MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Apa justifikasi bekas TPM di ISA? 

 

AKHIRNYA Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno yang terpecat dan tersingkir itu ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA), satu undang-undang yang tidak popular dalam dan luar negeri. 

Berikutnya beberapa orang lagi penyokongnya dari Umno dan dari Abim ditahan sama. 

PAS tidak membuang waktu lagi lalu mengecam tindakan yang tidak membicarakan tahanan dan hanya dikurung saja. 

Sudah tentu dia dan rakan-rakannya patut dibicarakan dulu. Bila perbicaraan dinafikan, maka tidaklah seseorang itu mendapat keadilan dari negara dan kerajaannya yang masing-masing menjadi rakyat. 

Penahanan beliau adalah akhir dari banyak teori tentang penangkapannya. Dia sudah disebut-sebut hendak ditangkap lebih sebulan lalu. 

Sebelum dia disingkirkan dari kerajaan dan Umno, telah tersebar kemungkinan dia ditangkap. Ada amaran rasmi dan ada amaran tak rasmi. 

Antaranya dia dikatakan bersekongkol dengan kuasa asing yang boleh dibabitkan sebagai mengkhianati negara. Tiada tuduhan dibuat tetapi dari kenyataan orang-orang penting Umno termasuk Tun Ghafar Baba, dapat difahami bahawa pemimpin penting negara yang dimaksudkan itu ialah orang nombor dua tadi. 

Telah tersebar khabar-khabar bahawa dia boleh dikenakan OSA. 

Tetapi apabila dia dibuang dari masyarakat Umno, tuduhan yang diberikan oleh autoriti Umno ialah tentang apa yang dikira akhlak buruk. 

Perdana Menteri disebut akan memberi bukti kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang. Ini bererti dia tidak dapat memberikan bukti ketika pemecatan dibuat. Atau mangsa dipecat dulu dan bukti datang kemudian. 

Kemudian bukti dikatakan datang. Ia dikatakan terselit dalam apa yang dikatakan afidavit Dato' Nalla, rakan mangsa dan rakan Perdana Menteri. 

Banyak persoalan timbul. Dato' Nalla ditahan mula-mula dikatakan kerana menyimpan banyak peluru hidup. Peluru-peluru itu dikatakan tidak dari jenis senjata api milik Dato' Nalla. 

Senjata itu dijumpai ketika pasukan penyiasat mencari maklumat berhubung dengan buku 'dalil' yang berpuaka itu. Cerita buku itu hilang, kisah peluru yang timbul. 

Maka dia serta merta diusung ke balai di bawah ISA. Tetapi hasil siasatan bukan mengenai peluru tetapi tentang dakwaan kononnya bekas Timbalan Presiden Umno itu kaki liwat, kaki betina dan lain-lain lagi. 

Lepas itu tidak timbul soal derhaka, soal mengambil duit dari Dato' Nalla. Yang timbul cerita liwat. 

Adapun kisah kaki betina tadi dikatakan ada saksi dan wanita jalang yang sedia memberi keterangan. 

Dalam Islam saksi mesti dari orang yang adil, tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil. Dosa kecil yang dikumpulkan sama sifatkan dengan dosa besar. Si jalang adalah pelaku dosa besar atau mengekalkan dosa besar. 

Dari segi Islam kelayakannya jadi saksi hilang. Dari segi sekular dia saksi yang laku. 

Beberapa hari lepas itu peguam Dato' Nalla mengeluar kenyataan bersumpah dari Dato' Nalla. Dia tidak mengetahui tentang afidavitnya itu. Dia sedih Timbalan Presiden Umno yang terbuang itu dibabitkan. 

Ia tidak tersiar dalam akhbar Melayu. Seorang India memberitahu kisah itu ada dalam akhbar Tamil. 

Dalam pada itu ada pula cerita kononnya mangsa telah menghalang polis menjalankan penyiasatan. Bunyinya dia tidak sedia arahkan dianalisis apakah anak isteri setiausahanya anak dia atau anak setiausahanya. 

Maka mangsa pun dikatakan telah memberikan darahnya tetapi hasilnya negatif. 

Lalu polis menafikan darahnya sudah diserahkan kepada penyiasat sedang dia tidak setuju darahnya diambil polis. Tetapi polis pula menjelaskan bahawa analisis darah setiausaha mangsa dan isterinya jelas anaknya anak pasangan suami isteri. 

Maka berkata mangsa, kalau sudah sah anak itu anak bapa dan ibunya, buat apa ambil darah orang lain untuk disiasat. 

Kemudian adik angkat mangsa, Sukma, warga Indonesia, keluarga orang ada hubungan dengan Masjumi dan ayahnya dikebali oleh Almarhum Pak Natsir ditahan. 

Beberapa hari lepas itu Dr. Munawar Annis, rakan karib mangsa dan penulis ucapannya ditahan. 

Tidak lama lepas itu kedua Sukma dan Munawar dihadapkan ke mahkamah. Mereka mengaku diliwati oleh bekas Timbalan Presiden Umno. 

Mereka dibawa dari tahanan terus ke mahkamah. Di situ juga mereka mengaku. Hukum pun dijatuhkan. 

Mereka dihukum enam bulan penjara. 

Mereka tidak redha mereka diliwati. Mereka dipaksa oleh peliwat. Yang kena liwat pula dihukum. 

Jika ia ditafsirkan sebagai kes rogol, yang dirogol pula yang dihukum. Yang merogol tidak berbangkit pada hari perbicaraan itu. 

Dalam undang-undang barat zina suka sama suka tidak dihukum. Zina paksa saja yang dihukum. Yang dihukum yang memaksa. 

Tetapi undang-undang wawasan 2020 mangsa dihukum, menceroboh tidak dihukum. 

Itupun kalau benar kejadian itu berlaku. 

Sekarang hal itu menjadi perbualan. Keluarga yang tertuduh tidak dimaklumkan sejelas-jelasnya tentang perbicaraan. Laki-laki Indonesia cuba dibela oleh keluarganya. Mereka ada peguam sendiri, tetapi kerajaan menyediakan peguam lain. 

Saya teringat kisah dalam Islam. Orang yang mengaku dirinya berzina tidak mudah diterima Nabi keterangannya. Nabi terfikir apakah orang yang mengaku begitu gila atau cacat fikiran. 

Pernah ada wanita minta dihukum kerana berzina. Nabi suruh dia balik dan fikir betul-betul. Tetapi setelah sah betul akuan orang itu, maka barulah Nabi menerima keterangannya. 

Kedua orang yang dikatakan mengsa liwat adalah orang yang tidak merdeka. Mereka dalam kawalan polis. Maka keterangannya boleh jadi tidak bebas. 

Ketika yang dituduh dihukum, bekas pemimpin Umno tadi tidak ditahan lagi. Dia menafikan semua tuduhan. Bersumpah dia. 

Cerita tentang OSA dan ISA sudah tidak berbangkit. Yang heboh sedunia ialah orang Indonesia dan warga Pakistan diliwati oleh laki-laki Malaysia. 

Apakah kerajaan Indonesia dan Pakistan berhasrat pula untuk membicarakan semula mereka mengikut undang-undang Pakistan dan Indonesia selepas mereka bebas dan pulang ke negara masing-masing akan disaksikan kemudian. 

Sebelum ini bekas Ketua Menteri Melaka dikembalikan menjadi Ketua Pemuda Umno kerana mengikut Perdana Menteri, tidak wajar seseorang dihukum sebelum dibuktikan bersalah. Mahkamah membebaskan bekas Ketua Menteri itu maka dia jadi Ketua Pemuda semula. 

Tetapi Timbalan Presiden Umno dibuang sebelum dia didakwa dan sebelum ada tuduhan rasmi. 

Akhirnya pemimpin Umno yang terbuang itu ditahan kerana dikatakan melanggar undang-undang, mengganggu keselamatan dan pengikutnya merusuh dan lain-lain. 

Polis kata, esok dia akan didakwa di mahkamah. 

Esoknya ramai orang menunggu mahkamah. Tetapi polis tidak membawanya ke mahkamah, sebaliknya ditahan di bawah ISA. Sementara itu siasatan berjalan terus. 

Berikut ditangkap pula di bawah ISA rakan-rakannya dalam Umno yang kebetulan tidak menjelaskan sikap menyokong pemecatan dan pemimpin Abim. 

Semua bertanya, undang-undang apa ini? Saya kata, ia undang-undang Umno. 

 

Ke Laman Utama
Hosted by www.Geocities.ws

1