BAHAYA SEBENARNYA DARIPADA.............


 
Date:   Sat, 31 Oct 1998 17:53:33 +0800
From:   Sekretariat GERAK  Add to Address Book
Subject: Ken. Media Bahaya Sebenar Di Hadapan
 
 

KENYATAAN MEDIA
 

BAHAYA SEBENAR DI HADAPAN

Dalam beberapa hari lalu, para pemimpin pemerintah serta pegawai polis
telah memberi amaran kepada orang ramai tentang tunjuk perasaan dan
perhimpunan awam. Mereka mendakwa bahawa pernyataan penentangan ini
boleh mengakibatkan keganasan, rusuhan kaum dan keruntuhan ketenteraman
awam.

Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), Gagasan Demokrasi
Rakyat (GAGASAN) serta kumpulan lain yang terlibat dengan perjuangan
demokratik dan perubahan politik menentang sepenuhnya segala bentuk
keganasan.

Namun begitu, kami yakin bahawa keganasan boleh dibendung hanya jikalau
pemerintah mengiktiraf serta menghormati hak warga negara melakukan
bantahan secara aman.  Kebebasan berhimpun adalah satu hak asasi
manusia. Pemerintah hendaklah membuka ruang demokrasi untuk membolehkan
rakyat melaksanakan hak ini.

Sepatutnya pemerintah mendokong hak ini, akan tetapi sebaliknya ia
menyekat keras kedua-dua kebebsan berhimpun dan menyuarakan pendapat.
Ini telah meningkatkan kemarahan rakyat apabila mereka mendapati ruang
untuk menyatakan penentangan mereka terhadap ketidakadilan menjadi
bertambah sempit.

Setelah mengasak orang ramai, pihak polis nampaknya telah memilih untuk
memprovokasi penunjuk perasaan supaya menggunakan kekerasan. Keterangan
daripada mereka yang menyaksikan tunjuk-tunjuk perasaan baru-baru ini,
terutama yang di Kampung Baru pada hari Sabtu, 24 Oktober 1998,
nampaknya menunjukkan bahawa polis telah menggunakan kekerasan
keterlaluan untuk menyurai mereka yang berhimpun. Kecederaan teruk yang
ditanggung oleh berpuluh orang - yang tidak pernah dilapor oleh media
perdana Malaysia - menjadi bukti yang nyata.

Mungkin sekali bahawa dengan mencetus keganasan  dan mengguna kekerasan
berlebihan, undang-undang serta keamanan akan runtuh, kelam-kabut serta
kecederaan berdarah, selepas itu boleh disalahkan ke atas penunjuk
perasaan. Mereka juga akan dituduh bertanggungjawab  terhadap kekacauan
kaum yang mungkin sekali dirancang oleh anasir-anasir yang hendak
memburukkan perjuangan untuk keadilan serta kebebasan. Tujuan sebenarnya
boleh jadi untuk melanjutkan kuasa mereka melindungi kekayaan mereka
melalui perisytiharan darurat.

Rakyat Malaysia yang inginkan keamanan serta keharmonian hendaklah peka
terhadap kemungkinan ini. Penunjuk perasaan yang mempunyai rasa tidak
puas hati hendaklah berjaga-jaga supaya tidak termasuk dalam perangkap
mereka yang gila kuasa dan kekayaan. Rakyat Malaysia, tidak kira latar
belakang kaum, hendaklah jangan membenarkan sebarang kuasa jahat
memecahbelah mereka dan menimbulkan huru-hara. Tidak siapa pun harus
memberi alasan kepada pihak berkuasa mengisytiharkan darurat.

Rakyat Malaysia yang kini sudah sedar akan bahaya  kuasa kuku besi
hendaklah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berazam  meneruskan
perjuangan mereka untuk masyarakat adil melalui jalan aman serta
demokratik.
 

"KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT"
 

DATO' FADZIL MOHD NOOR     Pengerusi GERAK
SDR TIAN CHUA              Pengerusi GAGASAN

1 November 1998

Hosted by www.Geocities.ws

1