Hudud boleh selamatkan AnwarPASIR MAS: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dikatakan mungkin terselamat daripada kejadian yang berlaku ke atas dirinya sekarang, sekiranya hukum hudud sudah dilaksanakan di negara ini. Yang Dipertua PAS Peringat, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, sekiranya hukuman dilakukan mengikut hudud, sudah tentunya pelbagai tuduhan terhadap bekas pemimpin berkenaan tidak berlaku memandangkan ia memerlukan empat saksi yang baik. "Menuduh seseorang yang melakukan kerja yang hina perlulah dikemukakan empat saksi yang baik, jika tidak pihak yang menuduh akan dikenakan sebatan 80 rotan," katanya pada ceramah di Kampung Teliar, Bunut Susu, baru-baru ini. Bagaimanapun tambahnya, usaha PAS untuk melaksanakan hudud masih tidak dapat dilakukan kerana tidak mendapat persetujuan Kerajaan Pusat. Beliau juga memberitahu, suasana tegang yang berlaku di negara ini sekarang adalah berpunca daripada kegawatan politik dan ekonomi. Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, orang PAS tidak perlu ghairah untuk memperkatakan kegawatan yang berlaku sekarang sehingga melupakan tanggungjawab mengemaskan jentera parti. Sementara itu, menurut, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh suasana kegawatan sekarang adalah sebagai balasan yang diberi oleh Allah terhadap tindakan manusia sebelum ini. (WNA)
|