HARAKAH : Ibnu Muslim

Catatan IBNU MUSLIM 

Dr. Wan Azizah dapat perhatian

 

PRESIDEN PAS, Dato' Fadzil Noor telah dipilih sebagai pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia yang baru sahaja ditubuhkan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat pada 22 September lepas. 

Tiga buah parti pembangkang yang utama, iaitu PAS, DAP dan Partai Rakyat Malaysia telah menyertai Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) yang dipimpin oleh Dato' Fadzil Noor itu. 

Sementara wakil-wakil dari Persatuan Ulama' Malaysia, Consumer Association of Penang (Cap), Angkatan Belia Islam (Abim), Jamaah Islah Malaysia (Jim), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Suara Rakyat Malaysia (Suram) dan Persatuan Perubatan Muslim telah dilantik untuk menduduki pimpinan majlis tersebut. 

Khabarnya, Tokoh Wartawan, Tan Sri Abdul Samad Ismail juga ikut serta dalam penubuhan Gerak itu. 

Mengikut laporan Harakah, per-temuan wakil-wakil pari pembangkang dan pemimpin-pemimpin masyarakat itu telah membincangkan pelbagai rancangan dan strategi untuk jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi keadaan yang wujud sekarang. 

Soal kemerosotan kewibawaan institusi kehakiman, polis dan institusi kerajaan lain juga dibincangkan dalam pertemuan tersebut. Apa yang jelas bahawa Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) itu ditubuhkan ialah untuk memperjuangkan nasib beberapa orang pemimpin parti politik dan badan-badan dakwah yang ditahan di bawah ISA baru-baru ini. 

Dalam erti kata lain, penubuhan Gerak itu ialah untuk membela mereka-mereka yang dianggap tidak mendapat keadilan ekoran dari penggunaan akta ISA itu. 

Setakat ini, Gerak telah menuntut supaya pemerintah menghapuskan Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap zalim dan menafikan hak untuk mendapat pembelaan melalui proses undang-undang . 

Saya tidak perlu mengulas lebih jauh mengenai penyeksaan yang dialami mereka yang ditahan di bawah ISA, kerana perkara itu telah diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang sebelum ini. 

Tetapi persoalan yang timbul sekarang, mengapa orang-orang kuat Abim dan penyokong-penyokong Anwar dalam Umno ditahan selepas beliau berada di Bukit Aman? 

Mengikut teori pihak keselamatan (Cawangan Khas), tidak ada lagi pembelaan terhadap Anwar, bila pemimpin-pemimpin Abim dan penyokong-penyokong dalam Umno ditahan di bawah ISA? 

Apa yang berlaku sebelum ini, pengaruh seorang pemimpin itu akan lenyap dan berakhir bila orang-orang kuatnya sudah tidak ada lagi kerana ditahan atau sebaliknya. 

Berdasarkan kepada perhitungan itulah, maka Dato' Zahid Hamidi, Kamaruddin M.Noor, Kamaruddin Jaafar, dan pemimpin-pemimpin Abim ditahan di bawah ISA, kerana mereka-mereka ini dianggap orang-orang penting Anwar Ibrahim. 

Dr Mahathir merasa yakin bahawa dengan penangkapan dan penahanan orang-orang kuat bekas Menteri Kewangan itu, maka tidak ada lagi suara-suara yang menentang pemecatan dan penyingkiran Anwar Ibrahim dalam parti dan kerajaan. 

Pendek kata, akhbar-akhbar tempatan dan para penyokong Mahathir cuba meyakinkan rakyat bahawa tidak ada lagi pertubuhan dan orang perseorangan yang akan mempertahankan Anwar dalam keadaan seperti sekarang. Walaupun sebelum ini, Anwar telah memberitahu para penyokong gerakan reformasi bahawa isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan meneruskan perjuangannya, jika ia ditahan nanti. 

Tetapi mengikut teori orang-orang Umno, pimpinan Dr. Azizah juga tidak akan memberi apa-apa kesan, kalau orang-orang kanan Anwar sudah tidak ada lagi (ditahan). 

Tetapi dengan penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia pimpinan Fadzil Noor ini, maka bererti sudah ada sebuah badan yang akan membela orang-orang yang ditahan di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Ini bererti, Gerak tidak akan membiarkan pihak yang berkenaan melakukan apa sahaja terhadap Anwar dan kawan-kawannya yang ditahan di bawah ISA. 

Langkah pertama yang akan diambil oleh Gerak untuk memperjuangkan mereka yang ditahan di bawah ISA, dengan mengadakan solat hajat dan ceramah umum yang akan diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS pusat pada 27 September ini (malam Ahad). 

Dato' Fadzil Noor, Dr. Syed Husin Ali, Ustaz Haji Ahmad Awang dan wakil-wakil Abim, Jim, Cap, Teras, Suaram, PPIM, ISM dan PKPIM akan turut berucap di majlis ceramah umum itu nanti. 

Solat hajat, Majlis Pelancaran Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia dan ceramah umum yang akan diadakan pada malam 27 September ini, merupakan satu gerakan untuk menentang penggunaan akta ISA. 

Dijangka, berpuluh-puluh ribu rakyat akan membanjiri kawasan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat untuk mengikuti ucapan-ucapan yang akan disampaikan oleh pemimpin-pemimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia. 

Apa yang jelas sekarang, gerakan mendesak Dr. Mahathir supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri diteruskan walaupun Anwar Ibrahim telah ditahan. 

Yang paling menarik sekali, bukan sahaja Anwar Ibrahim yang menuntut supaya Mahathir berundur, malah parti-parti pembangkang dan NGO lain juga menuntut perkara yang sama. 

Setakat ini, nampaknya kempen-kempen dan kenyataan-kenyataan yang memburuk-burukkan Dato' Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan. Tidak keterlaluan, kalau saya katakan bahawa lebih ramai orang yang bersimpati dengan bekas Menteri Kewangan itu. 

Yang anehnya, bukan sahaja peniaga-peniaga kecil dan para penjaja yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Anwar Ibrahim, tetapi yang mengejutkan kita, ramai di antara ahli Umno termasuk pemimpin-pemimpin kecilnya yang tidak dapat menerima tuduhan-tuduhan yang dihadapkan kepada bekas Menteri Kewangan itu. 

Sementara itu, ramai di kalangan kaum ibu dan anak-anak muda yang kagum dengan peranan yang dimainkan oleh Dr. Wan Azizah selepas suaminya ditahan di bawah ISA. 

Walaupun beliau (Azizah) belum lagi diiktiraf sebagai seorang pemimpin, tetapi cara beliau mengendalikan masalah yang dihadapinya, menggambarkan beliau mempunyai bakat sebagai seorang pemimpin rakyat. 

Dalam keadaan yang gawat seperti sekarang, tidak mustahil Wan Azizah akan muncul sebagai seorang tokoh wanita yang berupaya mencabar Dr. Mahathir dan kawan-kawannya dalam pilihan raya umum yang akan datang. 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1