Media dan ketelusannya
Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Syed Hamid Albar tentang media dan diplomatik asing memang cukup berasas dan tidak boleh dinafikan lagi.
Seringkali kita mendengar dan terbaca di dalam siaran televisyen dan akhbar asing tentang berita atau rencana pengarang yang bersifat berat sebelah, malahan bertentangan dengan situasi sebenar yang berlaku di Malaysia.
Keadaan ini cukup membimbangkan kerajaan apatah lagi jika ia terus dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti puak-puak pembangkang.
Berikutan dengan itu, adalah menjadi satu tanggungjawab yang besar kepada Kementerian Luar, yang dipimpin oleh Datuk Seri Syed Hamid sendiri untuk memberikan penerangan yang secukupnya kepada media-media asing dan diplomat luar mengenai sebarang isu yang timbul sejak kebelakangan ini.
Namun, apa yang agak malang ialah sikap sesetengah pegawai-pegawai kerajaan sendiri yang menjadi gunting dalam lipatan dengan memfitnah kerajaan walaupun mereka tahu keadaan yang sebenarnya berlaku.
Ini ditambah dengan sikap wakil media asing yang tidak menggunakan sepenuhnya penerangan yang telah diberikan oleh wakil Malaysia diluar negara dan sebaliknya terus-terusan memfitnah dan melempar tuduhan buruk kepada kerajaan.
Mereka, termasuk rakyat tempatan yang menjadi pembelot tidak mempunyai rasa malu untuk membuat sebarang laporan negatif mengenai Malaysia walaupun mengetahui fakta sebenar.
Perkara ini cukup menjijikkan kerana mereka tidak menjalankan tugas dengan penuh etika, sebaliknya mengikut rentak dan kehendak agensi media yang mereka wakili.
Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang mereka daripada bertugas di mana-mana media atau organisasi, tetapi apa yang dimahukan ialah laporan yang lebih tepat, bukannya fitnah yang boleh menjejaskan imej malaysia.
Dalam hal seperti ini, Datuk Seri Syed Hamid menambah sebagai berkata, bahawa semua orang mempunyai pilihan di dalam hidup, tetapi sesiapa yang rasa bersalah atau mengetahui kebenaran terhadap apa yang dilaporkan akan berasa tidak tenteram.
Jika seseorang itu mempunyai agenda sendiri, mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi cita-cita dan objektif media yang mereka wakili. Inilah hakikat yang wujud kepada media asing ini.
Sesungguhnya kerajaan Malaysia masih lagi bersikap demokratik dan bertindak secara diplomasi di dalam menangani segala masalah fakta palsu yang seringkali diutarakan oleh media dan para diplomatik asing terhadap negara ini.
Kes yang terbaru ialah, persepsi media asing terhadap rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim untuk mendapatkan rawatan pembedahan di luar negara.
Tanggapan negatif yang dilemparkan kepada kerajaan oleh media asing dan para diplomat asing yang terpengaruh dengan kata-kata emosi Wan Azizah adalah satu cara kurang bijak yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.
Bukti yang rapuh serta fakta yang sengaja direka adalah tindakan yang jelas keterlaluan dan melanggar profesionalisme mereka sendiri sebagai pengamal media.
Apa yang jelas kerajaan Malaysia bukanlah kerajaan yang akan menggunakan kuasa yang sewenang-wenangnya, khususnya terhadap pihak media dan kes-kes yang melibatkan kepentingan negara dan kerajaan, tanpa siasatan dan bukti yang kukuh.
Jika diplomasi dan demokrasi tidak dapat dinilai oleh rakyat dan media asing sendiri adalah sukar bagi kerajaan untuk mencapai tahap yang lebih membanggakan dalam menghadapi cabaran global.
Dan tunggak kepada kerajaan seperti UMNO, haruslah memainkan peranan yang lebih besar, bagi memperjelaskan lagi isu dan bukti yang dapat menyokong lagi sesuatu maklumat khususnya kepada orang-orang Melayu yang sememangnya sejak dari dahulu cukup suka dengan khabar-khabar angin ini.