| MIN
AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF 90 bahagian Umno mahu guling Dr. M?UMNO Pahang dan Kedah adalah antara yang sudah pun menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam pakatan mahu menggulingkan Dr. Mahathir sebagai pemimpin Umno.Tidak ada mana-mana bahagian Umno di negeri-negeri itu, kata Tan Sri Khalil Yaakub dan Tan Sri Sanusi Junid, terlibat dalam apa yang kini mulai dikira sebagai subversif dalam Umno. Dato' Mohamed Rahmat yang dilucutkan sebagai Setiausaha Agung Umno dua tahun lalu baru-baru ini telah mendakwa adanya sekitar 90 bahagian Umno di negara ini sudah bermuafakat mahu menggulingkan Dr. Mahathir sebagai Presiden Umno. Dakwaan itu tidak segera dinafikan oleh Ibu Pejabat Umno, malah siasatan akan dilakukan. Setakat ini menurut Dato' Mohamed, masing-masing yang terlibat telah mendapat wang bulanan yang lumayan. Pendedahan Dato' Mohamed itu sebenarnya tidak perlu ditolak dan ia dipercayai berlaku. Bekas Setiausaha Agung Umno itu sebenarnya agak jujur apabila beliau membuat pendedahan itu. Ia belum pasti dibuat untuk kepentingan Umno tetapi ia lebih menunjukkan kesetiaan Mohamed kepada Dr. Mahathir. Dato' Mohamed merasa perlu mempertahankan Dr. Mahathir, bukan kerana sayangkan Dr. Mahathir saja tetapi lebih dari itu ialah kepentingan kedudukannya dalam parti dan kerajaan. Dato' Mohamed pernah tersingkir dari kerajaan hingga terpaksa menyengutukan dirinya dengan Tengku Razaleigh yang ketika itu bersaing dengan Tan Sri Musa Hitam. Perpecahan antara Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh membuka peluang kepada Dato' Mohamed Rahmat untuk kembali dalam kerajaan dan Umno. Tun Ghafar telah membawanya masuk ke Pejabat Umno hingga dia boleh jadi Setiausaha Agung. Tengku Razaleigh pun ditinggalkannya. Berikut dengan politikingnya yang ketara terutama di Johor dalam pemilihan pimpinan tertinggi Umno yang lalu, maka dia digugurkan dari Setiausaha Agung. Hingga ini dia dikatakan belum disenangi oleh Tun Ghafar atas peranannya membuka jalan kepada penggulingan Tun Ghafar. Sekarang politik Datuk Muhammad bergantung kepada Dr. Mahathir saja. Jika Dr. Mahathir tiada, maka tiadalah dia. Justeru itu dia menjadi mata dan telinga kepada Dr. Mahathir. Pendedahannya tadi adalah usahanya untuk mengekalkan Dr. Mahathir. Siapa yang berbelanja untuk menggulingkan Dr. Mahathir tidak diketahui tetapi pendedahan tulus Dato' Mohamed itu mendedahkan bahawa Dr. Mahathir sudah tidak disukai oleh begitu ramai orang dalam Umno. Sehingga ini Dr. Mahathir mahu dia dikenali sebagai pemimpin yang tidak ditolak oleh sekalian Umno terutama selepas tersingkirnya Tengku Razaleigh sebagai pencabar utamanya. Pembentukan 'Umno baru' dulu membersihkan parti itu dari penentang Dr. Mahathir. Kemudian pembubaran Parti S46 menyebabkan orang Umno solid di belakang Dr. Mahathir. Sekaliannya setuju Dr. Mahathir masih disokong sebulatnya oleh ahli-ahli Umno. Jika pun ada yang bersungut tentangnya, maka ia adalah golongan terlalu kecil. Tetapi pendedahan Dato' Mohamed itu memberi gambaran bahawa yang tidak mahukan pemimpin itu adalah besar. 90 bahagian Umno adalah lebih separuh dari semua bahagian. Berdasarkan bilangan kerusi Parlimen yang sebanyak 192, maka bahagian Umno adalah 192 ditolak dengan bilangan kerusi Sarawak. Walaupun Mohamed Rahmat sayangkan Dr. Mahathir, tetapi Muhammad sudah memberi tahu akan ramainya orang Umno yang tidak mahukan Dr. Mahathir. Soal memberi wang tetap dan sebagainya itu adalah caranya saja kerana politik wang bagaikan suatu yang tak terpisah dari Umno. Memisahkan wang dari Umno ibarat memisahkan 'manis dari gula'. Penggulingan dalam kepimpinan Umno bukan baru. Hanya Dato' Onn Jaafar yang tidak digulingkan. Beliau meletakkan jawatan untuk menubuhkan parti lain. Menakala Tun Razak pula meninggal dunia. Tetapi Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pergi kerana digulingkan. Rencana-rencana Tunku dalam Star selepas dia bersara dari jawatan Perdana Menteri membayangkan sindiran kepada kepimpinan Tun Razak. Jika diamati Tunku tidak pergi saja tetapi pergi setelah adanya politiking Tun Razak. Semua tahu akan hal itu. Cuma pendedahan yang terperinci belum dibukukan. Demikian juga dengan pemergian Tun Hussein Onn. Ramai yang tahu bahawa dia kecewa dengan timbalannya. Teorinya dia juga digulingkan secara teknikal. Cuma belum dibukukan juga. Maka kini giliran Dr. Mahathir sebagai yang didedahkan oleh Dato' Mohamed Rahmat. Usaha itu bagaimana pun seperti sudah dipatahkan apabila satu-satunya tokoh Umno yang berani mencelah Dr. Mahathir ialah timbalannya yang disingkirkan awal September lalu. Pendedahan Mohamed Rahmat itulah sebenarnya jawapan kepada teka teki penyingkiran dia dari Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno. Adapun segala pertuduhan dan tohmah yang belum dijadikan pertuduhan kepada bekas Timbalan Presiden Umno sekarang adalah dalil dan dalih untuk penyingkiran itu. Jika dalil dan dalih sedemikian dikumpulkan bagi setiap ahli Majlis Tertinggi Umno dan Menteri, maka tiada seorang pun boleh tinggal pada kedudukannya. Kalau adapun yang mungkin boleh terkecuali ialah Dato' Abdullah Badawi. Dia pemalu dan tidak romantik. Senyum dan jelingnya tidak pemikat. Tak kenal erti dan faedah korporat. Tetapi berurusan dengan dunia luar mungkin terjumpa perisik dan pengintip. Ertinya terdedah kepada bercakap tentang rahsia dan sebagainya. Jika tidak kena cara dan tidak cermat, mudah terkena OSA. Manakala yang lain ada cerita masing-masing. Pendek kata tiadalah yang tiada dalil dan dalih. Jika diteliti petuduhan kepada bekas Timbalan Presiden Umno itu, selain dari yang menyentuh benda yang di luar tabie, sekaliannya mungkin terdedah kepada apa saja. Jika orang nombor dua dikatakan campur tangan atau mengganggu lain-lain pihak menjalankan tugas seperti penyiasatan, maka yang nombor satu juga mungkin ada kelemahan juga disebabkan masing-masing tidak ma'asum. Oleh kerana itu jawapan kepada kegawatan politik yang melanda negara sekarang lebih jelas jawapannya dari yang disebutkan oleh Dato' Mohamed Rahmat tadi. Manakala yang lain bukanlah alasan, tetapi masing-masing kecil jika dibandingkan pembongkaran itu. Bagaimana pun penggulingan bagi mana-mana pemimpin bukanlah suatu yang ganjil dalam dunia. Masalah penggulingan boleh berlaku dimana-mana dan oleh sesiapa saja. Yang menjadi kecoh ialah yang berlaku dalam masyarakaat tertutup atau tidak demokrasi. Dalam masyarakat demokrasi segala usaha menjatuhkan mana-mana pemimpin tidak salah dan boleh dilakukan secara terbuka. Pemimpin Umno di bahagian-bahagian boleh membincangkan tentang menggantikan pemimpin masing-masing. Terpulanglah apakah mereka akan disokong atau tidak. Ia tidak menjadi kesalahan. Dia pula mesti bersedia menerima tindakan balas tetapi juga secara demokrasi. Tetapi apabila masing-masing ketakutan dan bila dibongkar nantinya akan tercantas, maka tidak ada pembelaan. Justeru itu ia bagaikan satu subversif dan satu komplot. Ia adalah natijah masyarakat tidak terbuka dan dalam suasana begitu semua kegiatan dilihat sebagai melanggar peraturan.
|