HARAKAH : Media Lepasi Batasan Kesopanan

Media lepasi batasan kesopanan

GUA MUSANG: Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa kurang senang dengan cara media tempatan memaparkan skandal seks membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri kerana ia tidak mencerminkan sifat kesopanan. 

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendedahan skandal yang dibuat oleh pihak tertentu bagi tujuan menjatuh dan mengaibkan orang lain adalah bertentangan sekali dengan agama Islam. 

"Banyak lagi cara untuk mendapatkan pengaruh politik dan bukannya dengan memburuk-burukkan orang lain, bagi orang Islam yang mengetahui perbuatan buruk seseorang, mereka hendak mengelakkan daripada mendedahkan kepada umum," katanya di majlis ceramah penerimaan borang menyertai PAS, di Felda Chiku 5, baru-baru ini. 

Menurutnya, kegiatan mendedahkan keaiban seseorang pemimpin adalah berpunca daripada sistem demokrasi yang diamalkan di Amerika dan Eropah. 

Katanya, sistem demokrasi yang dipilih setelah kegagalan sistem komunis. 

Beliau berkata, kebanyakan negara terpengaruh dengan cara Russia yang mengamalkan sistem komunis, akhirnya hancur kerana sistem itu tidak sesuai dengan kehendak tabiat manusia. 

"Sistem demokrasi yang diamalkan di Barat memberi kebebasan media memaparkan pelbagai skandal membabitkan pemimpin mereka. 

"Islam mengajar umatnya menutup keaiban orang lain dan bukannya mendedah. Pendedahan hanya boleh dibuat kepada polis dan mahkamah sahaja," ujarnya. 

(ATI) 
  

Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1