ISA: Bukti tiada keadilan



MUAR: Presiden Parti Islam Se malaysia (PAS), Dato' Haji Fadzil Mohd
Noor menegaskan, tindakan kerajaan yang masih mengekalkan penggunaan
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam sistem pemerintahan jelas
membuktikan keadilan sebenar rakyat tidak wujud di negara ini.

Penggunaan akta itu, katanya telah menafikan dengan sejelas-jelasnya hak
untuk membela diri secara terbuka di mahkamah bagi membuktikan sama ada
seseorang itu bersalah atau tidak.

"ISA juga telah disalahgunakan semata-mata untuk menjaga kepentingan
pemimpin tertentu kerana takut kuasa mereka akan tergugat.

"Dengan terus mengekalkan ISA ini, rakyat akan menjadi takut untuk
menentang segala kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh
pemimpin negara ini.

PAS, katanya sejak dulu lagi menentang sekeras-kerasnya penggunaan akta
itu kerana jelas bertentangan dengan dasar Islam dan juga hak asasi
manusia.

"Menyedari kepentingan untuk mewujudkan keadilan serta menentang
kezaliman inilah maka inisiatif telah diambil oleh beberapa pertubuhan
politik dan NGO dengan menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat
(Gerak).

Antara tujuan Gerak untuk menghapuskan ISA yang selama ini telah
membelenggu kebebasan rakyat untuk bersuara.

Penubuhannya adalah atas dasar permuafakatan di kalangan parti-parti
politik dan NGO untuk mencari kebenaran serta menentang kezaliman yang
semakin berleluasa ketika ini.

"Gerak adalah sama seperti pertubuhan-pertubuhan yang dianjurkan oleh
kerajaan seperti mtendan juga BN yang tidak didaftarkan sebagai sebuah
pertubuhan lain, sebab itu mengapa pula Gerak mesti didaftarkan
sedangkan semua yang terlibat di dalam Gerak adalah sah
pendaftarannya?," soal beliau.

Dato' Fadzil seterusnya melahirkan rasa kesal dengan pihak polis di
negeri-negeri yang tidak mengeluarkan permit ceramah sedangkan Timbalan
Ketua Polis Negara, Dato' Norian Mai pernah mengumumkan bahawa permit
akan dikeluarkan.

"Kita harap pihak polis akan lebih bersikap adil, rasional dan tidak
memihak kepada satu-satu golongan tertentu dalam menjalankan tugas
mereka kerana perbuatan ini hanya akan menjejaskan profesionalisme
mereka," ujarnya.

Hosted by www.Geocities.ws

1