Antara hipokrit dan kebenaran

Presiden Pas Datuk Fadzil Noor yang menyifatkan UMNO yang terus akan menjadi penunggu akibat tidak memenuhi segala syarat-syarat yang dikenakan oleh parti itu untuk menjayakan perpaduan Melayu, jelas membuka pekung di dada beliau sendiri. Puak dan penyokong taksub parti yang kononnya digelar sebagai parti Allah itu pastinya akan berasa terkejut atau hilang akal, apabila mendengar kenyataan Fadzil yang sememangnya bertentangan dengan prinsip parti tersebut yang memperjuangkan Islam semata-mata. Kenyataan ini juga jelas menunjukkan bahawa Fadzil lebih mementingkan harta dunia dan ia mungkin lebih baik daripada perpaduan yang ingin diwujudkan. Perbuatan Fadzil ini seolah-olah menyamai peristiwa orang-orang Arab jahiliyah yang menawarkan Gunung Uhud menjadi emas kepada Nabi Muhammad, jika baginda dapat menuruti kehendak dan syarat yang ditetapkan oleh mereka.

Apakah helah Fadzil kali ini ? Apakah beliau sekali lagi ingin bersandiwara selepas lakonannya yang keji dahulu sudah dapat dicium akan kepincangannya? Sebagai seorang yang mendakwa dirinya Ulama�, Fadzil haruslah mengutamakan soal perpaduan berbanding harta dunia. Tidak akan ke mana harta-harta tersebut, jika sudah ditakdirkan menjadi miliknya satu hari nanti. Pasti penyokongnya akan tertanya-tanya sendiri di dalam hati, apakah Fadzil ini benar-benar ikhlas ataupun sengaja mahu bermain tarik tali? Jika royalti yang lebih menjadi pilihan berbanding perpaduan, adalah lebih baik Fadzil menanggalkan sahaja jubah dan kopiahnya itu untuk bersedia menjadi saudagar minyak di Terengganu ataupun penjual surat khabar lama.

Hosted by www.Geocities.ws

1