Jangan keliru kenyataan Dr. Mahathir
PETUGAS PAS yang sedang menggerakkan jentera pilihan raya PAS di semua
peringkat jangan keliru dengan kenyataan pemimpin negara bahawa 'pilihan
raya umum lebih awal tidak perlu'. Kelmarin Perdana Menteri Dato' Seri
Dr. Mahathir memberitahu bahawa pilihan raya tidak perlu diadakan lebih
awal, kerana kerajaan perlu memberi perhatian penuh kepada pemulihan ekonomi
negara. Katanya, mempercepat pilihan raya bermakna mengganggu tumpuan kerajaan
dalam melaksanakan langkah pemulihan ekonomi negara.
Petugas PAS hendaknya jangan keliru dengan kenyataan tersebut. Bahkan
jentera pilihan raya PAS mesti digerakkan terus menerus seolah-olah pilihan
raya umum akan berlansung dalam waktu paling singkat. Petugas PAS jangan
sekali-kali terpengaruh dengan kenyataan tersebut kononnya pilihan raya
masih jauh lagi, kerana itu jentera pilihan raya parti boleh diperlahankan.
Andaian Dr. Mahathir ini mungkin muslihat politik Barisan Nasional supaya
jentera pilihan raya pembangkang boleh diperlahankan.
Semua pihak mengakui bahawa kegawatan ekonomi negara masih belum dapat
diatasi, saham di BSKL masih diparas rendah, nilai ringgit Malaysia juga
masih rendah dibanding masa lalu, syarikat dan kilang masih banyak tutup,
kalau tidak ditutuppun terpaksa mengurangkan pekerjanya. Ini bermakna pengangguran
terus bertambah.
Di samping itu peniaga menghadapi kesulitan yang amat sangat kerana
kesukaran mendapatkan pinjaman bank. Di tengah semuanya itu, harga barang
keperluan harian terus meningkat menyebabkan inflasi naik. Semuanya ini
menunjukkan bahawa ekonomi negara masih gawat. Ini antara alasan besar
Dr. Mahathir enggan mengadakan pilihan raya lebih awal.
Tetapi jauh dari semuanya itu, beliau dan pemimpin Barisan Nasional
yang lain, khususnya pemimpin Umno sedar bahawa kemelut politik yang berlaku
sekarang, lebih-lebih lagi dalam isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim,
keyakinan rakyat, termasuk sebahagian besar ahli Umno sendiri, terhadap
Barisan Nasional, khususnya Umno, begitu merosot sekali.
Ini sebenarnya antara sebab besar Dr. Mahathir tidak mahu mengadakan
pilihan raya lebih awal. Baru-baru ini beliau mendakwa bahawa ekonomi Malaysia
beransur pulih. Kalau benar kenyataannya itu, dan kalau benar majoriti
rakyat puas hati dengan kerajaannya, lebih-lebih lagi dengan apa yang dipanggil
'kejayaan Sukom '98', tentu sekali beliau mempunyai sebab untuk menyegerakan
pilihan raya.
Dengan demikian, jika kita merenung jauh kita akan mendapati, seperti
yang dikatakan tadi, bahawa keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional,
khususnya Umno begitu merosot sekali menyebabkan pemimpin Barisan Nasional
itu enggan mengadakan pilihan raya lebih lagi.
Pemimpin parti itu sedang menyaksikan bagaimana begitu ramai sekali
rakyat menyertai PAS, termasuk golongan wanita Umno sendiri yang jemu dengan
krisis demi krisis dalam Umno. Kemasukan begitu ramai ahli wanita Umno
ke dalam PAS mempunyai makna paling besar dan penting kerana golongan ini
selama ini begitu teguh mendukung Umno. Wanita Umno yang menyertai PAS
berterang-terangan mengisi borang PAS di majlis terbuka. Ini bermakna PAS
telah menembusi tembok tebal di dalam Barisan Nasional. Semua ini tentu
merunsingkan pemimpin Barisan Nasional.
Tetapi petugas PAS jangan keliru, kerana Dr. Mahathir sentiasa merubah
fikirannya, di saat dia berasa yakin akan menang, beliau mungkin akan segera
mengumumkan tarikh pilihan raya. Kerana itu jentera pilihan raya PAS mesti
terus menerus berada dalam keadaan siap sedia.