HARAKAH : Anwar Ajak Rakyat Lakukan Perubahan

 
 

Anwar ajak rakyat lakukan perubahan

 

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat melakukan perubahan besar dalam politik negara, sebelum ia bertambah rosak. 

Beliau berkata, ucapan Perdana Menteri yang menyentuh pelbagai perkara mengenai agama adalah longgar. 

Menurutnya, pemimpin berkenaan pernah mengecam orang yang menyimpan janggut, perempuan bertudung dan membiarkan masalah murtad. 

"Saya sudah nasihatkan dia supaya tidak mencabar pandangan ulama' dalam perkara yang dia tidak reti," katanya pada pidato reformasi di Stadium Sultan Mohamed Ke IV, malam Sabtu lalu. 

Stadium berkenaan penuh sesak dengan puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan yang disampaikan oleh Dato' Seri Anwar. 

Biarpun hujan lebat dan terpaksa menghadapi sekatan di jalan-jalan raya, orang ramai tetap datang untuk memenuhi segenap ruang stadium tersebut. 

Anwar juga mendakwa beliau terpaksa memboceng motosikal untuk cepat sampai di stadium dari Pasir Puteh. 

Anwar berkata, beliau tidak boleh tahan lagi dengan sikap Perdana Menteri yang memperli ulama' dan Islam. 

Menurutnya, beliau juga tidak senang dengan sistem pengagihan ekonomi yang tidak adil oleh Perdana Menteri sehingga menekan rakyat golongan bawahan. 

"Penyokong PAS, Umno dan semua pihak perlu menuntut perubahan di negara ini. 

"Saya pernah dituduh menerima rasuah sehingga RM60 juta, duit sebanyak itu di mana hendak saya ambil. Lagipun saya mendiami rumah yang sama sebelum menjadi menteri dan selepas dilucutkan," katanya. 

Anwar berkata, sekiranya mahu betul-betul cakap soal moral, semua menteri-menteri dan kawan-kawan yang dekat dengan Perdana Menteri perlu disiasat. 

Beliau juga mencabar pihak berkenaan mendedahkan nama-nama wanita yang dikaitkan dengan seks terhadapnya. 

Hadir sama di ceramah itu, Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution dan empat peguam Anwar termasuk Zulkifli Nordin. 

Ceramah lebih sejam itu berakhir kira-kira jam 11 malam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. 

 

Ke Laman Utama

 

Hosted by www.Geocities.ws

1