MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Dr. Mahathir negarawan yang tidak diplomatik 

HAMPIR setiap hari atau setiap kali Perdana Menteri Dr. Mahathir membuka mulut, maka beliau menuding jari kepada orang luar atau kuasa asing yang dikatakannya hendak menjatuhkan Malaysia dan pimpinannya. 

Dan adalah benar pula negara barat mahu melihatnya berundur, kerana kononnya selagi dia menjadi ketua kerajaan, maka ekonomi tidak akan pulih dan kestabilan politik negara tidak terjamin. 

Justeru itu banyaklah terdapat siaran media asing memburukkan pimpinannya. Logiknya masing-masing mahukan beliau berundur dan biar Malaysia dipimpin oleh orang lain. 

Wibawa bangsa Malaysia tentunya terasa hina jika pimpinan negara ditentukan oleh pihak asing. Sebagai bangsa yang merdeka, maka bangsa itulah yang menentukan siapa patut menjadi ketua kerajaan dan ia juga yang menentukan apakah Perdana Menterinya patut digantikan atau kekal. 

Kemerdekaan bangsa Indonesia sudah pun terganggu apabila barat memberi isyarat supaya Suharto berundur lima tahun lalu dan diulangi lagi tahun ini. 

Apabila Suharto enggan turun secara sukarela, maka kuasa asing tadi telah mengajar dan mendera Indonesia hingga bukan saja Suharto turun secara tidak sopan malah kehidupan bangsa Indonesia kini adalah terhimpit. 

Maka demikian juga Dr. Mahathir. Dia bagaikan setiap hari berteriak mengecam kuasa asing dan pihak dalam negeri yang mungkin bekerjasama untuk menjatuhkannya secara tidak sopan juga. 

Apabila setiap hari mengecam orang luar, maka ia kadang-kadang kelihatan sebagai pengkritik atau pembangkang yang tidak ada harapan berkuasa. Jika ahli politik yang gagal asyik menyalak, maka mungkin tidak pelik dan boleh difahami. 

Apabila seorang yang sudah berkuasa, bukan sekadar setahun atau kurang dari setahun seperti beberapa Perdana Menteri India sebelum ini, tetapi berbelas-belas tahun sebagai ketua kerajaan dan berpuluh tahun pula dalam kabinet, sudah tentu dia tidak latah dan sewajarnya mahir tentang tanggungjawab seorang negarawan atau tahu pantang larang diplomasi. 

Sejak dari muda, dan sejak berkuasa Dr. Mahathir sudah membiasakan diri dengan hubungan antarabangsa. Ada pandangannya sendiri tentang bagaimana dunia diplomasi harus ditangani oleh sebuah negara kerdil seperti Malaysia. 

Justeru itu apabila beliau menjadi Perdana Menteri maka beliau hampir menewaskan setengah 'pilot' dari segi nisbah banyak masanya di angkasaraya biru. Atau menyamai setengah burung yang sentiasa terbang di udara. 

Mungkin sudah tiada negara dan tiada kotaraya di dunia yang tidak disinggahinya. 

Adapun pemergian itu bukan sekadar melancong, tetapi adalah satu pendekatan diplomatik sebagai satu strategi meningkatkan kedaulatan negara. 

Ketua kerajaan atau ketua negara yang asyik keluar negara dulu ialah Sukarno. Tetapi Sukarno pun tidak tiap-tiap bulan. Jika pun berturut-turun bulan, maka ia sekali sekala dan kebetulan. 

Bagi Dr. Mahathir pula adalah setiap bulan, kadang-kadang dua kali sebulan. Seolah-olah telah mengalahkan James Baker dan Warrant Christopher, bekas Setiausaha Negara Amerika. 

Kunjung ketua kerajaan itu adalah kerja diplomasi dan sudah sepatutnya ia tidak sekadar memperkenalkan negara, tetapi ia menjadikan negara dan pemimpin itu popular dan dikelilingi rakan-rakan yang terdiri dari ketua-ketua kerajaan asing. 

Tetapi sesudah berbelas-belas tahun jadi Perdana Menteri, beliau kian tidak disenangi oleh kebanyakan dunia terutama dari barat. Dia bukan sekadar bersengketa dengan media barat, malah dia bermasalah dengan setiap pemimpin barat sekarang. 

Jika pun ada yang mesra sangat dengannya ialah Margaret Thatcher, bekas Perdana Menteri Britain, malangnya nenek itu sudah tidak berkuasa lagi. 

Dalam suasana yang sudah banyak pengalaman ini, sepatutnya dia disenangi oleh pemimpin-pemimpin barat, Tetapi sebaliknya mungkin tidak salah jika dikatakan dia lebih banyak seteru di barat dari kawan. 

Jika pun dia popular ialah di Afrika, seperti Tarzan, hanya boleh hidup dan diterima sebagai pemimpin oleh orang-orang Afrika yang tidak berbaju. Itupun dulu, tetapi ssekarang belum tentu Tarzan diterima lagi oleh orang Afrika. 

Jika pengembaraannya itu adalah kerana diplamasi, maka diplomasinya tidak banyak menolongnya. 

Cadangan untuk menubuhkan EAEC, sebuah pertubuhan serantau bagi negara-negara Asia Timur belum terlaksana. Ia tergendala dari dulu kerana Amerika tidak diterima. 

Jika ketika Malaysia terkenal sebagai satu dari harimau Asia, EAEC tidak dapat diwujudkan, maka adakah harapan ia dapat dianjurkan dalam suasana ekonomi lingkup dan Dr. Mahathir menambah seteru tiap-tiap hari? 

Ia mungkin tercapai, tetapi mungkin bukan zamannya. 

Usahanya yang berjaya setakat ini ialah mewujudkan G15. Tetapi ia sudah pernah tidak dapat mengadakan pertemuan seperti yang dijadualkan pada mulanya. 

Dan bukan mustahil G15 ini hidup ketika hidupnya kerajaan Dr. Mahathir. Jika Dr. Mahathir sudah tidak ada, adakah orang yang berminat untuk meneruskannya? 

Tidak dinafikan faktor luaran pun ada menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh teruk. Tetapi adapun tujuan diplomasi tadi antaranya adalah untuk mengukuhkan ekonomi melalui dunia diplomasi. 

Dalam keadaan yang ada ternyata usaha diplomasi Dr. Mahathir tidak dapat dimanfaatkan untuk mempertahankan ekonomi kita. 

Jika apa yang Dr. Mahathir sebut betapa orang asing mahu melihat kita jatuh dan telah bertanggungjawab untuk menjatuhkan Malaysia maka jelaslah kunjungannya keluar negeri tidak dapat membantu menyelamatkan ekonomi. 

Dari segi ekonomi kita banyak bergantung kepada pelaburan asing dan kunjungan keluar negeri yang banyak itu antara tujuannya untuk menarik pelabur. Tetapi hari ini pelabur yang sedia ada pun lari. 

Jika pada ketika Dr. Mahathir ramai kawan di dunia, para kapitalis tidak mempertahannya, maka bagaimanakah pula dalam keadaan ekonomi lumpuh dan musuh ramai, pelabur datang semula. Sumber dalam negeri saja tidak cukup untuk membaiki keadaan yang pincang sekarang. Ia tetap memerlukan sokongan luar. Tetapi apabila pihak luar telah menjadi musuh Perdana Menteri, maka sudah tentu sokongan itu sangat perlahan. 

Setakat ini dia sudah gagal dalam dunia diplomasi. Juseru itulah dia bergaduh. Dalam diplomasi mana boleh bergaduh. Dan orang bergaduh dengan setiap orang adalah orang yang tidak tahu diplomasi. 

Bukan dalam dunia diplomasi orang tidak boleh bergaduh. Amerika pun bergaduh dengan banyak pihak, tetapi ia juga ramai kawan. Dan mereka tahu bila hendak berbaik dan bila pula hendak berlawan. 

Sejak setahun ini Perdana Menteri cuba menggunakan hubungan antarabangsanya untuk mendapatkan sokongan orang-orang yang dikunjunginya. Tetapi masing-masing berkata bahawa ia bersifat sementara dan Dr. Mahathir dengan imej dan pengalaman keluar negeri yang banyak itu akan dapat mengatasinya sendiri. 

Dalam keadaan yang ada itu, orang-orang yang dikenalinya hasil usaha diplomasi itu memujinya kerana maju dan sebagainya, tetapi masing-masing mengelak dari menghulurkan bantuan. 

Akhirnya kita mati dengan puji-pujian. 

Jika ke sana ke mari bukan satu usaha diplomasi, apakah perjalanan itu sekadar makan angin atau merambu?

Ke Laman Utama

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1