HARAKAH : Anwar Sahkan Rumah PM Di Putra Jaya RM200 Juta

Anwar sahkan rumah PM di Putra Jaya RM200 juta

Oleh SALMAN HUSIN 

 

BATU PAHAT: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh PAS sebelum ini berhubung dengan harga rumah baru Perdana Menteri di Putra Jaya yang berharga RM200 juta. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penyokong gerakan reformasi di Batu Pahat pada 19 September lalu. 

"Walaupun saya juga diberi tawaran untuk membina sebuah rumah yang cukup mewah dengan kos antara RM50 hingga RM70 juta, namun saya tidak mengambil kesempatan ini untuk terus membazir wang rakyat. 

"Bagi saya cukuplah dengan pembaziran yang telah sedia ada dengan pembinaan beberapa projek yang hanya memberi keuntungan kepada individu tertentu yang langsung tidak menguntungkan rakyat," ujar beliau. 

Beliau mengajak setiap ahli Umno supaya menolak pemimpin yang terus menerus membazirkan wang negara hanya sekadar untuk memenuhi kerakusan nafsu semata-mata. 

"Ahli-ahli Umno perlu menyokong gerakan reformasi ini bagi mengembalikan semula maruah negara di mata dunia kerana selama ini sikap kepimpinan negara telah mencemarkan imej negara ini," ujarnya. 

Tambah beliau, sistem pemerintahan Dr Mahathir yang ala diktator ini telah menafikan semua kepentingan serta keadilan terhadap seluruh rakyat. 

Oleh itu, sambungnya reformasi perlu dibuat segera bagi menolak pemimpin yang bersifat diktator itu. 

"Kalau sebelum ini PM beroleh kejayaan dalam pertarungannya dengan bekas-bekas timbalannya, hakim dan juga raja-raja, tetapi kali ini beliau akan gugur apabila berhadapan dengan kuasa rakyat. 

"Hanya dengan kuasa rakyat sahaja jalan yang mampu untuk mengalahkan Dr. Mahathir serta menyekat beliau daripada terus berlaku zalim kerana beliau sendiri pun memang tidak pernah bercita-cita untuk meletak jawatan," ujar beliau bersemangat. 

Seterusnya beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Umno mengajak seluruh rakyat negara ini terutamanya umat Islam supaya menolak pemimpin yang telah menghina ulama', hukum hudud dan juga agama Islam. 

"Perbuatan seperti ini sudah sampai ke kemuncak kezaliman yang tidak boleh dimaafkan lagi. 

"Rakyat mesti menghukum pemimpin ini sekiranya tidak mahu nasib agama, bangsa dan negara ini terus dipandang rendah dan berada di dalam kehinaan akibat perbuatan pemimpin yang zalim ini," ujar beliau. 

Ketika berita ini dilaporkan Anwar masih lagi belum ditahan, bagaimanapun pada 21 September lalu Anwar kemudiannya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1