PM perlu berundur secara aman - GamisKUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) mencadangkan supaya Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan 1 secara aman dan terhormat berikutan kegagalannya bertindak adil dan saksama dalam menyelesaikan konflik negara.Presidennya, Saudara Zaharuddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan kepada Harakah menjelaskan, hukuman awal PM terhadap pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar membuktikan seolah-olah pihak mahkamah dan institusi polis hilang kewibawaan kerana segala-galanya tertakluk kepada kehendak PM. Katanya, meskipun pelbagai alasan dan andaian yang dibuat oleh PM tidak sedikitpun menagih kepercayaan mahasiswa sama ada dalam isu pemecatan Anwar yang berkait dengan moral dan penubuhan Gerak. "Sikap PM yang tidak menerima pandangan dalam isu Anwar menzahirkan sikap diktator beliau (Mahathir) yang berpandangan diri sendiri sahaja yang benar dan ini akan menyusahkan seluruh rakyat dan institusi kerajaan," ujarnya lagi.Selain itu, tambah beliau kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini jelas membuktikan kewibawaan PM kian terhakis dan sepatutnya tidak lagi layak menerajui negara. Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mendesak supaya diadakan segera pilihan raya umum supaya saf kepimpinan baru yang lebih bertanggungjawab dapat dibentuk. "Kami seluruh mahasiswa akan memastikan agar kami tidak mengundi pihak yang berpecah dan tidak adil terhadap rakyat. "Kami mahasiswa juga sudah muak dan jemu mendengar tuduhan bahawa mahasiswa diperalatkan oleh pihak tertentu. Kami mempunyai sumber maklumat tersendiri lagi sahih dan pelbagai untuk kami menetapkan pendirian dan tindakan," katanya tegas.
|