ISA lahirkan rakyat penakut - PUMKUALA LUMPUR: Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menyifatkan tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menambahkan ketakutan rakyat negara ini sehingga tidak ada kebebasan untuk mereka bercakap. Sehubungan itu, Yang Dipertuanya, Ustaz Ahmad Awang, mahukan kerajaan kembali kepada undang-undang Islam untuk mendapatkan keadilan kerana undang-undang yang ada mempunyai kelemahan yang akhirnya tidak memberi keadilan kepada semua pihak. "Undang-undang Islam untuk keadilan manusia dan ia bergantung kepada pertimbangan dosa dan pahala, dunia dan akhirat," ujarnya. Beliau menjawab perkara yang dibangkit oleh pihak tertentu mengatakan kalau tidak diambil tindakan ISA dan dibicarakan di mahkamah, kadang-kadang dari segi teknikal payah dan akhirnya boleh lepas. Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini, memberitahu beliau baru sahaja pulang dari Bukit Aman dan diambil keterangan selama tiga jam, Khamis lalu. Ustaz Ahmad meminta kerajaan memansuhkan sahaja ISA. Ini kerana kata beliau, ISA meletakkan rakyat dalam ketakutan, tidak berani bersuara dan melahirkan manusia penipu. "Orang kalau takut dia akan berpura-pura dan lahirlah masyarakat berpura-pura," ujarnya mengulas penggunaan ISA ke atas 14 orang kerana didakwa boleh mencetuskan ketenteraman negara. Tambahnya, beliau sejak dahulu lagi menentang ISA kerana ia merupakan undang-undang zalim yang tidak memberi pembelaan kepada mangsa yang dituduh. Tambah beliau, walaupun ada tuduhan tapi tetapi diadili secara tertutup bukan di mahkamah terbuka bagi memberi peluang mangsa yang dituduh membela dirinya sama ada tuduhan tersebut betul atau tidak. "Misalnya tuan tuduh saya terlibat dalam perkara yang memudaratkan kerajaan sedangkan saya tidak buat. Tetapi ISA tidak beri peluang untuk saya yang dituduh itu untuk bela diri. Apakah ini tidak menganiaya mangsa yang dituduh itu," soalnya. Menurut beliau, kepentingan undang-undang untuk menghormati hak orang lain tetapi jika sebaliknya undang-undang itu tidak memberi keadilan kepadanya, ia akan menakutkan orang. Katanya ada juga yang mengatakan kalau tidak ada ISA, orang boleh buat huru-hara, kata beliau sebaliknya keamanan itu sebenarkan melahirkan masyarakat yang takut dan tidak berani menyuarakan keadilan. |