HARAKAH : Jangan Guna ISA

Jangan guna ISA 

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani kes bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Katanya, tindakan pihak tertentu menahan salah seorang rakan Anwar, Dr Munawar di bawah ISA jelas mengenepikan prinsip keadilan. 

"Beliau (Munawar) sepatutnya diberikan peluang untuk membela diri sebelum dituduh dan dibuktikan kesalahannya," katanya ketika menghubungi Harakah Jumaat lalu. 

Tambah Mahfuz, umum mengetahui bahawa ISA tidak berdiri di atas prinsip keadilan yang menafikan hak dan kebebasan rakyat negara ini. 

Oleh itu, ujarnya, walau apapun kesalahan yang dikenakan ke atas mana-mana rakyat di negara ini, mestilah diadili di atas prinsip keadilan dan perundangan. 

Sambil menyifatkan penggunaan ISA sebagai gambaran perundangan yang tidak bertamadun, Pemuda PAS menyeru kerajaan supaya bersikap adil dalam menangani kes bekas TPM itu. 

"ISA yang sememangnya tidak wajar diterima pakai dalam undang-undang negara ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat membela diri," katanya. 

Ke Laman Utama
Hosted by www.Geocities.ws

1