Catatan IBNU MUSLIMReaksi rakyat terhadap media tempatanPEMECATAN Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja satu peristiwa yang luar biasa malah akibat daripada penyingkiran itu telah berlaku beberapa peristiwa yang belum berlaku sebelum ini di negara kita.Kalau tidak salah ingatan saya, sebelum ini, belum pernah rakyat negara ini memaki hamun Perdana Menteri dan menteri-menteri lain sebagaimana yang berlaku di sekitar kawasan Masjid Negara pada 20 September lepas. Apa yang jelas sekarang, rakyat sudah mulai menuntut secara terbuka supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan dengan segera. Tuntutan rakyat supaya seorang Perdana Menteri meletakkan jawatan, merupakan satu perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini. Pada hemat saya, kalau tidak ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat, maka sudah tentu tidak ada seorang rakyat yang menuntut Perdana Menterinya meletakkan jawatan dengan seberapa segera yang boleh. Kita tidak hairan, kalau Dato' Fadzil Noor, Dr. Syed Husin Ali dan Lim Kit Siang mendesak agar Dr. Mahathir meletakkan jawatan, kerana mereka itu adalah pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang utama di negara ini. Yang menimbulkan persoalan sekarang, mengapa ratusan ribu rakyat melaungkan supaya Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri? Apa yang jelas sekarang, kalau benar-benar rakyat Malaysia dan ahli-ahli Umno masih sayang dan cinta kepada Perdana Menterinya, maka sudah tentu mereka tidak akan mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan. Pendek kata, orang-orang Melayu dan ahli-ahli Umno tidak akan melaungkan perkataan yang tidak sopan dan menggesa "Mahathir mesti undur - Mahathir mesti undur", kalau mereka masih menganggap Dr. Mahathir sebagai seorang 'Perdana Menteri yang adil dan bertimbang rasa' kepada rakyat. Oleh kerana sikap Dr. Mahathir yang dianggap tidak berlaku adil kepada musuh-musuh politiknya khususnya kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, maka rakyat mulai mencemuh dan menentangnya secara terbuka. Pada hemat saya, kehadiran orang ramai di Masjid Negara dan di Dataran Merdeka, tidak seramai itu, kalau akhbar-akhbar tempatan tidak menyiarkan berita tentang dua orang rakan yang kononnya "diliwat" oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ini bererti, para penyokong Anwar dan orang ramai marah kepada media tempatan yang membesar-besarkan berita mengenai Sukma Darmawan dan Dr. Munawar Ahmad yang dikatakan telah diliwat oleh Anwar Ibrahim. Untuk membuktikan kemarahan mereka kepada media dan Dr. Mahathir, maka rakyat dari semua lapisan masyarakat telah membanjiri kawasan Masjid Negara dan Dataran Merdeka pada 20 September lepas. Ini reaksi rakyat terhadap media-media tempatan yang menyiarkan berita-berita yang memalukan Dato' Seri Anwar dan keluarganya. Besar kemungkinan, orang ramai yang mengikuti ucapan Dato' Seri Anwar juga tidak akan berarak ke PWTC dan ke Seri Perdana, kalau tidak ada berita yang memalukan keluarga Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada 19 September lepas. Dalam erti kata lain, lagi banyak tuduhan yang dibuat terhadap Anwar Ibrahim, makin ramai rakyat bersimpati kepada beliau. Inilah yang berlaku dalam sepanjang isu pemecatan Dato' Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dr. Mahathir dan para pemimpin Umno lain, harus menyedari hakikat ini, kalau benar-benar pihak kerajaan hendak mendapat sokongan rakyat dalam isu pemecatan dan penyingkiran Anwar Ibrahim ini. Apa yang berlaku sekarang, nampaknya kerajaan telah gagal untuk mendapat sokongan rakyat dalam soal ini. Ucapan Dr. Mahathir dan para pemimpin lain dalam isu pemecatan Anwar ini, jelas menimbulkan kemarahan rakyat. Yang lucunya, tidak seorang pemimpin Umno yang cuba meninjau pandangan rakyat mengenai perkara pemecatan dan penyingkiran Anwar daripada parti dan kerajaan. Saya telah diberitahu oleh beberapa orang rakan lama dan baru bahawa rakyat tidak menerima alasan yang diberi oleh Dr. Mahathir dan rakan-rakannya mengenai sebab-sebab mengapa harus dipecat dari dua jawatan yang penting itu? Seorang bekas wartawan memberitahu saya, hanya seorang dari 10 orang yang ditemui yang menyokong pemecatan bekas Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri itu. Ini bererti, sembilan puluh peratus orang-orang Melayu dan ahli-ahli Umno yang menentang pemecatan dan penyingkiran Anwar dari kerajaan dan Umno. Soalnya sekarang, mengapa pimpinan Umno dan Dr. Mahathir tidak mahu menyedari dan menerima hakikat ini? Pendapat ketua-ketua bahagian dan wakil-wakil rakyat BN dalam isu ini, tidak mencerminkan pendapat dan fikiran rakyat dalam soal pemecatan Anwar Ibrahim ini. Saya telah diberitahu bahawa berikutan dengan penangkapan Kamaruddin Mohamad Noor dan Kamaruddin Jaafar di bawah ISA, maka lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin Umno di Kelantan akan memihak kepada Anwar. Khabarnya, penyokong-penyokong dua Kamaruddin itu akan berpaling tadah dan akan memberi sokongan terbuka kepada Anwar yang ditahan di bawah ISA pada malam 20 September yang lalu. Menurut satu sumber yang lain pula, ramai di antara pemimpin Umno dan wakil-wakil rakyat BN yang mulai merasa kecewa dengan tindakan-tindakan Dr. Mahathir terhadap Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini. Selain dari berita-berita angin yang mengatakan bahawa lebih ramai lagi penyokong Anwar akan ditahan di bawah ISA, maka ada juga berita-berita yang mengatakan ramai di kalangan pemimpin Umno yang akan berpaling tadah dan memberi sokongan yang terbuka kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Tetapi apa yang lebih menarik bagi saya di perhimpunan di kawasan Masjid Negara itu ialah laungan 'Harakah, Harakah, Harakah' bergema di sepanjang ucapan Anwar Ibrahim. Bila bekas Timbalan Perdana Mentri itu, menyelar media tempatan kerana berlaku tidak adil kepadanya, maka suara dan laungan, 'baca Harakah, baca Harakah dan baca Harakah' diulang berkali-kali oleh orang ramai yang mengikuti ucapannya itu
|