ISA: Dengarlah bantahan rakyat


DARI MEJA PENGARANG

27 Oktober lalu, genap sepuluh tahun Operasi Lalang, satu operasi
menahan beratus-ratus orang, termasuk ahli PAS, di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Operasi tersebut adalah antara titik
hitam dalam sejarah tanahair, bagaimana tangkapan besar-besaran
dilakukan kepada siapa saja yang diklasifikasikan sebagai 'membahayakan
kenteraman awam'. Ia menimpakan kesan buruk kepada imej negara sendiri.

Akta itu adalah akta paling kontroversi kerana ia telah mendapat
bantahan terbanyak rakyat. Ia adalah sebuah akta zalim yang telah
menimpakan pelbagai kesukaran dan kesusahan kepada rakyat. Oleh kerana
ia sebuah akta zalim, maka ia bertentangan dengan Islam dan kemanusiaan.

Sebab itu akta ini telah mendapat bantahan ramai sejak lama dulu. Ia
sebuah akta yang aneh. Tidak ada hujah rasional yang membolehkan akta
ini diteruskan. Malahan akta ini bertentangan sama sekali dengan
demokrasi berparlimen yang didakwa diamalkan oleh kerajaan sekarang.

Sebuah akta biasanya bertujuan melindungi rakyat, tetapi ISA memberi
ruang seluas-luasnya untuk pihak berkuasa menahan seseorang tanpa
bicara. Dengan demikian bagaimana sebuah akta hendak dianggap berfungsi
melindungi rakyat kiranya akta itu membuka ruang luas untuk menahan
siapa saja yang termasuk dalam istilah 'membahayakan ketenteraman awam
atau mengancam keamanan', satu istilah yang sangat luas dan mudah
digunakan kepada sesiapa saja. Kita bersetuju dengan pendapat Timbalan
Presiden PAS bahawa ISA itu lebih berfungsi menyelamatkan pemimpin yang
berkuasa. Oleh itu kita menyeru kerajaan supaya menghapuskan akta itu
kerana ia tidak bersesuaian lagi dengan keadaan dan masa, tambahan lagi
pelbagai akta seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak, Akta Polis
dan pelbagai akta lagi cukup untuk digunakan bagi mereka yang melanggar
undang-undang. Dengan demikian tidak perlu lagi Akta Keselamatan Dalam
Negeri ini.

Akta ini telah digubal asalnya untuk membasmi anasir komunis dan
subversif. Kini negara telah aman dan anasir komunis sudah tidak ada
lagi, dengan demikian tidaklah ada lagi kewajarannya melanjutkan akta
tersebut.

Seperti yang ditegaskan tadi, bahawa di dalam Islam seseorang yang
dituduh mesti diberi peluang untuk membela diri di sebuah mahkamah
terbuka dengan prosedur tertentu penuh keadilan. Ini bermakna
undang-undang yang tidak bertentangan dengan Islam ialah undang-undang
yang benar-benar adil dan pelaksanaan serta prosedurnya juga mesti
dilihat adil. Dengan demikian menahan seseorang tanpa bicara dan tanpa
dibuktikan kesalahannya seperti kes ISA adalah bertentangan dengan
Islam.

Justru itu, tidak ada hujah rasional yang menjustifikasikan akta ini
dari apa segipun. Kita percaya akta ini tidak mungkin membantu
menegakkan keadilan, keharmonian dan kestabilan di negara ini, malahan
ia menjadi batu penghalang kepada pencapaian cita-cita luhur itu.

Kerajaan mestilah mengakui bahawa kini rakyat begitu prihatin mengenai
masalah kezaliman dan keadilan, malahan inilah isu besar yang
diperkatakan oleh rakyat di sana sini. Bukan saja golongan ahli politik,
NGO, malahan badan-badan agama dan tokoh agama juga sangat prihatin
dengan isu keadilan dan menuntut supaya akta ini dihapuskan segera.
Dengan demikian kerajaan tidak mempunyai pilihan lain melainkan
menghapuskannya.______________________________________________
 

Hosted by www.Geocities.ws

1