Catatan IBNU MUSLIM 

Fakta yang dilupakan oleh Rais Yatim

RAMAI di kalangan pemimpin Umno yang telah meberi nasihat kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi ujian yang paling getir ini. 

Dalam banyak-banyak nasihat itu, saya tertarik hati kepada nasihat yang diberi oleh bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46, Dato' Rais Yatim kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam temubual dengan wartawan TV3 pada malam Isnin kelmarin, Dato' Rais Yatim mengingatkan Anwar Ibrahim supaya tidak menyerang Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan seperti sekarang. 

Menurut beliau, apa yang harus dilakukan oleh Anwar sekarang, ialah mempertahankan segala tuduhan yang dihadapkan kepadanya, dan bukannya menyerang Dr. Mahathir, badan kehakiman dan jentera kerajaan sebagaimana yang dilakukan sekarang. 

Apa yang lebih menggelikan hati, bekas Menteri Penerangan itu menyebut bahawa perlucutan jawatan seorang menteri, adalah perkara biasa sahaja. 

Katanya, mengikut perlembagaan, seseorang Perdana Menteri, berhak melantik dan memecat seorang menteri. 

Berdasarkan kepada hakikat itu, maka soal pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, adalah perkara biasa sahaja. 

Lebih jauh, Rais Yatim menekankan bahawa Perdana Menteri tidak akan mengambil tindakan memecat Anwar Ibrahim, sekiranya beliau (Anwar) bersedia mengundurkan diri secara terhormat. 

Dalam temubual dengan wartawan TV3 itu, beliau telah menyatakan rasa kesalnya kerana Anwar tidak bersedia mengundurkan diri bila diminta oleh Perdana Menteri. 

Pendekatan, bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu, tidak bersetuju dengan tindakan Anwar mengadakan` road show' dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyerang Perdana Menteri dan pihak polis. 

Apa yang beliau mahu supaya Anwar menumpukan perhatian untuk mempertahankan diri dari segala tuduhan yang dibuat terhadapnya. 

Kita tidak hairan, kalau Dato' Najib dan Pak Lah membuat kenyataan sedemikian rupa, kerana mereka berdua tidak pernah disingkir dari kabinet dan tidak pernah memimpin sebuah parti pembangkang. 

Tetapi Dato' Rais Yatim ini, pernah menyelar dan mengutuk kerajaan Barisan Nasional di waktu beliau menjadi orang numbor dua dalam Parti Melayu Semangat 46 dulu. 

Masih segar dalam ingatan saya, ucapan-ucapan Dato' Rais Yatim di waktu Tun Salleh Abbas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara. 

Sebagai seorang peguam, beliau ialah antara pemimpin parti pembangkang yang banyak mengecam dan menyelar tindakan Dr. Mahathir memecat Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara. 

Belaiu bukan sahaja mempertahankan Tun Salleh Abbas, malah beliau juga menolak perlantikan Tun Abdul Hamid Omar sebagai Ketua Hakim Negara yang baru. 

Dalam mempertahankan Tun Salleh Abbas dan menolak perlantikan Tun Hamid Omar, maka sudah tentu beliau menyentuh soal sistem kehakiman di negara ini. 

Bukan sahaja, Rais Yatim, malah ramai antara pemimpin-pemimpin Parti Melayu Semangat 46 yang mempersoalkan sistem kehakiman di negara ini selepas pemecatan Tun Salleh Abbas. 

Dalam erti kata lain, bukan sahaja Anwar Ibrahim yang mempersoalkan soal sistem kehakiman, malah pemimpin-pemimpin pembangkang lain termasuk bekas-bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 juga memperkatakan perkara yang sama di waktu mereka berada dalam parti pembangkang. 

Saya tidak fikir, Rais Yatim akan membangkitkan perkara itu, (soal sistem kehakiman) kalau beliau semak balik ucapan-ucapannya di waktu memimpin Parti Melayu Semangat 46 dulu. 

Dalam temubual dengan wartawan TV3 itu juga, Dato' Rais Yatim mempersoalkan tentang perubahan sikap bekas Timbalan Perdana Menteri selepas beliau dipecat dari jawatannya. 

Perubahan sikap seorang pemimpin, adalah perkara biasa dalam politik. 

Sikap Tengku Razaleigh Hamzah juga telah berubah secara mendadak, bila beliau sudah menyertai Umno semula. 

Kalau di waktu beliau (Ku Li) memegang jawatan Presiden Parti Melayu Semangat 46 dulu, beliau ialah antara pemimpin pembangkang yang banyak mengecam dan mengkritik dasar kerajaan Barisan Nasional, tetapi kini sikap beliau telah berubah sama sekali. 

Tidak keterlaluan, kalau saya katakan bahawa Ku Li akan menyokong dan menerima apa sahaja yang dirancang dan yang dilaksanakan oleh Dr. Mahathir. 

Sebenarnya, perubahan sikap itu berlaku, bila adanya perubahan kedudukan dan taraf tiap-tiap seorang insan termasuk pemimpin-pemimpin parti politik. 

Oleh sebab itu tidak hairanlah kalau Dr.M sendiri pernah berucap di platform PAS diwaktu beliau disingkirkan dari Umno. 

Yang tidak disedari oleh Rais Yatim ialah cara Perdana Menteri memecat dan menyingkir Anwar Ibrahim dalam kerajaan dan parti. 

Semua orang menyedari dan mengakui bahawa cara Dr. Mahathir menyingkir dan memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu sebagai tindakan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku di negara ini. 

Sebelum ini, belum ada seorang Menteri Kerajaan Pusat yang dipecat dan dua hari kemudian, keahliannya dalam Umno dilucutkan. 

Ini merupakan satu perkara yang luar biasa yang berlaku ke atas seorang Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden kepada parti yang memerintah (Umno). 

Apa yang harus disedari oleh Rais Yatim bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja dipecat dan disingkirkan dari kedudukannya dalam parti dan kerajaan, malah beliau telah dihadapkan dengan berbagai tuduhan yang luar biasa. 

Sebagai seorang pemimpin dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat secara luar biasa dan dituduh dengan tuduhan yang luar biasa juga, maka sudah pasti beliau juga akan bertindak dengan tindakan yang agak luar biasa dan menakutkan. 

Pada hemat saya, adalah wajar bagi beliau membuat tuduhan yang luar biasa kepada Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin Umno yang rapat dengannya, kerana beliau telah dituduh dengan berbagai tuduhan yang unik dan ganjil. 

Walaupun tindakan mengadakan `road show' yang dijalankan oleh Anwar Ibrahim dan para pengikutnya sebagai satu perkara yang luar biasa, tetapi itulah sebagai satu jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang luar biasa yang dihadapkan kepadanya. 

Kalau tidak salah ingatan saya, Aziz Ishak juga pernah bertelagah dengan Tunku Abdul Rahman dalam soal baja `urea', dan akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan. 

Aziz Ishak terpaksa meninggalkan kabinet Tunku Abdul Rahman ekoran tidak bersedia menerima jawatan di kementerian lain, selain Kementerian Pertanian dan Perikanan. 

Akibat dari pertelagahan dengan Tunku Abdul Rahman itu, beliau keluar dari Umno dan menubuhkan parti baru. 

Ini bererti bahawa Aziz Ishak merupakan seorang menteri pertama yang menentang Perdana Menteri dalam soal-soal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. 

 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1