Urus sokong penubuhan GerakKUALA LUMPUR: Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (Urus) menyokong penuh penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) dan akan menyertainya disamping bersedia memberi komitmen dalam mencanang dan melagangkan misi keadilan. Presidennya, Mustapa Kamal Maulut, berkata banyak faktor yang mendorong untuk menyokong misi Gerak ini, antaranya untuk menegakkan keadilan rakyat dan menjajarkan kembali proses keadilan negara dan selanjutnya menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di samping membantah penyalahgunaan kuasa dan kezaliman dalam tempuh ISA. Beliau berkata demikian dalam suratnya kepada Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 24 September lalu dihantarkan ke sini. Beliau turut megucap tahniah kepada PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas inisiatif mencetuskan idea Gerak. "Urus dengan rasa sedar dan penuh iltizam menyatakan sokongan penuh dan bersedia memberi komitmen dalam mencanangkan dan melagangkan misi ini," ujar Mustapa. Sokongan ini, kata beliau juga mengulangi iltizam Urus kepada usaha menangani pelbagai masalah penyakit masyarakat, murtad, maksiat di sisi Allah, krisis moral dan sosial, nepotisma, kronisma dan korupsi yang semuanya ini menjurus kepada sebab kejatuhan ekonomi Malaysia. Katanya pendirian ini jelas sepertimana agenda yang lalu, dimana Urus telah mengepalai 13 persatuan NGO mengadakan kenyataan akhbar bersama berhubung isu maksiat iklan Carlsberg Sukom yang akhirnya penajaan syarikat arak itu ditarik balik. "Urus akan terus menyertai Gerak atas satu landasan sebagai satu instrument yang berperanan mengajak rakyat menghayati ajaran Islam secara menyeluruh, seterusnya berjuang menegakkan undang-undang Islam di Malaysia. "Kepada rakyat yang bukan Islam harus diberi penerangan bahawa perlaksanaan undang-undang Islam adalah satu alternatif kepada sistem pemerintahan yang korup ini, agar terjamin keadilan dan kemakmuran sejagat," ujarnya. |