|
|
Pengalaman yang pahit dalam hidup ku
Aku tidak menyangka bahawa dalam kehidupanku ada episode-episode ngeri yang meneroka. Dulu ku kira aku begitu bermotivasi dan cergas apatah lagi dikurniakan dengan fikiran yang cerdas. Masa depan yang gemilang dalam perancanganku dan setidak-tidaknya suatu hari aku akan memegang segulung ijazah kedoktoran.
Sijil Pelajaran Malaysia bagi ku merupakan pagar ke arah kecemerlangan. Apatah lagi aku mempunyai seorang ibu bekerja (career mother) yang aku sanjung, dan merupakan model kegigihan dan pengorbanan. Tapi entah kenapa dalam kegairahan aku menempa satu sejarah awalan, ku rasa bagaikan ada sesuatu yang tak kena pada syurga kediaman ku. Dimana ayah bila larut malam, adakah dia dinaikkan pangkat dan diberi tanggungjawab baru. Kenapa pula bila dia di rumah ku rasakan ada ketegangan dan kedinginan yang dapat ku rasai ke sum-sum tulang ku. Dan apakah pula petanda bicara dalam nada yang haru dari ibu ku yang biasanya tidak banyak berkata-kata. Aku juga dapat melihat tanda tanya pada sinaran mata adik-adik ku yang seramai tujuh orang.
Segala ilmu yang ku garap dan bersedia untuk ku muntahkan di meja peperiksaan saling bertaut dengan seribu satu pertanyaan yang meyayat hati. Apakah kekurangan ibu ku sehingga ayah sanggup menduakannya. Bukan kah dia bekerja bertungkus lumus di pejabat dan di rumah untuk membina kehidupan yang sejahtera. Apakah dia isteri yang ingkar jika dia pada usia 40 sudah melahirkan lapan orang zuriat. Apakah terlarat ibu menanggung semua ini, jika selama ini dengan lapan orang anak-anak dia mampu menguruskan rumahtangga tampa ada pembantu atau pertolongan yang seimbang dari ayah ku. Apakah aku berdosa jika aku melihat ayah ku begitu hina sekali, mungkin lebih rendah tarafnya dari seekor binatang buas.
Mungkin fikiran-fikiran yang sebegini yang akhirnya melemahkan diri ku sendiri. Kerana hari-hari sehingga tamat peperiksaan ku lalui bagaikan dalam mimpi. Adakah aku juga bermimpi terkurung dalam wad 5 utara, menangis tampa air mata tetapi dengan hilaian ketawa. Apakah aku yang menyanyi di setinggi tinggi suara, “Oh emak kawin kan aku” dan “Ayah ku kawin lagi”. Entah dari mana senikata lagu-lagu rock, pop dan lama datang begitu jelas dalam mindaku. Habis-habis suara ku sudah serak, aku menyanyi dan berlagak seperti AMY Search, “Ku gilakan mu, aku gila, berada di wad gila.........”. Bila wad sepi, dan tiada penonton dari kalangan jururawat, attendant dan pelajar-pelajar perubatan, hati ku turut sepi, ku rasa begitu pahit kehidupan ini dan bagaikan ianya sudah tiada erti lagi. Kalaulah aku bukan seorang Islam, memang pasrah, dan kan ku serahkan hidup ini pada tali gantung. Tapi dengan cetusan fikiran itu juga lah, aku teringat untuk berdoa, berdoa agar di kuatkan pendirian dan keimanan ku untuk terus hidup dan berbakti kepada keluarga.
Kepada ibu-bapa yang membaca penulisan
ku ini, fikirkan lah. Adakalanya masa depan anak-anak mu adalah di dalam
perlakuan mu. Tidak sekali-kali aku ingin memperli ayahku akan nasib malangku
ini tetapi ku ingin pengalaman ku ini menjadi pedoman buat mereka yang
bekerluaga. Adakah berbaloi menjejeskan kehidupan anak-anak dengan hanya
untuk memuaskan nafsu dan keinginan lain. Aku merupakan anak lelaki sulong
dalam keluarga, dan apakah pula nasib adik-adik ku yang perlukan bimbingan
dan teladan. Memang telah dalam perancangan ku bahawa SPM akan merupakan
pintu masuk ke alam kehidupan di Universiti. Tak terduga pula bahawa ianya
merupakan pintu masuk ke wad sakit jiwa. Mungkin benar ada realitinya,
iaitu aku memang masuk ke Universiti Sains Malaysia. Kita hanya merancang
dan Tuhan akan menentukan. Kalaulah aku di kurniakan seorang ayah yang
menyokong, atau setidak tidaknya tidak menimbulkan haru dalam keluarga,
mungkin hari ini, saat ini, aku bukanlah duduk menunggu giliran ku untuk
rawatan susulan di klinik Dr. Hasanah tetapi munkin menunggu Dr. Hasanah
untuk memberikan kuliahnya kepada ku dan rakan sekelas ku.
“Pesakit nombor 9”
Wad 5 U (unggul)
|
|