Putar Belit : Sunnah Pemimpin Pas
Sesungguhnya keadaan kerajaan segera Pas Terengganu kini berada di dalam keadaan yang semakin tersepit.tersepit bukan hanya desakan rakyat yang kini menuntut perubahan semula dan tersepit akibat desakan penyokong taksub yang dahagakan kemewahan dan material.
Selepas menolak mentah-mentah wang ehsan yang diberikan oleh kerajaan pusat terus kepada rakyat terengganu, kerajaan mee segera ini semakin hilang punca dan tidak tentu arah akibat punca pendapatan yang dilihat oleh mereka sebagai satu hasil yang lumayan untuk kepentingan parti(bukan kepentingan rakyat), ditukarkan daripada royalti menjadi wang ehsan.
Dendam kesumat yang terpendam di dalam kepemimpinan Pas Terengganu akibat tidak mendapat wang royalti telah menyebabkan mereka mengeluarkan fatwa dan kata-kata karut yang menganggap wang ehsan tersebut adalah haram dan tidak sah digunakan oleh rakyat Terengganu.
Sungguhpun demikian, rakyat Terengganu tidaklah sebodoh pemimpin puak-puak pas ini. Mereka lebih bijak dan dapat membezakan yang mana hitam dan yang mana putih. Dalam kata lain, seputih-putih jubah tok guru, putih lagi hati rakyat Terengganu.
Kebusukan hati pemimpin puak Pas ini dapat kita lihat dengan jelas pada hari ini, selepas mereka menafikan pula wang ehsan pendidikan yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Institut Lanjutan Teknikal Terengganu (TATI), dan sekolah menengah agamadi seluruh Terengganu sebagai wang ehsan, sebaliknya ia dianggap sebagai royalti.
Cukup melucukan apabila sekali lagi kepimpinan tok guru ini mula mengarut dan merapu yang bukan-bukan kerana secara terang-terangan wang tersebut adalah wang royalti.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian, dan Sumber Manusia Negeri, Mustaffa Ali, wang ehsan tersebut adalah royalti memandangkan ia disalurkan menerusi Kementerian Pendidikan.
Alasannya ialah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri termasuk untuk pembangunan pendidikan.
Mungkin pemimpin ini tidak pernah sedar akan konsep kementerian itu sendiri. Kementerian adalah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar negara.
Secara logik, kementerian adalah organisasi kerajaan pusat dan bertanggungjawab menyalurkan wang ehsan tersebut. Pemimpin Pas ini hanya pandai berdolak-dalik dengan menyatakan wang tersebut adalah royalti.
Tambahan lagi, wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri, dan tidak disalurkan terus kepada institusi berkenaan seperti yang diarahkan.
Kenyataan Mustaffa ali yang berbunyi "kerajaan negeri memang tidak menerima wang ehsan daripada kerajaan Pusat, tetapi menerima wang yang disalurkan menerusi kementerian" adalah mencurigakan dan menimbulkan syak wasangka rakyat Terengganu khususnya penyokong Pas sendiri kerana sebelum ini Haji Hadi yang terkenal dengan amanat karutnya telah mengeluarkan fatwa karut yang berbunyi wang ehsan (yang diberi oleh kerajaan persekutuan) adalah haram dan tidak sah digunakan.
Timbul persoalan bagaimana pula jika ia disalurkan oleh kementerian (yang tidak dianggap wang ehsan oleh Mustaffa Ali) sedangkan ia adalah badan penting kerajaan pusat.
Sikap pemimpin Pas ini boleh dipersoalkan oleh semua rakyat Terengganu kerana mereka lebih berhak. Mereka berhak bertanya mengapakah wang bernilai RM40 juta dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri, sedangkan ia akan menjadi lebih mudah diuruskan oleh tiga institusi berkenaan jika wang tersebut disalurkan terus tanpa karenah birokrasi?
Apakah kerajaan Pas ini mempunyai niat lain untuk membelanjakan wang tersebut untuk kepentingan tembolok tok guru semata-mata?
Oleh yang demikian, sudah tiba masa rakyat terengganu mereformasikan kepimpinan kerajaan negeri itu. Adalah lebih baik jika ia ditumbangkan terus di dalam pilihanraya akan datang, dan kesengsaraan yang ditanggung akan bertukar kepada keharmornian seperti yang dikecapi oleh rakyat sebelum ini.