MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Umno yang sentiasa bermusuh 

 

PERDANA MENTERI Dr. Mahathir memecat timbalannya - dalam kabinet dan dalam Umno - atas alasan akhlak salah laku atau berkelakuan tidak senonoh. 

Sehingga dua minggu selepas pemecatan itu, tiada kesalahan lain yang diberikan selain kaki betina dan liwat. 

Perdana Menteri mengaku dia sendiri melakukan penyiasatan. Ertinya dia tidak sekadar bergantung kepada penyiasatan polis. 

Isi penyiasatannya dan fakta-faktanya belum ditunjukkan, macam ada persamaan dengan apa yang dikatakan keterangan baru yang ditemui oleh Peguam Negara dalam kes Tan Sri Rahim Tamby Chik yang memungkinkan bekas Ketua Pemuda Umno itu dibebaskan. 

Hingga ini keterangan baru itu tidak diterbitkan dan mungkin sampai kiamat ia tidak akan diterbitkan. Adakah hasil dan isi penyiasatan sendiri Perdana Menteri itu begitu juga akhirnya? 

Setakat ini dalil keburukan bekas TPM itu hanya didapati dalam apa yang dikatakan afidavit Dato' Nalla yang ditahan di bawah ISA itu. 

Jika afidavit itu tidak ada, maka mungkin tiada dalil yang boleh dipegang sebagai bahan bukti. 

Tetapi seminggu selepas bekas pemimpin Umno itu dipecat diedarkan pula satu dokument dari Nalla yang ditandatanganinya dan diedarkan dari peguamnya. 

Dokumen itu menafikan afidavit itu datang darinya. Dia tidak pernah membuat dokumen itu. Dia tidak pernah menanda tanganinya dan tidak tahu menahu. Dia tidak pernah membincangkannya dengan polis. 

Saya diberitahu penafian itu telah disiarkan di muka depan akhbar-akhbar di Singapura. Malah di Australia pun ada. 

Surat yang datang dari peguam tentulah dipertanggungjawabkan oleh peguam. 

Jika surat dari peguam itu betul, maka apa yang dikatakan afidavit Nalla itu adalah palsu. 

Pada malam berita TV Perdana Menteri mengatakan dia telah melakukan penyiasatan sendiri itu tersiar, dokumen Nalla yang menafikan afidavitnya mungkin sudah pun beredar. Esoknyalah akhbar Singapura menyiarkannya. 

Jika keburukan peribadi bekas tokoh Umno itu dari dalil afidavit tadi saja, maka dengan kesahihannya tercabar, lalu dalil dari mana hendak dipegang sekarang. 

Penganjur Umno yang malang itu tidak pernah mengangkat saya menjadi 'loyar'nya dan bukan kerja saya untuk membelanya. Tetapi saya mahukan asas pemecatan itu dan apa dalilnya. Dalil yang 50 itu setakat ini sekadar dalih kerana ia sedang dimahkamahkan. 

Jika tiada dalil lain, maka ada kemungkinan orang tua itu dipecat tanpa asas yang kukuh atau dia diadili oleh Majlis Tertinggi Umno mengikut kaedah hakim beruk. 

Dr. Mahathir sekarang mesti membuktikan yang dikatakan afidavit Nalla itu sahih. Jika ia tidak dibuktikan maka pemecatan tadi tidak sahih. 

Maka ada lebih baik dia dipecat tanpa alasan dari memberikan alasan yang tidak beralasan. Bukankah senang pemecat sekadar memecatnya kerana dia tidak suka kepada yang dipecat. Lalu senang orang tidak akan tanya sebab dia tidak suka. Suka hati dialah tidak suka. 

Tetapi bila asas alasan itu palsu, maka sudah tentu Umno dikata orang bersaksi ke lutut. 

Kes pemecatan ini tidak di bawa ke mahkamah kerana menjadi satu kesalahan pula kepada Umno jika ahli Umno membawa Umno ke mahkamah. Maka sudah tentu kes saksi ke lutut itu tinggal di lutut itu sajalah. 

Jika betul afidavit itu palsu maka pembuangan bekas TPM itu satu tindakan yang tidak sah dan tidak bermaruah. 

Maka itulah Umno yang digila-gilakan oleh para menteri dan ahli-ahlinya. 

Maka adakah bekas TPM yang dihina itu masih mabuk Umno juga lagi? 

Ada orang berkata Umno tidak bersalah dan yang salah dalam kes ini ialah orang-orang Umno takutkan dia jadi ketua Umno, maka orang yang takut itu terbayang-bayang akan nasib buruk mereka. Justeru itu mereka terus mabuk Umno walaupun Umno meludah dan memijak-mijak mereka. 

Adalah benar Islam tidak salah dan yang mungkin membuat salah orang Islam. Tetapi pada Umno lain. Salahnya Umno ialah ia berpegang kepada keadilan Maciavelli. Ia menghalalkan cara dan ia sekular. 

Seolah-olah TPM teraniaya dan terpedaya dengan pemecatan berdalih itu. Tetapi TPM kononnya bersabar dan dengan mabuk Umno itu dia berharap akan jadi Dr. Mahathir kedua, iaitu dipecat dan kemudian balik memimpin Umno dan kerajaan. 

Bagaimana kalau nasib seperti itu hanya untuk Dr. Mahathir saja? 

Perlu diketahui bahawa suasana bekas TPM tidak sama dengan watak Dr. Mahathir. Dr. Mahathir ada Tun Razak. Sengketa Dr. Mahathir dengan Tunku Abdul Rahman membuka jalan kepada Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri segera. 

Tun Razak kira-kira berterima kasih kepada Dr. Mahathir. Jika tiada krisis itu mungkin Tun Razak mati setakat Timbalan Perdana Menteri saja. Bukankah Tun Razak mati dulu dari Tunku? 

Ada sebab-sebab yang menasabah Tun Razak setuju membawa Dr. Mahathir kembali ke pangkuan Umno. 

Tetapi siapakah yang hendak membawa anak Cheruk To' kun itu kembali kepada Umno? Daim atau Dato' Abdullah Badawi? Jangan mimpi. 

Hanya Dr. Mahathir saja yang boleh membawa beliau kembali kepada Umno. Dia boleh bawa Tengku Razaleigh dan Rais Yatim dan dia boleh bawa Tun Ghafar dan dia boleh kembalikan Tan Sri Musa Hitam ke jawatan TPM kalau Tan Sri Musa mahu. 

Tetapi kedatangan semula sekaliannya adalah atas kemahuan dan favour Mahathir atas apa-apa dorongan juga, bukan kerana keadilan. Maka masing-masing akan merasa seperti tertebus olehnya dan hidup semula. 

Kini semua telah bersuara senada dengan Perdana Menteri bahawa TPMnya itu adalah tidak bermaruah. Hatta yang naik kerana mengikut dia dulu, seperti sudah sumbang nada. 

Anak Tun Hussein Onn pun bersama Perdana Menteri juga walaupun seluruhnya tahu bahwa perletakan jawatan Tun Hussein Onn dari Perdana Menteri dulu pun adalah kerana kecil hati dengan timbalannya. 

Pemimpin-penimpin Umno di berbagai peringkat telah meletakkan TPM itu ke dalam limbah. Tidak ada penghinaan terhadap seseorang anak Adam yang lebih teruk selain dari menyamakannya dengan kaum Luth. 

Seluruh keluarga dan anaknya yang tak tahu berfikir ikut terpesona dan terhina dengan tuduhan oleh Umno. Bapa dan ibu boleh berdalih kepada anak-anak bahawa tohmah yang dikenakan itu bererti itu dan ini, tetapi anak-anak itu akan tahu dari rakan-rakan di sekolah. Tidakkah ia akan mengganggu pertumbuhan anak-anak itu kelak? 

Mungkin yang salah bukan Umno tetapi orang Umno, orang mabuk Umno mesti faham bahawa sistem dan nilai hidup yang terpakai dalam Umno memungkinkan cara itu berterusan dan tidak mungkin diruntuhkan dari dalam. 

Jika tokoh yang berkeris boleh dicampak bila-bila masa oleh pembesar Umno, maka mana ada masa baginya untuk menjaga kesejahteraan negara dan penduduk. 

Umno bukan sekadar berdalih membuang orang yang berperangai hodoh, orang alim yang tak kenal rumah urut seperti mufti Selangor turut tercampak. TPM adalah yang terakhir. Sebelumnya Tun Salleh Abbas, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, bekas Mufti Selangor, Dr. Harun Din dan lain-lain. 

Warga Bank Negara lebih terharu. Dalam masa sebulan ia kehilangan lima kerabat. Gabenor pertama, Tun Ismail Ali dan seorang gabenor lagi Tan Sri Jaafar Hussein meninggal. Lepas itu gabenor dan timbalannya terpecat. Akhirnya Menteri Kewangan. Dua mati dan tiga terbuang dalam masa sebulan. 

 

Ke Laman Utama

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1