Kebebasan media sekadar ilusi


Oleh: NIZAM SHAH

BARU-BARU ini telah berlangsung Persidangan Dwi-Tahunan Kesatuan Akhbar
Komanwel (CPU), di Ibu Negara.

Persidangan yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia itu
telah dihadiri oleh 300 orang mengarang kanan negara Komanwel yang mana
telah berjalan selama 3 hari.

Seperti yang telah menjadi satu amalan, pada setiapa kali ucapan mahupun
sidang akhbar yang diadakan, Perdana Menteri sering mempersoalkan
peranan media asing yang dikatakan sebagai berat sebelah, laporan yang
tidak seimbang serta cubaan sesetengah media asing (tentunya dari Barat)
yang dituduh cuba menjatuhkan pemimpin, terutama dari rantau sebelah
sini secara yang tidak demokratik.

Pada hakikatnya, kita tidak boleh menafikan apa yang diperkatakan oleh
Perdana Menteri itu seratus peratus, tetapi untuk menyokong sepenuhnya
kenyataan demi kenyataan yang sering terkeluar daripada mulut beliau itu
juga tentunya agak sukar.

Dalam keghairahan untuk mempersoalkan peranan media asing, sesekali atau
lebih kerap tentunya lebih baik, kita juga perlu melihat kepada peranan
yang selama ini dimainkan oleh media tempatan baik media cetak mahupun
media elektronik. Jika kita meneliti dan menghalusi perkembangan yang
berlaku di negara kita mutakhir ini, kita dapati media kita sebenarnya
semakin tersasar dari matlamat untuk bersikap berkecuali yang sering
dicanang-canangkan selama ini.

kebebasan media yang sepatutnya melaporkan media yang benar-benar
berlaku tanpa bersikap memihak kepada mana-mana kumpulan, nampaknya
semakin dicabuli oleh segelintir pengamal media yang mempunyai
kepentingan diri sendiri. Media seharusnya membebaskan diri daripada
belenggu mahupun kongkongan dari mana-mana pihak yang sengaja
memperalatkan media demi survival nafsu, perut dan kuasa.

Realiti penyelewengan peranan media itu boleh kita saksikan dengan
bukti-bukti yang terpampang di hadapan mata pada setiap hari. Tunggu
sahaja siaran waktu perdana di mana-mana stesen yang terdapat di negara
kita. Saksikan sendiri berita yang dilaporkan. Cukup sekadar penonton
yang mahu berfikir melihat tajuk-tajuk penting berita, penonton sudah
dapat menangkap apa yang akan disampaikan oleh penyampai berita.

Sebahagian besar, kalaupun tidak semuanya, laporan-laporan yang
dipaparkan kepada penonton adalah bersikap berat sebelah, memihak dan
langsung tidak kelihatan bersikap berkecuali. Kadang kala terdetik juga
di hati, kasihan nasib para penyampai berita yang 'mungkin terpaksa'
menyampaikan sesuatu yang di luar kerelaan hati sendiri.

Beralih kita ke media cetak. Ternyata laporan beberapa buah akhbar
tempatan yang dianggap berpengaruh juga semakin dicemari unsur-unsur
yang tidak sihat itu. Etika kewartawanan yang sepatutnya dijunjung,
telah di'nyah'kan entah ke mana. Terdapat beberapa orang wartawan yang
entah kerana terpaksa dan mungkin juga dalam lingkungan kerelaan hati
sendiri, menulis sesedap rasa, mengikut selera sendiri dan
'penaja-penaja' mereka, tanpa segan silu, tanpa rasa malu, biarpun fakta
dan kebenaran sering disembunyikan di bawah permaidani pejabat akhbar
masing-masing.

Selak helaian demi helaian akhbar dalam kelompok itu. Bermula dengan
tajuk berita utama di muka hadapan, masuk ke muka dua, tiga, ruangan
rencana pengarang, ruangan rencana pilihan, ruangan pojok, surat pembaca
semuanya melaporkan berita yang serba memualkan, mengelirukan dan
memeningkan!

Kenyataan yang sering diputarbelitkan itu telah mendapat reaksi
khususnya oleh tokoh-tokoh seperti Dr. Syed Husin Ali dan juga oleh Dr.
Chandra Muzafar seperti mana yang dapat kita tatap dalam akhbar
baru-baru ini. Pada Persidangan Dwi-Tahuan Kesatuan Akhbar Komanwel
tersebut, Dr. Chandra juga sekali lagi mempersoalkan tentang peranan
yang dimainkan oleh pihak media khususnya akhbar. Di persidangan Dewan
Rakyat juga, isu ini kerap kali dibangkitkan oleh wakil pembangkang,
namun situasinya masih tidak berubah sehingga sekarang.

Sudah tibalah masanya bagi para pengamal media di negara ini, berusaha
untuk membebaskan diri daripada 'tangan-tangan' yang cuba mengongkong
kebebasan yang sepatutnya diperjuangkan oleh pihak media itu sendiri.

Hosted by www.Geocities.ws

1