Mengapa Nungsari meletak jawatanKUALA LUMPUR: Perletakan jawatan Ahli Parlimen Balik Pulau, Dr Nungsari Ahmad Radhi sebagai Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang dikatakan kerana tidak sanggup memberi penerangan berhubung tindakan pemimpin Umno memecat ahlinya Dato' Seri Anwar Ibrahim. Surat perletakan jawatan itu dimaklumkan tersebar dalam Internet dan beliau menyifatkan penerangan itu bertentangan dengan falsafah beliau untuk memelihara kepentingan parti. Surat perletakan jawatan beliau bertarikh 4 Oktober itu ditujukan kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Mohd Shariff Omar. Dalam surat tersebut beliau khuatir mengenai rungutan orang ramai yang melihat Umno bukan parti perjuangan tetapi parti kepentingan diri. "Bagi mereka Umno adalah mesyuarat agung setahun sekali, Umno itu pertandingan merebut jawatan, Umno itu rombongan dan lawatan, Umno itu acara sukan dan majlis keramaian dan bersuka-suka dan Umno itu `platform' mencari kedudukan dan kekayaan," ujarnya dalam surat tersebut. Tambah beliau, politik dalam Umno tidak serius dan masyarakat tidak nampak usaha yang membincangkan soal dasar dan perundangan digubal dan dilaksanakan. Umno nampaknya juga tidak berbincang dengan isu bahasa, budaya mahupun politik dalam ertikata yang lebih luas. Ahli-ahli Umno dilihat sebagai tidak berilmu, sebab itu mereka mudah dipengaruhi oleh yang mahu jadi pemimpin, gejala politik wang yang menjadi-jadi dan mereka yang berwang akan berjaya maka muncullah satu tanggapan bahawa fitnah dan penipuan menjadi teras budaya politik Umno. Tanggapan umum itu tidak menghairankan memandangkan di kalangan ahli Umno sendiri merasakan Umno itu tidak boleh ilmiyyah sangat, Umno itu tidak boleh Islam sangat dan Umno itu tidak boleh serius sangat. Tanggapan umum mengenai fitnah dalam politik Umno diperkayakan dengan episod Dato' Seri Anwar Ibrahim, bermula dengan surat layang kemudian dibukukan yang menjadi asas dakwaan. Cara tindakan diambil sehingga sekarang nampaknya 'tanah lembang dan kayu pun sudah patah'. Kerana itu, beliau dikatakan tidak sanggup memberi penerangan yang menjatuhkan maruah seseorang yang dianggapnya tidak sesuai. "Kita telah membunuh saudara kita yang cedera dan memakan dagingnya," ujarnya. Beliau menghormati keputusan Majlis Tertinggi memecat Anwar bagaimanapun episodnya sungguhnya menyedihkan dan rata-rata orang Melayu berasa malu dan imej Umno, Melayu dan Islam terjejas di mata umum. |