Memakai tudung mencerminkan peribadi wanita solehah


SURAT PEMBACA
Memakai tudung mencerminkan peribadi wanita solehah
 

Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada ruangan 'Forum' di dalam Utusan Malaysia yang bertarikh
26 Oktober 1998, Saudara Mohd Yusof menyatakan bahawa beliau tidak
menyukai pembaca berita yang bertudung kerana kononnya lebih hodoh dan
tidak menunjukkan ciri-ciri wanita solehah.

Bagi kami bertudung itu adalah salah satu syariat Islam yang wajib ke
atas setiap muslimah. Soal tujuan bertudung untuk menutup keburukan dan
menyerlahkan kecantikan adalah soal kedua. Itu adalah soal personaliti
itu dengan Allah, kita tidak tahu nawaitunya yang sebenar. Yang penting
personaliti itu menutup auratnya dan memberi teladan yang baik kepada
muslimah lain kerana seorang celebrity adalah role model kepada
peminat-peminatnya.

Adakah sesuai untuk wanita yang tidak mengikut syariat Islam bagi
mendidik generasi yang akan datang ke arah pembentukan Muslim Rabbaniah
dan mewarisi akhlak wanita di zaman Rasulullah s.a.w.? Sepatutnya kita
memberi semangat kepada seseorang yang ingin mengubah imejnya bukan
mengecam dan mencacinya!

Apakah saudara sanggup menanggung dosa kerana melihat aurat seorang
wanita? Bukan sahaja seorang bahkan berpuluh-puluh orang!

Saudara sanggup menukar channel lain semata-mata untuk melihat seorang
pembaca berita yang kononnya cantik dan anggun dengan rambut yang
pelbagai fesyen. Apakah ini menunjukkan ciri-ciri kewanitaan?? Cubalah
saudara renung dan berfikir dengan pandangan yang terbuka. Janganlah
saudara menghalang niat yang baik seorang wanita untuk mengubat imejnya.

Di sini kami mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada personaliti
TV3 yang telah memakai tudung. Bagi kami ada baiknya jika memakai tudung
dari mendedahkannya kepada masyarakat. Sekiranya kita memakai tudung
kita dapat menghindarkan diri dari gangguan orang yang tidak bermoral.
Kami berharap kepada pembaca-pembaca berita yang ingin bertudung,
teruskan niat suci anda itu dan hadapilah setiap kecaman dan kejian
dengan sabar dan tabah dari hamba yang jahil fasiq tentang hukum-hakam
Allah s.w.t.

6 PELAJAR PRIHATIN,
Alor Setar, Kedah.

Hosted by www.Geocities.ws

1