Marcos, Suharto dan Mahathir


Oleh: ZULKIFLI YAHYA
 

KEJATUHAN seorang pemimpin yang zalim atau diktator biasanya amatlah
hina sekali, walaupun masa berkuasanya dia amat digeruni oleh rakyat
jelata, kawan dan musuh. Sejarah menceritakan bagaimana Firaun yang
gagah perkasa sehingga sanggup mengaku dirinya tuhan, akhirnya mati
lemas di Laut Merah. Dia mati hanya kerana 'dibunuh' oleh air. Raja
Namrud yang punya bala tentera yang kuat, namun matinya hanya kerana
seekor nyamuk.

Shah Iran yang sangat berkuasa di zamannya, mempunyai polisi Savak yang
berfungsi melindungi kerajaannnya dari ancaman penentang-penentangnya.
Kekejaman Savak adalah setanding dengan kekejaman di Israel atau KGB
sewaktu menawan Afghanistan dahulu. Akhirnya Shah Iran tumbang juga
dengan penuh hina oleh kuasa rakyat, sehingga matinya bukan di tanahair
sendiri.

Presiden Anwar Sadat begitu bermurah hati dengan Yahudi tetapi menzalimi
rakyatnya sendiri dari kalangan Ikhwanul Muslimin. Dia mati dengan
peluru. Sewaktu jenazahnya mahu diraikan di atas kereta kuda, kumpulan
kuda tersebut meronta-ronta dengan kuat 'tidak sanggup' membawa jenazah
orang yang zalim itu. Terlalu banyak kisah orang yang zalim di muka bumi
ini yang tidak mungkin terungkap kesemuanya di atas catatan yang amat
terbatas ini. Cukuplah sejarah kejatuhan mereka yang hina diambil
perhatian oleh pemimpin-pemimpin yang ada.

Kita tidak perlu melihat terlalu jauh perihal pemimpin yang semasa
berkuasanya lupa daratan, pengamal nepotisme, kronisme dan suka
menzalimi orang lain, lalu menghadapi kejatuhan Marcos dan Suharto.

Sebenarnya terdapat beberapa persamaan antara Dr. Mahathir dan Suharto.
Mereka menghadapi isu yang sama iaitu nepotisme dan kronisme. Sewaktu
Marcos dan Suharto berkuasa hal itu tidak 'berani' dibicarakan secara
terbuka oleh rakyat walaupun seluruh rakyat jelata sedia memakluminya.
Tetapi selepas kejatuhan mereka, segala yang tersembunyi sekalipun turut
digeledah. Marcos dikatakan membuat konspirasi membunuh musuh politiknya
Benigno Aquino di lapangan terbang. Dr. Mahathir juga dikatakan membuat
konspirasi membunuh karier politik musuh terdekatnya Anwar.

Ciri yang terpenting ialah ketiga-tiganya menyangka bahawa majoriti
rakyat masih perlukan kepimpinan mereka di waktu kebencian rakyat
terhadap mereka memuncak. Dr. Mahathir sekarang begitu yakin BN masih
mendapat sokongan majoriti rakyat. Keyakinan yang sama ada pada Suharto
sewaktu beliau menyatakan kesediaan untuk terus dicalonkan sebagai
Presiden Indonesia. Situasi yang sama berlaku pada Marcos yang mendakwa
memenangi pilihan raya (yang penuh dengan penipuan) dengan majoriti yang
besar.

Dalam hal ini kesalahan tersebut tidak wajar diletakkan ke atas mereka
sepenuhnya. Sebenarnya juak-juak pengampu dan tukang kipas di sekeliling
merekalah yang tidak melaporkan dengan tepat bagaimana tahap sokongan
rakyat terhadap mereka.

"Saya akan berundur apabila terdapat tanda-tanda bahawa saya perlu
berbuat demikian," ujar Dr. Mahathir beberapa tahun lampau. Sayangnya
sampai bilapun Dr. Mahathir tidak akan nampak tanda-tanda itu selagi
puak-puak pengampu yang opportunis di kelilingnya sentiasa
melindunginya. Setiap isu yang berkocak dalam negara muncullah
pengampu-pengampu sepenuh masa yang akan membaharui ikrar memberi
sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Dr. Mahathir.

Sejak isu peletakan jawatan Musa Hitam, isu pemecatan hakim, isu pindaan
perlembagaan, isu penentangan Team B Umno, isu pengharaman Umno, isu
membuang imuniti raja-raja, isu desakan Barat supaya Dr. Mahathir letak
jawatan dan isu kegawatan ekonomi kedengaranlah ucapan stereotype yang
berbunyi "Saya berdiri teguh menyokong kepimpinan Dato' Seri Dr.
Mahathir Mohamad." Terbayanglah kepada kita wajah Tok Mat Rahmat,
Rafidah Aziz, Samy Vellu, Wan Mokhtar Ahmad, Sanusi Junid, Hamid Othman,
Abu Hassan Omar dan beberapa orang lagi pengampu yang sewaktu dengannya.

Maka turunlah Dr. Mahathir buat road show seluruh negara kononnya untuk
menjelaskan isu. Puak-puak pengampu itulah juga dengan memperalatkan
jentera kerajaan akan mengangkut seramai-ramai manusia (dengan upah
sebungkus nasi, air kotak dan bas percuma) bagi menunjukkan sokongan
padu terhadap kepimpinan Dr. Mahathir, buatlah apa saja, yang mereka
tahu 'sokong, sokong, sokong...'

Waktu Dr. Mahathir buat sesuatu polisi baru mereka akan sokong dan
kemukakan hujah yang meleret-leret tanpa perlu Dr. Mahathir berikan
hujahnya sendiri. Bila Dr. Mahathir tukar balik polisi itu kepada asal,
mereka sokong lagi dan kemukakan hujah pula. Sekali lihat
pemimpin-pemimpin BN di zaman Dr. Mahathir ini betul-betul jadi 'Pak
Turut' dengan membuta tuli tanpa perlu guna akal fikiran.

Seburuk manapun tindakan yang diambil oleh Dr. Mahathir selagi terdapat
juhalak-juhalak opportunis yang mengelilingi beliau, maka selagi itu
tidak akan dapat mengukur sokongan sebenar rakyat terhadapnya.

Anwar adalah satu isu yang membangkitkan kemarahan rakyat terhadap
kerajaan BN pimpinan Dr. Mahathir. Namun ia bukanlah satu-satunya isu.
Jika sewaktu Dr. Mahathir dan Anwar berganding bahu dalam kerajaan, BN
tumbang di Arau, maka dengan tersingkirnya Anwar kekuatan pihak
penentang kerajaan Dr. Mahathir jadi berganda.

Rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan mestilah prihatin bahawa
inilah masanya yang paling tepat untuk meledakkan semangat kebangkitan
rakyat supaya bangun membuat perubahan. Rakyat sudah lama diperalatkan
oleh kerajaan BN pimpinan Dr. Mahathir untuk kepentingannya dan
kroni-kroninya.

Namun rakyat harus ingat bahawa kebangkitan untuk menumbangkan kebatilan
yang besar ini mestilah di atas landasan yang betul. Silap perhitungan
rakyat akan gagal. Proses perubahan tidak semestinya melalui demonstrasi
atau revolusi. Malahan saya katakan secara ikhlas bahawa demonstrasi
yang boleh merebak menjadi rusuhan) seperti yang hampir tercetus pada 20
September lalu, akan lebih menguntungkan Dr. Mahathir. Ini kerana mereka
punya jentera (termasuk jentera propaganda) yang lengkap untuk
berhadapan dengan kekuatan rakyat. Demonstrasi yang tidak terkawal akan
membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab (termasuk pihak
BN serta jentera yang bekerja untuk mereka) menghambil kesempatan. Jadi
itu bukanlah caranya.

Cara terbaiknya ialah kerajaan pimpinan Dr. Mahathir diundurkan secara
terhormat melalui pilihan raya umum nanti. Segala kebatilan di pihak
beliau mestilah 'diratibkan' di kalangan rakyat mulai sekarang
sehinggalah ke hari membuang undi.

Hosted by www.Geocities.ws

1