Utusan Menyiarkan Fahaman Sesat


Kenapa siar fikiran mengelirukan umat Islam

Saudara Pengarang,

SAYA merasa amat sedih dan terharu di atas kenyataan seorang lelaki yang
dinamakan dengan nama Islam iaitu Mohd Yusoff mengeluarkan pendapat
dalam ruangan forum yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 26
Oktober 1998.

Beliau tidak bersetuju dengan penyampai berita TV yang bertudung dan
ciri-ciri wanita solehah tulisan saudara Zunnasir Mokti (Utusan Malaysia
-5 Oktober 1998). Beliau juga menganggap orang yang bertudung itu nampak
hodoh dan tidak menarik. Wanita cantik dan manis serta seksi merupakan
daya penarik bagi golongan atau orang macam saudara Yusoff. Yang
menghairankan saya kenapa akhbar Utusan Malaysia menyiarkan pendapat
yang boleh mengelirukan umat Islam. Ini adalah faktor yang menyumbang
kepada gejala kegawatan aqidah dan moral.Belumpun reda kisah akhbar yang
menyampaikan berita berat sebelah seperti akhbar Utusan Malaysia, hari
ini timbul pula kisah seperti ini seolah-olah akhbar ini adalah peneraju
kepada keruntuhan aqidah umat Islam.

Dalam al-Quran dan al-Hadith telah terang-terangan menyuruh wanita Islam
supaya menutup aurat. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah
s.a.w. telah menerangkan kepada umatnya betapa pedih azab seksaan kepada
orang-orang yang tidak menutup auratnya. Tidak perlu rasanya saya
menyertakan dalil-dalil naqli kisah ini kerana memang sudah jelas
tentang hukum akan orang yang tidak menutup aurat.

Dulu suatu ketika ada orang mengatakan tidak bertudung itu tidak apa
janji keimanan kita kepada Allah ada. Ini bukan rakyat biasa yang
berkata, kalau rakyat berkata orang tak akan ikut. Ini kata-kata isteri
pemimpin kita. Apa jawab Pusat Islam? Diam tak kata apa.

Bagi saya kenyataan ini bukan kerana kurangnya pengetahuan saudara Mohd
Yusoff tentang Islam tetapi adalah kerana kerajaan sendiri yang
membenarkan hal ini berlaku. Pusat Islam dan menteri di Jabatan Perdana
Menteri sendiri, melopong dan mengiyakan sahaja tindakan yang
bertentangan dengan agama Islam. Betullah kata seorang penceramah yang
kaset ceramahnya telah diharamkan oleh kerajaan 'Fikiran kita dah tak
aman sekarang'. Jelas kepada kita bahawa perkara sebenar telah timbul di
celah-celah kemungkaran dan pembohongan.

CAHAYA PENA,
Kuala Lumpur.
 
 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1