MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Macam menteri di bawah 'tempurung'

Dalam road-shownya di Perlis - antaranya di tengah-tengah masyarakat Arau yang mulai tahu berpolitik - Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad cuba membodohkan pembangkang kerana mengambil bahagian dalam membincangkan soal kegawatan ekonomi negara. 

Dr. Mahathir tidak suka pembangkang membicarakan perkara itu mengikut cara dan pandangan pembangkang. 

Baginya kegawatan ekonomi itu adalah masalah negara, maka pembangkang logiknya jangan membangkang dalam perkara itu dan mana pembangkang yang bercakap atas perkara kejatuhan ekonomi kononnya mengambil kesempatan dari kejadian yang berlaku. 

Maka mukanya ketika berkata-kata demikian, kelihatan selamba dan seolah-oleh dia tidak mengaji tinggi. 

Pada hal dia bercakap di depan orang Arau yang pada awal Julai lalu telah memeranjatkan dunia kerana untuk pertama kali menderhaka kepada Umno dalam pilihan raya kecil. 

Orang-orang itu pernah mendengar apa yang berlaku di Thailand hampir setahun lalu. 

Ketika kegawatan ekonomi belum arif bagi rakyat Asia sekarang khasnya dan dunia umumnya, orang Perlis menyaksikan jirannya di Thailand pertama kali diserang angin kegawatan ekonomi. 

Ketika itu Chuvalit menjadi Perdana Menteri. Apakah kegawatan itu datang dari luar atau ia angkara kegagalan dasar ekonomi Chuvalit tidak berbangkit lagi dan pembangkang tidak ada masa untuk menimbangkan lama-lama. 

Pembangkang yang dipimpin oleh Chuan Leekpai terus menyalahkan kerajaan Chuvalit. Orang tidak kira adakah dia mengambil kesempatan atau memang telah tiba waktunya untuk menyuarakan sesuatu yang benar. 

Chuvalit sudah berdepan dengan satu yang sama dengan apa yang dihadapi oleh Dr. Mahathir sekarang. Sebagai pembangkang Chuan Leekpai menuntut Chuvalit berhenti dan akhirnya tidak ada pilihan bagi Chuvalit melainkan berhenti. 

Leekpai pun menjadi Perdana Menteri lagi sekali. Bagi dunia dan penganalisis Chuan Leekpai adalah menjalankan tanggungjawabnya. Sebagai pembangkang dia dan rakan-rakannya mesti mengemukakan pandangannya tentang apa yang baik untuk Thailand. 

Jika Chuan tidak bangun ketika itu, duduk diam macam yang Dr. Mahathir sarankan, maka orang Thailand dan dunia tidak akan tengok Chuan walaupun dengan sebelah mata. 

Tidak berbangkit pembangkang Thailand mengambil kesempatan memburuk-buruk atau menyalahkan kerajaan. 

Orang Perlis yang mengajar Shahidan Kassim Julai lalu tentu boleh mengajar wakil rakyat Kubang Pasu itu. 

Perdana Menteri Malaysia itu bukanlah baru belajar politik, cuma mungkin dia baru nak belajar jadi pembangkang. Kalau ditakdirkan dia jadi pembangkang nanti, maka kita akan lihat dia menyokong dan menyerahkan semua masalah negara kepada kerajaan dan Perdana Menterinya. 

Jika begitu, dia dan rakan-rakannya tidak mustahil melompat, menyeberang kepada parti kerajaan macam yang selalu dibuat oleh Ibrahim Ali. 

Dr. Mahathir dulu pernah menjadi anak murid Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika berdarah Yahudi. Ketika itu Kissinger menjadi profesor di Universiti Havard. Sejak jadi Perdana Menteri dia asyik naik kapalterbang berkeliling dunia. 

Sepatutnya setelah berjuta dan berbilion ringgit habis membeli kapalterbang, membayar cukai, dan segala kos berkunjung keluar negeri, dia sepatutnya berpandangan luas dan mindanya tidak secetek itu. 

Dia tentu selalu ke Jepun. Dia boleh belajar banyak teori dan taktik pengamal- pengamal politik Jepun. Yang terbaru ialah tentang perletakan jawatan Perdana Menteri Hashimoto. 

Hashimoto telah berbuat sesuatu yang patut untuk kebaikan ekonomi dan kewangan Jepun terutama dalam zaman Asia dilanda kegawatan. 

Jepun tidak hancur seperti Korea Selatan dan Thailand. Tetapi setelah hampir setahun Asia menghadapi kecelakaan ekonomi, maka ada juga kesannya kepada ekonomi Jepun. Semua yang dibangsakan sebagai harimau ekonomi Asia sudah menjadi kucing kurap, tetapi Jepun masih harimau, cuma mulai pening-pening. 

Pembangkang Jepun dan termasuk pembangkang dalam parti yang dipimpin oleh Hashimoto bangun mempersoal kewibawaan Hashimoto dan akhirnya dia telah meletak jawatan seperti lain-lain Perdana Menteri sebelumnya. 

Dr. Mahathir tentu kenal tiap-tiap Perdana Menteri Jepun, mungkin sudah sepuluh orang sejak Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Entah berapa puluh pula Perdana Menterinya sejak Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri. 

Pembangkang Jepun dan pengkritik dari dalam parti tidak pernah berfikir macam Perdana Menteri Malaysia itu fikir iaitu pembangkang tidak boleh bangkang kerajaan pada ketika negara berhadapan dengan kegawatan. 

Otak pembangkang dan pengkritik Hashimoto tidak segan memintanya berhenti apabila ada masalah, tidak kira sama ada masalah itu akibat Hashimoto sendiri atau ia disebabkan oleh kerajaan. 

Tidak pula mereka berarak dari satu wilayah ke satu wilayah untuk mempertahan kuasa dan mengarahkan pembangkang mesti berdiri di belakangnya dengan alasan tempias kegawatan ekonomi yang mengetuk kesejahteraan Jepun itu bukan disebabkan oleh urusan dalam Jepun tetapi adalah kerana kecelakaan yang menimpa negara-negara Asia yang lain. 

Sepatutnya Hashimoto boleh memberitahu hujah itu kepada rakyat Jepun, tetapi jika itu yang dilakukan oleh Jepun nescaya orang Jepun akan kata dia bodoh. Hashimoto tidak berkata apa-apa kepada pembangkang melainkan dia menerima kemahuan pengkritik dan termasuklah pembangkang. Apa yang Dr. Mahathir buat di Jepun yang selalu dikunjunginya itu. Sekadar mencari saudagar-saudagar yang mahu mencari keuntungan di Malaysia atau yang mahu berkongsi dengannya? Atau adakah sekadar belajar tentang kerja rajin saja. 

Rakyat diajar supaya belajar dari Jepun. Cara berfikir ahli-ahli politik dan budaya politik dan demokrasi Jepun tidak dipelajarinya pula. Jika dia belajar dari perjalanannya yang selalu ke situ tentu dia tidak bercakap begitu cetek tentang politik pembangkang Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi negara. 

Atau dalam kes Israel yang sentiasa berhadapan dengan kepungan negara-negara Arab sejak dari mula lahirnya. Dalam keadaan yang serba mencabar itu ahli politik Israel tidak pernah menyekat pembangkangnya dari menentang parti yang memerintah. 

Jika diteliti akan ancaman yang dihadapinya dulu, ia sangat memerlukan perpaduan sesama parti politik. Tetapi pembangkang Israel tidak teragak-agak untuk tidak bersama dengan mana Perdana Menteri apabila pilihan raya atau apabila ada kesempatan menunjuk perasaan. 

Jangan dibacalah tentang apa pembangkang Amerika, Kanada, New Zealand, Latin Amerika dan lain-lain. 

Semuanya tidak perlu dicerita lagi kerana kunjungan keluar negeri yang Perdana Menteri tiap-tiap bulan memungkinkan dia tahu apa perlunya pembangkang dan apa yang pembangkang suka buat. 

Pemergian ke setiap negara itu sepatutnya tidak terus meletakkan ahli-ahli politik kita seperti politikus di bawah tempurung. Biar tikus dan katak saja bergerak di bawah 'tempurung'. 

Pada ketika katak pun sudah tidak kenal tempurung kerana kelapa sawit sudah menggantikan kelapa, ahli politik Malaysia mesti global supaya tahu isi tujuh petala langit dan tujuh petala bumi sesuai dengan wang yang digunakan untuk ke sana sini. 

Rakyat Malaysia termasuk yang di Arau tidak wajar disuap dengan menyakat pembangkang. Mereka tidak di bawah tempurung lagi, dan pemimpin jangan menguji kecerdikan rakyat yang sudah ada internet. Suara itu pemikiran feudal. Tiada pembangkang dalam kamus tempurung feudalisme. 

 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1