Cabaran Umar tidak bersahut
Tazkirah
Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MATPERISTIWA yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila
Saidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara
terang-terangan, berbeda dengan pendirian para sahabat yang lain yang
terpaksa berhijrah secara rahsia.Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani, samseng semasa
kafir dan 'samseng' juga sesudah beriman. Bedanya ialah samseng semasa
kafir untuk kepentingan diri sendiri, tetapi samsing sesudah beriman
untuk kepentingan agama Allah SWT.Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk
berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa
tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk
berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi
pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya,
sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju
ke Ka'bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi
Ka'abah menyaksikan kehadiran Umar.Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi
tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang
memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam
Ibrahim dan mendirikan solat.Selesai solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan
kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. kata Umar:
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia
ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.Kata Umar lagi: Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan
disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim
piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya
menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik
bukit ini.Cabaran saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan
kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan
gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang
begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani
menyahut cabaran Umar berlawan senjata.Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya
seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah
semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka
sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak
Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata:
Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan
tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa
itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari
kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya
meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang
untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa
sebarang gangguan.Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah telah menyahut
seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para penyokong Nabi s.a.w. yang
tinggal di Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq.
Saidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka
yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan
tahanan (tahanan ISA?) oleh pihak berkuasa Quraisy, akibat tindakan
mereka menyahut seruan Islam.IKTIBAR
Cabaran dan ujian tinpa-menimpa terhadap umat Islam, sewaktu Nabi s.a.w.
menyeru manusia kepada agama Allah di Makkah. Pelbagai kesukaran dan
kekejaman oleh puak Quraisy, menggugat keimanan kaum muslimin Makkah.Ketika isu hijrah sedang hangat diperkatakan oleh puak Quraisy, yang
menganggap Muhammad s.a.w. dan pengikutnya hendak melarikan diri dari
kota Makkah, sekali lagi kekejaman puak Quraisy terhadap kaum muslimin
kian ditingkat dan semakin dahsyat. Cabaran tidak kurang jua datang dari
persiapan untuk hijrah, serta kesan dari hijrah yang bakal dialami.
Mereka terpaksa meninggalkan harta benda, rumah tempat tinggal yang
dibina dari jerih payah mengumpulkan wang sedikita demi sedikit.
Tiba-tiba rumah yang dibina dengan keringat dan susah payah itu
ditinggalkan begitu saja.Mereka berhijrah dengan persiapan ala kadar yang dapat dibawa dengan
kenderaan unta dan sebagainya, sedangkan bumi Madinah yang dituju itu
tanpa rumah tempat tinggal untuk bernaung dari panas matahari dan
kedinginan malam. Mereka terpaksa berdepan dengan dua fitanah (cabaran),
iaitu dari fitnah kezaliman penduduk makkah yang sentiasa memusuhi
Islam. Fitnah yang kedua ialah terpaksa tinggalkan rumah tangga, anak
isteri dan kampung halaman. Mereka berhadapan dengan bermacam mihnah dan
kesengsaraan kerana mematuhi perintah Allah SWT, dengan penuh sabar dan
keazaman yang kukuh.Orang-orang mukmin sebaik saja mendapat isyarat dari Nabi s.a.w. untuk
berhijrah, mereka terus beri tumpuan seratus peratus terhadap perintah
berhijrah walaupun mereka terpaksa meninggalkan tanah air dan harta
benda, barang-barang keperluan rumah, binatang ternak yang menjadi
sumber rezeki. Apa jua yang akan berlaku dalam perjalanan atau ketika
berada di Madinah, sedikitpun tidak dipeduli, yang penting melaksanakan
perintah Allah SWT. Dengan itu hati merasa puas.Kebanyakan mereka keluar dari kota Makkah sehelai sepinggang,
melangkahkan kaki dengan senyap sunyi bagaikan kucing berjalan malam.
Semua ditinggalkan dengan satu tujuan, iaitu dengan harapan Islam yang
dianuti sepenuh keyakinan akan selamat dalam genggaman. Selagi mereka
berada di Makkah, agama yang dipertahankan sentiasa terancam.Meskipun rakan dan taulan ditinggalkan di Makkah, namun mereka menaruh
harapan yang tinggi akan mendapat sahabat dan handai taulan yang baru di
Madinah.Inilah contoh insan mukmin yang ikhlas terdiri dari sahabat Nabi s.a.w.
dari kota Makkah, berkorban apa saja demi menyelamatkan Islam. Bagaimana
pula keadaan sahabat Nabi s.a.w. yang menjadi warga kota Madinah?Sesungguhnya orang-orang Madinah yang beriman dengan Nabi s.a.w. adalah
contoh orang-orang Islam terbaik, kerana mereka dengan rela hati memberi
apa jua bantuan yang diperlukan oleh Muhajirin dari Makkah. Mereka beri
rumah tempat berteduh, beri bantuan berupa harta benda untuk memulakan
kehidupan baru. walaupun mereka tidak ada pertalian nasab, namun
bermurah hati membantu dan menawarkan yang patut. Malah mereka sanggup
menyerahkan seorang dari isteri kesayang untuk diperisterikan Muhajirin.
Mereka beri modal dan ruang kedai atau pasar untuk memulakan perniagaan.Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan persaudaraan seagama lebih kuat
dari persaudaraan senasab. Sebab itulah pada peringkat permulaan Islam,
orang-orang Islam diberi harta pusaka walaupun mereka tiada hubungan
nasab. Hukum pembahagian pusaka seperti yang disyariatkan hingga ke hari
ini, ianya bermula setelah Islam begitu sempurna selepas hijrah Nabi ke
Madinah.Firman Allah SWT di dalam al-Quranul karim yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad
dengan harta dan jiwa pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan
tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka
itu satu sama lain lindung melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah.
(Akan tetapi) jika mereka minta pertolongan kepadamu dalam (urusan
pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali
terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan
Allah Maha Melihat tentang apa yang kamu kerjakan.(Surah Al-Anfal ayat 72).
Hubungan persaudaraan dengan penuh kasih sayang dan rasa
bertanggungjawab, saling bertolong bantu di antara kaum Ansar terhadap
saudaranya dari kalangan Muhajirin, telah dirakamkan oleh Allah SWT
melalui ayat di atas. Demikianlah sejarah telah mencatatkan tentang hati
dan budi penduduk Madinah yang sangat murni.