terhukmHARAKAH : Terhukum Sebelum Mahkamah Memutuskan

Terhukum sebelum mahkamah memutuskan

Oleh: JAMALUDIN MAD ISA 
 
 

DALAM keadaan sepertimana sekarang bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim nampaknya begitu sukar untuk menebus maruahnya semula. Seluruh ker-jaya politiknya dalam Umno hancur lebur. Pengaruh dan kepercayaan ahli-ahli Umno terhadap beliau terhakis begitu teruk sekali ekoran daripada pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri kewangan, Timbalan Presiden dan sekaligus penyingkiran seterusnya daripada ahli Umno. 

Beliau yang sebelum itu cukup terkenal sebagai aktivis pelajar, pemimpin Pemuda Islam dan aktivis politik terkenal. Memulakan karier politiknya dalam Umno pada 29hb Mac 1982 dengan berbekalkan idealisme dan kewibawaan. Setelah mengharungi cabaran-cabaran getir dalam Umno selama 16 tahun tiba-tiba Anwar Ibrahim disingkirkan dalam keadaan yang amat hina dan menjijikkan sekali. Itulah harganya yang dibayari oleh Umno kepada beliau. 

Penyingkirannya daripada Umno dan dibabitkan dengan beberapa tuduhan yang amat keterlaluan lagi memalukan bagi seseorang bekas aktivis pemuda Islam yang cukup berwibawa sekali sebelum ini turut menjadi persoalan serta pertanyaan besar kepada umat Islam di negara ini. Sesungguhnya amat mengharukan sekali. Dakwaan pembabitan beliau dalam skandal seksual (homoseks), seks haram dengan isteri orang, hubungan seks dengan ramai pelacur sepertimana yang didedahkan oleh Khalid Jefri dalam buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri" merupakan satu tuduhan yang cukup perit dan pedih sekali yang menimpa dirinya. 

Sama ada benar atau fitnah dakwaan tersebut hanyalah mahkamah yang dapat menentukannya. Persoalan sekarang benar ataupun fitnah tuduhan-tuduhan sedemikian sudah cukup untuk mencemarkan dan mengaibkan nama baik beliau. Lebih-lebih lagi bilamana tuduhan-tuduhan berkenaan tidak sepatutnya dihadapkan kepada insan-insan sepertimana Anwar yang cukup terkenal sebagai aktivis pergerakan Islam yang disanjung dan dihormati. 

Dalam hubungan dengan apa yang menimpainya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, teringatlah saya akan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tahun 1986 dahulu. Sewaktu beliau berforum di Universiti Sains Malaysia atas tajuk "Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Masyarakat Majmuk di Malaysia." 

Ustaz Hadi dengan tegas menyatakan: Kalaulah hendak mencuci tong najis hendaklah mencucikannya dari luar dan bukannya memasuki ke dalam tong itu, kelak diri pencuci itu menjadi kotor dengan najis. 

Justeru itu, dalam saat-saat sebegini terkenangkan kembali kisah-kisah lama, termasuklah kiasan ibarat daripada Ustaz Hadi kira-kira hampir 12 tahun berlalu dengan keadaan apa yang menimpai Anwar Ibrahim kini. Setelah bergelumang dalam politik Umno yang diibarat masuk ke dalam tong najis untuk membersihkannya dari dalam. 

Kini nyata betapa kiasan Ustaz Hadi itu sememangnya tepat sekali. Realitinya keadaan Anwar sekarang pada mulanya menyertai Umno mendakwa selain daripada ikut tertarik dengan gaya dan corak kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Beliau juga meyakinkan pucuk pimpinan PAS waktu itu di mana kemasukannya ke dalam Umno adalah bertujuan untuk mengIslamkan Umno dari dalam. Natijah sekarang akibatnya bukanlah Umno itu dapat diIslamkan oleh Anwar sebaliknya diri beliau disingkirkan daripada ahli Umno dalam keadaan tidak bermaruah sama sekali. 

Bagaimanapun sebelum ini saudara Anwar tidak kurang memperkecilkan dan memperhinakan serta mengkritik PAS dalam usaha untuk membina keyakinan ahli-ahli Umno terhadap kredibiliti dan kewibawaannya. PAS tetap bersimpati terhadap apa yang ditempuhi dan ditimpai beliau sepertimana kenyataan yang dibuat oleh Dato' Hj. Fadzil Noor betapa dakwaan dan tuduhan tersebut amatlah melampau dan keterlaluan. 

Justeru itu peristiwa yang menimpai bekas Timbalan Perdana Menteri perlu dijadikan panduan dan contoh kepada pencinta-pencinta Islam andaikata kita harus menerima kenyataan bahawa perjuangan Islam kiranya tersilap langkah dalam memilih platform dalam wadah perjuangan. 

Kita tidak pasti apakah dakwaan sedemikian adalah satu 'konspirasi' pakatan jahat sesama dalam Umno untuk menjatuhkan beliau. Namun dalam keadaan sekarang Anwar masih belum didapati bersalah. Selagi mahkamah belum menjatuhkan hukuman bahawa beliau bersalah. Oleh itu kita seharusnyalah mengelakkan daripada menjatuhkan hukuman tersendiri dan terdahulu sebelum keputusan dari keadilan mahkamah. Kerana kita bimbang kita akan turut sama terjebak bagi menjatuhkan hukuman yang tidak tepat dan tidak benar ke atas diri beliau berhubung dengan isu pemecatannya pada 2hb September lalu. 

  

Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1