Masyarakat Orang Asli: antara realiti dan dilema masyarakat
Paparan berita (Rabu, 2 Mei 2001) yang dilaporkan oleh wartawan Berita Harian yang menyertai rombongan Yayasan Ehsan Malaysia (YEM) ke perkampungan orang asli di Chini, Pekan Pahang cukup menyentuh hati rakyat Malaysia.
Tanggapan bahawa orang asli sudah pun menerima taraf kehidupan yang lebih baik pada hari ini ternyata meleset sama sekali. Menurut laporan tersebut, mereka melalui kehidupan yang memedihkan akibat ketiadaan bantuan yang cukup oleh kerajaan.
Mereka seolah-olah hidup di zaman Jepun dengn hanya menjadikan ubi kayu sebagai pengalas perut untuk meneruskan hidup. Anak-anak orang Asli tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya kerana kemiskinan dan tiada bantuan yang diberikan kepada mereka.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada mereka jika hendak mendapatkan khidmat kesihatan Soalnya sekarang, kerajaan sudah pun menyalurkan bantuan yang secukupnya menerusi jabatan-jabatan yang diwujudkan seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Namun, masalah ketiadaan bantuan masih lagi wujud. Mengapakah budaya sedemikian masih lagi wujud di negara kita?
Sungguhpun masyarakat orang asli adalah kelompok minoriti, tetapi mereka adalah golongan bumiputera yang perlu mendapat hak dan keistimewaan yang sama seperti orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Apakah kita sanggup melihat kaum bumiputera sendiri mengemis simpati sedangkan hak-hak mereka sudah pun termaktub di dalam perlembagaan negara?
Kerajaan sewajarnya memandang serius terhadap nasib orang-orang asli di negara ini kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia dan tidak ada alasan untuk melakukan sebarang diskrimanasi.
Adalah tidak cukup dengan sekadar mewujudkan jabatan-jabatan tertentu untuk menjaga kepentingan mereka, sedangkan ia hanya berfungsi sebagai simbol sahaja.
Oleh yang demikian, kerajaan mestilah memastikan bahawa semua jabatan yang diwujudkan itu efektif dan sentiasa peka terhadap semua isu, khususnya yang membabitkan kebajikan dan isu sosial rakyat Malaysia.