Pendakwa serah 'laporan gempar'

Berita daripada Harakah
 

KUALA LUMPUR (AFP): Pihak pendakwa raya kelmarin telah menyerahkan satu
laporan yang dianggap 'menggemparkan' kepada pihak peguambela Anwar
Ibrahim.

Laporan berkenaan mengandungi butiran terperinci mengenai pakatan di
peringkat tertinggi untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri
tersebut.

Ketua pendakwa raya, Abdul Gani Patail, memberitahu mahkamah bahawa
beliau telah menerima laporan tersebut yang bertarikh 20 Ogos 1997
daripada pihak berkuasa.

"Untuk tujuan pengadilan, kami tiada bantahan untuk menyerahkan laporan
berkenaan kepada pihak peguambela. Harapan saya semoga mereka akan
memberi kami tempoh secukupnya untuk mendapatkan lain-lain dokumen di
masa akan datang," katanya.

Hakim Augustine Paul berkata tindak balas pantas dari pihak pendakwa
raya terhadap permintaan pihak peguambela akan membantu melancarkan
proses perbicaraan.

"Saya berpuas hati dengan cara pihak pendakwa raya menyerahkan dokumen
tersebut kepada pihak peguambela," katanya.

Menurut seorang peguam Anwar, perbicaraan tersebut dihentikan seketika
untuk membolehkan Anwar meneliti laporan tersebut.

"Kami akan berhenti rehat selama 15 minit untuk membolehkan anak guam
kami (Anwar) meneliti laporan berkenaan, dan ianya akan diteliti secara
rasmi setelah beliau selesai berbuat demikian," Pawancheek Merican
memberitahu pemberita di luar kamar mahkamah.

Para peguam yang membela Anwar, yang dibicarakan atas empat petuduhan
membabitkan rasuah, semalam telah mendesak agar diberi hak melihat
laporan berkenaan yang berkemungkinan akan menamakan beberapa orang
pemimpin tertinggi negara.

Laporan berkenaan telah ditulis oleh bekas ketua polis cawangan khas,
Dato' Mohamed Said Awang, dan telah dihantar kepada Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad, bersama dengan surat-surat yang ditulis oleh dua orang
yang mendedahkan kegiatan salah laku seks Anwar.

Anwar, yang telah dipecat oleh Dr. Mahathir, pada 2 September telah
menafikan dakwaan pengaruhnya digunakan agar para saksi menggugurkan
kenyataan mereka.

Anwar, yang juga bekas Menteri Kewangan, menghadapi sejumlah 10
petuduhan, dengan perbicaraan berasingan untuk petuduhan kelima
berkaitan rasuah serta lima petuduhan liwat, yang dijangka akan
berlarutan hingga bulan Jun tahun depan.

Beliau telah mengaku tidak bersalah ke atas kesemua petuduhan, yang
boleh membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara serta sebatan.

Sebelum itu, pasukan peguambela bekas Timbalan Perdana Menteri, mendesak
agar didedahkan laporan polis berkaitan apa yang didakwa konspirasi
peringkat tertinggi untuk mejatuhkan beliau.

"Laporan ini sangat penting. Ia merupakan dasar kepada perkara ini,"
peguam Christopher Fernando memberitahu Hakim Augustine Paul, yang
menghakimi perbicaraan rasuah Anwar.

Paul mengarahkan pihak pendakwa raya agar meminta kepastian dari pihak
kerajaan sama ada laporan berkenaan boleh dikemukakan di mahkamah pada
hari Jumaat. Sekiranya tidak, pihak peguambela mungkin harus membuat
permohonan rasmi untuk mendapatkannya.

Di bawah undang-undang negara beberapa dokumen kerajaan adalah bersifat
rahsia dan mungkin tidak boleh didedahkan di dalam perbicaraan di
mahkamah.

Laporan berkenaan telah ditulis pada bulan Ogos 1997 oleh bekas ketua
polis cawangan khas Mohamed Said dan dikemukakan kepada Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad bersama dengan surat-surat dari dua orang yang
mendedahkan salah laku seks Anwar.

Ekoran dari soalan dari Fernando, saksi utama pendakwa raya Said
memberitahu mahkamah bahawa beliau mungkin mendedahkan nama tokoh
ekonomi Tun Daim Zainuddin, serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal-Ehwal Pengguna, Megat Junid Megat Ayub dan beberapa pemimpin lain di
dalam laporan tersebut.

Terdahulu pihak peguambela telah menyatakan kepada Said bahawa Menteri
Tugas-tugas Khas, Tun Daim, Megat Junid, Setiausaha Politik Mahathir,
Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Besar Rahim Tamby Chik dan beberapa
pemimpin korporat dikatakan mungkin terlibat di dalam konspirasi untuk
menjatuhkan Anwar.

Said mengaku ketika disoal oleh pihak peguambela bahawa beliau mungkin
telah mendedahkan di dalam laporan berkenaan beberapa nama pemimpin
beserta isteri Megat Junid, yang dikatakan di dalam mahkamah telah
menyampaikan surat petuduhan salah laku seks Anwar kepada Mahathir.

Surat berkenaan adalah ditulis oleh Ummi Hafilda Ali, kakak kepada
Setiausaha Sulit Anwar pada masa itu.

Ketika ditanya oleh Fernando: "Adakah kamu menyatakan fakta bahawa Tun
Daim telah bertemu dengan Ummi, sebagai sebahagian dari komplot ini?"

Said menjawab: "Mungkin saya telah berbuat demikian, saya tidak
menafikannya."

Anwar sedang menjalani perbicaraan berkaitan empat petuduhan rasuah,
yang menuduhnya menggunakan kedudukan rasminya untuk melindungi dirinya
dari sebarang tindakan ataupun perbicaraan berkaitan jenayah.

Beliau menghadapi petuduhan rasuah yang lain serta lima pertuduhan
liwat. Beliau mengaku tidak bersalah ke atas kesemua petuduhan, yang
boleh membawa kepada hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Semasa sesi soal-balas dari peguam-peguam Anwar, Said berkata beliau
tidak dapat mengingati bilangan laporan yang beliau sampaikan kepada
Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkaitan kes Anwar.

"Cari laporan yang bertarikh 3 September yang dialamatkan kepada Perdana
Menteri," Hakim Augustine Paul memberitahu ketua pendakwa raya Abdul
Gani Patail.

"Kami akan membantu apa sahaja," jawab Gani.

Pada hari Jumaat, pihak pendakwa raya mengemukakan kepada mahkamah satu
daripada laporan Said yang bertarikh 20 Ogos 1997, yang telah diserahkan
kepada Mahathir beserta dengan surat-surat dari dua orang yang
mendedahkan salah laku seks Anwar.

Said, saksi utama pendakwa raya, telah menimbulkan kekecohan di mahkamah
pada hari Khamis apabila beliau mengaku bersedia untuk berbohong apabila
diminta oleh orang-orang atasannya.

"Ia bergantung kepada keadaan. Mungkin saya akan melakukannya dan
mungkin juga tidak," beliau berkata sewaktu disoal-balas oleh peguam
Anwar, Christopher Fernando.

Pada ketika ini hakim menyampuk. "Apakah situasi yang timbul apabila
anda berbuat demikian?" soal Paul.

Said menjawab bahawa beliau tidak tahu.

Ketika sesi soal-balas, beliau menyatakan bahawa beliau tidak menafikan
yang laporan dakwaannya ke atas Anwar kepada Mahathir bermotif politik.

Terdapat kawalan keselamatan yang ketat di sekitar bangunan utama
mahkamah di ibu kota Kuala Lumpur pada hari perbicaraan, di mana
perbicaraan ini harus diselesaikan sebelum berlangsungnya persidangan
ke-18 Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang bermula pada 17
November ini.

Hosted by www.Geocities.ws

1