Taatkan pemimpin yang taatkan Allah

Tafsir Al-Quran
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tafsir Surah an-Nisa' ayat 59

Gurauan Abdullah bin Khuzafah
 

DIRIWAYATKAN di dalam Sahih Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas r.a.
bahawa ayat ini bersempena dengan satu gurauan yang dilakukan seorang
sahabat, Abdullah bin Khuzafah bin Qais bin Addi as-Sahmi al-Badri r.a.
(Seorang ahli Badar, mendapat kelebihan sebagaimana disebut di dalam
hadith qudsi: "Wahai ahli Badar beramallah kamu semahu kamu,
sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa kamu.") Beliau pernah bergurau
kepada Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk bersuka-suka dengan
melonggarkan pelana kuda Rasulullah s.a.w. supaya baginda terjatuh
darinya.

Abdullah bin Khuzafah juga ditugaskan memimpin satu pasukan tentera
pergi ke satu tempat yang diarahkan. Sebelum bertolak, Rasulullah
bersabda kepada angkatan tentera berkenaan yang bermaksud: "Kamu mesti
taat kepada pemimpin kamu. Barang siapa yang taat kepada pemimpinku maka
dia taat kepada aku." Setelah musafir beberapa lama, dia berhenti di
suatu tempat dan memerintahkan anak buahnya mengumpulkan kayu api dengan
banyaknya, kemudiannya dinyalakan api yang besar lalu memerintahkan
mereka masuk ke dalam api itu seorang demi seorang. Orang ramai merasa
hairan dengan perintah Abdullah dan enggan berbuat demikian. Abdullah
berkata: "Kamu semua masuk ke dalam api ini kerana Rasulullah s.a.w.
memerintahkan kamu taat kepadaku." Bagaimanapun mereka berkata:
"Tidakkah kami berjuang menentang musuh Allah kerana kami mahu
menyelamatkan diri dari api (neraka)?"

Tetapi Abdullah berkata: "Tidak boleh! (Kamu semua mesti taat kepada
perintahku) kerana bukankah Rasulullah s.a.w. bersabda, barangsiapa taat
kepada pemimpinku dia taat kepadaku." Mereka tetap tidak mahu mengikut
arahan itu sehingga pulang ke Madinah, mengadap Rasulullah s.a.w. dan
menceritakan apa yang berlaku.

Mereka berkata: "Kami tidak beriman kepada Allah dan tidak mengikut
RasulNya melainkan kami mahu membebaskan diri dari api (neraka)."

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Apa yang kamu buat adalah betul. Jika kamu mengikut arahan Abdulllah
masuk ke dalam api maka sampai qiamat kamu masuk ke dalamnya (kerana
kamu membunuh diri)."

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:

"Tidak harus taat kepada makhluk dalam perkara derhakakan Tuhan kerana
firman Allah yang bermaksud:

"Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu sendiri."

(Surah an-Nisa': 29)

Dengan kisah berkenaan menjelaskan kepada kita bahawa turunnya ayat ini
berpunca dari gurauan seorang sahabat Nabi s.a.w. sebagaimana firmanNya
yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasul dan ulil amri di kalangan kamu."

(Surah an-Nisa': 59)
 

______________________________________________________
 

Hosted by www.Geocities.ws

1