HARAKAH : Isu Anwar: Selesai Melalui Rundingan

Isu Anwar: Selesai melalui rundingan

MACHANG: Mursyidul Am PAS berharap pihak yang terbabit dengan isu penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri menyelesaikan masalah itu melalui rundingan tiga pihak. 

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, polis, pihak yang memecat dan Dato' Seri Anwar Ibrahim hendaklah menyelesaikan masalah tersebut melalui rundingan. 

Katanya, mereka boleh duduk semeja untuk berbincang dan menyelesaikan masalah yang timbul. 

"Saya tertarik dengan laporan, Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri) yang pernah mengiringi belia-belia untuk ke Parlimen dengan cara baik," katanya selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, Isnin lalu. 

Beliau juga meminta rakyat bertenang menghadapi suasana kegawatan politik yang berlaku sekarang secara bijaksana tanpa mencetuskan keadaan yang tidak diingini. 

"Kalau boleh tidak perlu lagi lanjutkan kegawatan yang berlaku, guna semangat kesukanan seperti yang berlaku di sukan Komanwel di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya. 

Beliau mengajak pemimpin mengamalkan hadith sebagaimana bermaksud, "Orang gagah ini bukan bererti orang yang boleh rebahkan lawan tetapi orang yang gagah ialah orang yang dapat mengawal kemarahannya,". 

Beliau juga berharap isu penangkapan Anwar tidak memburukkan lagi kegawatan politik yang berlaku. 

 

Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1