GERAK SAH DI SEGI UNDANG-UNDANG NEGARA
Date: Sat, 31 Oct 1998 16:40:02 +0800
From: Sekretariat GERAK
Subject: Ken. Media GERAK Sah di Segi Undang-undang
KENYATAAN MEDIA
GERAK SAH DI SEGI UNDANG-UNDANG NEGARA
Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) merujuk kepada kenyataan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Ong Ka Ting yang dilaporkan oleh
BERNAMA pada 30 Oktober 1998. Dato' Ong Ka Ting menyebut bahawa GERAK
adalah satu pertubuhan yang tidak sah mengikut undang-undang kerana
tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.GERAK berpendapat bahawa kenyataan Dato' Ong Ka Ting itu tidak cermat
dan tidak sewajarnya dibuat. Kenyataan Ong Ka Ting ini menunjukkan
bahawa beliau tidak mendapat penjelasan yang cukup tentang bentuk
'muafakat kemanusiaan' yang dinamakan GERAK dan beliau juga tidak
mendapatkan penjelasan daripada pihak GERAK dahulu sebelum mengeluarkan
kenyataan ini.Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri ini menggambarkan ketakutan
Kerajaan Barisan Nasional terhadap sokongan yang diberikan oleh rakyat
kepada GERAK ekoran langkah-langkah dan tindakan-tindakan GERAK dalam
menangani isu-isu yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat berbilang
kaum dalam negara kita.Sebagai penjelasan kepada kenyataan tersebut, GERAK menegaskan bahawa
GERAK bukan sebuah pertubuhan organisasi tetapi GERAK bersifat
Jawatankuasa Bertindak yang disertai oleh pelbagai pertubuhan sama ada
pertubuhan politik atau bukan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan
dan sah di segi undang-undang.Perbandingan GERAK sebagai Jawatankuasa Bertindak samalah seperti Majlis
Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dibentuk oleh kerajaan yang juga
disertai oleh NGO iaitu Kesatuan Sekerja dan Persatuan Pengguna. Begitu
juga dengan Majlis Perunding Ekonomi Negara (MAPEN) yang satu ketika
dibentuk oleh kerajaan yang turut disertai oleh PAS, DAP
dan lain-lain NGO. Sedangkan MAPEN atau MTEN adalah juga badan bersifat
Jawatankuasa Bertindak bagi menangani isu penyusunan dan kegawatan
ekonomi dalam negara kita.Oleh itu tidak timbul sama sekali sama ada GERAK berdaftar atau tidak
tetapi semua badan yang berada dalam GERAK adalah sah di segi
undang-undang. Diharapkan penjelasan ini akan diterima oleh semua pihak
khususnya Kementerian Dalam Negeri dan dapat memahami kedudukan GERAK
sebenarnya. Sebarang tindakan dari pihak kerajaan ke atas GERAK akan
menambahkan lagi ketidakyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan
dan akan dilihat oleh rakyat bahawa ruang demokrasi dalam negara kita
semakin sempit."KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT"
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Sekretariat GERAK30 Oktober 1998