Apabila polis sendiri siasat salahlaku polisGERAK RAGUI SIASATAN POLISKUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (Gerak), Dato' Haji Fadzil Mohd Noor mendesak kerajaan agar menubuhkan pasukan penyiasat lain untuk menyiasat dakwaan bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau dipukul ketika dalam tahanan polis.Beliau yang juga Presiden PAS berkata, adalah menjadi satu kesangsian dan diragui kewibawaannya untuk polis, walaupun bukan dari Cawangan Khas, menyiasat salah laku anggota polis yang lain. Oleh itu, katanya, Gerak dan PAS khasnya sangat meragui Jawatankuasa Penyiasat yang ditubuhkan oleh polis dan kerajaan itu. Sehubungan dengan itu, kerajaan didesak agar menubuhkan pasukan penyiasat yang lain yang terdiri dari mereka yang diyakini oleh rakyat. "Saya mencadangkan orang-orang seperti bekas hakim, mufti, pegawai tinggi kerajaan yang diterima oleh rakyat serta badan-badan keadilan dunia menganggotai pasukan penyiasat ini bukannya terdiri dari polis sahaja. "Ini kerana, yang bertanggungjawab kepada kejadian memukul Dato' Seri Anwar ini bukan polis sahaja tetapi Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara sendiri," tegas Dato' Haji Fadzil ketika dihubungi di rumahnya di Alor Setar. Dalam kenyataannya kepada Harakah juga, Dato' Haji Fadzil mendesak agar Anwar dibebaskan segera dari tahanan ISA dan dibenarkan ikat jamin kerana beliau telah didakwa di mahkamah. "Penyiasatan tidak diperlukan lagi kerana polis sudah pasti memperolehi bukti yang cukup selepas dakwaan dibuat di mahkamah ke atas Anwar. "Jika penahanan diteruskan, ia akan melanggar prinsip-prinsip keadilan kerana mereka yang tertuduh berhak untuk berbincang dengan peguam mereka tanpa rasa takut," kata beliau. Beliau juga mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA yang lain tanpa syarat atau mendakwa mereka di mahkamah jika diperolehi sebarang bukti mereka bersalah. Sementara itu, ketika bercakap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur AJK PAS Pusat Haji Subky Latif mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa dibentuk bagi menyiasat dakwaan Anwar tersebut. Ini kerana, Anwar adalah bekas pemimpin negara yang mana pihak antarabangsa mempunyai kepentingan dengan kes ini. Beliau mencadangkan suruhanjaya penyiasatan di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau Amnesty International di bentuk. |