sesudah ditanya kepadanya tentang 4 perkara: Tentang umurnya, dimana
dihabiskannya, TENTANG MUDANYA, apa yang telah dilakukan dengannya,
tentang hartanya, dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakannya.
Dan tentang ilmunya, apa yang telah dilakukan dengannya." (Hadis
Tirmuzi)
Orang muda mudah dilamun cinta. Kasih dan cinta pula adalah perasaan
yang fitrah bagi manusia. Allah menceritakan tentang perasaan fitrah
ini di dalam Al-Quran dengan firmanNya:
"Dihiaskan bagi manusia kecintaan kepada perkara-perkara yang
diingini nafsu berbentuk perempuan-perempuan, anak pinak, harta benda
yang banyak dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi
terlatih, binatang-binatang ternakan dan kebun tanaman. Itulah
kesenangan hidup di dunia sedangkan di sisi Allah ada tempat kembali
yang sebaik-baiknya." (Ali-Imran 3:14)
Dalam banyak cinta, cinta kepada Allah itulah yang lebih utama. Cinta
Ilahi inilah yang sepatutnya menjadi suluhan kepada cinta-cinta yang
lain, apatah lagi cinta di antara lelaki dan perempuan. Terlampau
cintakan yang lain daripada Allah, boleh menyemaikan benih-benih
syirik di hati.
"Ada di antara manusia yang telah mengambil SEKUTU-SEKUTU SELAIN
DARIPADA ALLAH YANG MEREKA CINTAI sebanding kecintaan mereka kepada
Allah. Adapun orang yang benar-benar beriman, amat memuncak kecintaan
mereka kepada Allah." (Al-Baqarah 2:165)
Ayat ini menceritakan tentang kecintaan / kasih / pemujaan kepada
makhluk sehingga kita sanggup menuruti dan mematuhinya dalam
melakukan maksiat. Dalam erti kata yang lain, kita utamakan kehendak
makhluk daripada kehendak Allah. Ketika itu kita telah syirik
kepadaNya. Cinta yang membawa kepada kepatuhan yang membuta tuli amat
membinasakan.
Bila cinta lelaki-perempuan mengatasi cinta Allah, jadilah khalwat,
zina, rogol, pergaulan bebas dan seumpamanya. Sebagai contohnya
kajian Kementerian Belia & Sukan keatas 5860 remaja dalam lingkungan
umur 13-21 tahun pada tahun 1994 mendapati bahawa 28% daripada mereka
telah terlibat dengan seks bebas.
Lapuran akhbar bertarikh 1 November, 1995 menyebutkan tentang
kenyataan Menteri Kesihatan Malaysia berhubung satu kajian yang telah
dibuat keatas sekumpulan remaja berumur 16-18 tahun di Wilayah
Persekutuan, dimana didapati 50% daripada mereka telah mengadakan
hubungan seks, termasuk dengan melanggani pelacur-pelacur.
Inilah manifestasinya bila nafsu mengatasi iman. Cinta yang
melahirkan manifestasi yang seperti ini akan membawa kepada
kehancuran.
Amat berbeza sekali sikap mereka yang benar-benar beriman, yang mana
tindakan mereka sentiasa dikawal oleh batas-batas syariat.
Di dalam Al-Hilyah, disebutkan tentang Ummu Sulaim yang pernah
dilamar oleh Abu Talhah, sebelum beliau (Abu Talhah) menganuti Islam.
Abu Talhah ketika itu cukup kacak dan kaya raya. Jawapan Ummu Sulaim
jelas melambangkan keperibadiannya yang tinggi:
"Aku cintakanmu. Orang yang sepertimu tidak akan ditolak. Tetapi kamu
seorang kafir dan saya tidak boleh berkahwin dengan seorang yang
kafir."
Inilah ungkapan hasil daripada suluhan iman dan takwa. Cinta tidak
akan menyebabkannya menggadaikan maruah dan harga diri.
Zina yang ikhlas tidak pernah wujud di dalam Islam. Zina adalah haram
dan tidak ada sebarang keikhlasan yang dapat menghalalkannya. Saya
harus mengatakan bahawa keadaan saudari adalah sama seperti seorang
Datuk yang kisahnya telah dilapurkan oleh akhbar pada 6 Ogos, 1999.
Beliau telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan
seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah
suci kerana dia telah berazam untuk mengahwininya selepas ini.
Inilah nilai yang sedang melanda dunia pada hari ini: seks adalah
suci walaupun tanpa perkahwinan!
Pada pengamatan saya, dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu
di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang telah
meruntuhkan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya "The History of
Decline and Fall of the Roman Empire" telah menulis:
"Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga
ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam,
Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling
dahsyat sekali."
Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan
kepada konsep "Machiavellianisme" yang dipopularkan oleh seorang
pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli.
Machiavelli, dalam bukunya "The Prince" telah menekankan konsep "the
end justifies the means" ataupun "niat membersihkan cara." Maksudnya,
asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah,
menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi
Machiavelli.
Itulah yang akan berlaku andaikata nilai-nilai agama diketepikan.
Sebagai contoh, sebuah perkampungan di Alwar, India telah mengiktiraf
pelacuran sebagai suatu perkhidmatan yang baik. Perkhidmatan seks di
tepi lebuhraya yang menghubungkan Delhi dan Gujurat ini, dianggap
sebagai aktiviti kebajikan sosial yang terpuji. Inilah contoh nilai
yang keji yang tidak diperlukan oleh dunia moden.
Ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas pada hari ini
adalah lambang kemajuan dan kemodenan, dan nilai agama adalah kolot.
Jika demikian mari kita perhatikan hasil yang telah disumbangkan oleh
seks bebas. Ia telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di
Thailand, sehinggakan akhbar "Der Spiegel" telah menjadikan
tajuk "AIDS in Asia - Killer epidemic in sex paradise (AIDS di Asia -
wabak pembunuh di syurga seks)," sebagai tajuk muka depannya. Di
California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997.
Kajian tambahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan
Amerika pada tahun 1998, mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini
mempunyai lebih daripada 2 kali ganda kemungkinan diserangi gangguan
emosi di dalam hidup mereka. (Rujukan: California Teenage Pregnancy
Statistics) Sumbangan yang seperti inikah yang hendak kita banggakan?
Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes
pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Inilah
hasil kemajuan dan kemodenan jika agama dipinggirkan. Kita perlu
belajar daripada keruntuhan Rom!
Islam menekankan bahawa niat dan cara kita perlu betul di dalam
setiap perlakuan. Niat yang betul bermaksud ikhlas, cara yang betul
bermaksud selari dengan syariat. Syariat telah mengharamkan zina
justeru itu hendaklah kita menjauhinya, demi kebaikan kita sendiri.
Nabi telah bersabda:
"Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar
daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal
baginya." (Hadis – Ahmad & Thabrani)
Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur bagi
kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah, ia
mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita
menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang
murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.
"Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara
mana yang kamu mahu.." (Al-Baqarah: 223)
Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan
isteri atau suamimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas
telah diharamkan, kerana kemudaratannya.
Jadi untuk saudari, berhati-hatilah dalam bercinta, jangan sampai
tergadai maruah dan harga diri kerananya. Cinta terhadap manusia
boleh dikawal jika kita hendak mengawalnya. Landasan yang hendak saya
cadangkan untuk pegangan mereka yang sedang bercinta ialah: 'berpesan
pesanan di atas kebenaran dan berpesan-pesanan di atas kesabaran.'
Sebenarnya cinta yang paling bermakna ialah cinta selepas berkahwin,
bukan sebelumnya! Utamakanlah cinta kepada Allah dengan banyak
beribadah, dan juga kecintaan kepada ilmu dengan mengejarnya. Itulah
yang lebih mendamaikan dan membahagiakan.
Insan yang tahu menghargai anugerah Allah akan dihargai dan dihormati
sepanjang masa.
Moga-moga Allah mencurahkan kasih sayangNya kepada saudari.
Wassalam.
Dr. Danial
suntingan AbgNie |
|