PAS kesal himpunan aman dilarang


Oleh ISMAIL HASHIM

PENDANG: PAS kesal dengan tindakan kerajaan masih tidak membenarkan
himpunan yang dibuat secara aman untuk rakyat menyuarakan pandangan
walaupun hak tersebut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor berkata demikian ketika
berucap dalam satu majlis ceramah yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan
Pendang, dekat sini baru-baru ini.

Menurut satu risalah yang dikeluarkan oleh majlis Gerakan Keadilan
Rakyat Malaysia (Gerak), hak rakyat dalam Perlembagaan Malaysia menjamin
beberapa kebebasan asasi seseorang individu.

Ia meliputi seperti yang termaktub di dalam fasal 10(1)(a): kebebasan
untuk bercakap dan 10(1)(b): hak dan kebebasan untuk berhimpun secara
aman dan dengan tidak bersenjata.

Ustaz Fadzil berkata, larangan itu amat bertentangan dengan dakwaan
pimpinan negara mengenai keamanan dan demokrasi yang diamalkan di
Malaysia ini.

"Kebanyakan daripada negara peninggalan penjajah barat mengamalkan
demokrasi seperti Malaysia tetapi mereka lebih menghayati budaya
demokrasi," ujarnya.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu yang baru sahaja pulang daripada persidangan
tahunan Jamaat Islami Pakistan baru-baru ini dan sempat meninjau
beberapa perkembangan di sana.

Beliau menjelaskan terdapat kecenderungan mengenai hak asasi rakyat di
negara ini yang lebih diketatkan dan disusahkan jika hendak melakukan
kebaikan berbanding kebebasan melakukan kejahatan.

Turut serta dalam majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Tumpat, Wan Jamil
Wan Mahmood, Yang Dipertua PAS Pendang, Haji Abdul Rahim Abdul Rahman,
Naibnya, Haji Ali Abdullah, Setiausaha, Saudara Sobri Awang dan Ketua
Pemuda, Saudara Aziz Shafie.

Menyentuh mengenaikedudukan Perdana Menteri, Dr Mahathir kini yang
memegang banyak portfolio dalam pentadbiran negara, Ustaz Fadzil
menyebut kata-kata seorang bukan Melayu yang memberikan pandangannya.

Kata-kata itu menurut Ustaz Fadzililah, "Dr Mahathir kini seperti
seorang yang hanya mempunyai satu punggung tetapi duduk di atas empat
kerusi yang berlainan."

"Beliau selaku Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri
Kewangan Pertama dan Menteri Dalam Negeri," kata Ustaz Fadzil lagi.

Adun Bukit Raya itu juga berkata, terdapat doktor pakar saikologi yang
menyebutkan tanda-tanda seseorang yang telah dihinggapi penyakit nyanyuk
ialah apabila orang itu sudah tidak merasai lagi apa yang ditegur
mengenai kesilapannya.

Tetapi, katanya, penyakit 'nyanyuk' yang dialami Dr Mahathir telah
menguntungkan dirinya tetapi yang menerima bahananya adalah kalangan
rakyat di negara ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat menyebutkan segala kegawatan yang
berlaku di negara ini sekarang mesti dipertanggungjawabkan kepada Umno
Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Hosted by www.Geocities.ws

1