Umno kian gawat selepas isu pecatOleh: ANN WAN SENGBERBAGAI khabar angin tersebar sejak Dato' Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatannya dalam kerajaan dan dipecat daripada Umno kemudiannya ditahan pula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Banyak khabar sama ada benar atau pun palsu telah tersebar dan disebar secara lisan yang mungkin dikutip daripada internet. Begitu juga dengan surat layang masih lagi berterbangan dan mendedahkan banyak perkara yang tidak kita ketahui selama ini. Dalam keadaan sekarang ini, kita seharusnya ingin berhati-hati sebelum menerima sesuatu perkhabaran itu sebagai benar ataupun sebaliknya. Dengan kata lain, kita sebagai makhluk yang dikurniakan akal seharusnya menggunakan rasionaliti kita di dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan. Hanya fikiran yang waras sahajalah yang mampu membuat keputusan dan pertimbangan yang tepat serta mampu menyelesaikan sesuatu permasalahan yang berbangkit. Rakyat negara ini semakin bijak dan tahu membezakan mana yang benar dengan mana yang batil. Ledakan teknologi maklumat yang berlaku di negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membolehkan mereka mendapat serta memperolehi berbagai maklumat daripada pelbagai sumber. Jadi, sumber utama maklumat mereka tidak lagi media massa tetapi daripada berbagai saluran yang lebih canggih sifatnya. Oleh itu, apa sahaja perkara yang berlaku di tempat lain akan diketahui pada masa itu juga. Cuma yang menjadi masalah kepada kita ialah disebabkan terlalu banyak maklumat yang masuk maka kita kadang-kala menjadi terkeliru. Barangkali inilah yang sedang dihadapi oleh ahli-ahli Umno pada masa kini khususnya yang berada di peringkat 'grassroot'. Mereka rata-ratanya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada parti Umno berhubung pelucutan jawatan Anwar dan pemecatan keahliannya di dalam parti. Justeru itu, ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Ada pula yang tidak setuju dengan cara kepimpinan Umno menangani isu Anwar ini lantas mengisytiharkan dirinya keluar daripada Umno. Tidak kurang juga yang bertindak dengan menyertai parti PAS. Tetapi yang pastinya para penyokong Anwar di dalam Angkatan Belia Islam (Abim) dan berbagai pertubuhan lain tidak akan menyebelahi Umno lagi. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa ada juga di kalangan mereka yang menyokong Anwar telah berpaling tadah dengan menyokong kepimpinan Dr. Mahathir. Sokongan yang diberikan kepada Dr. Mahathir boleh dikatakan datangnya daripada hampir semua pemimpin utama Umno kecuali Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Pergerakan Pemuda Umno yang lain. Malahan adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan di sini kemungkinan lebih ramai penyokong Anwar akan memalingkan sokongannya kepada Dr. Mahathir demi menjaga kedudukan serta periuk nasinya. Golongan ini apabila melihat kedudukan Anwar semakin terdesak dan mendesak akan lari daripada terus memberikan sokongan kepada Anwar. Tetapi dalam masa yang sama, bilangan mereka yang bersimpati dengan Anwar didapati semakin bertambah. Perkembangan yang berlaku di dalam Umno ini tidak memberikan sebarang keuntungan kepada parti itu. Kalau isu Anwar tidak atau gagal ditangani dengan sebaik yang mungkin tidak mustahil Umno akan mengalami perpecahan yang serius buat kali kedua. Perpecahan yang berlaku pada pertengahan tahun 1980an telah menyebabkan Umno diisytiharkan sebagai parti yang tidak sah. Akibatnya Umno berpecah kepada dua sehingga melahirkan Parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh. Oleh itu, kemungkinan untuk Umno berpecah sekali lagi adalah besar. Malah para pemerhati politik meramalkan bahawa perpecahan yang bakal belaku dalam Umno kali ini adalah lebih besar dan serius berbanding perpecahan yang berlaku sebelum ini. Walaupun tidak ramai pemimpin penting dalam Umno sama ada di peringkat pusat ataupun negeri menyatakan sokongan terbukanya kepada Anwar tetapi ia sebenarnnya tidak mencerminkan keseluruhan sikap ahli-ahli parti itu di peringkat bawahan. Ahli-ahli Umno di peringkat 'grassroot' nampaknya lebih menyebelahi dan bersimpati dengan Anwar. Cuma mereka tidak mempunyai saluran untuk menyatakan sikap tersebut. Manakala sebahagian lagi agak kesal dan tidak setuju dengan cara Umno mengendalikan kes Anwar ini yang disifatkannya sebagai agak keterlaluan. Ramai yang masih lagi berada dalam keadaan terpinga-pinga mengenai apa yang sebenarnya telah dan sedang berlaku. Apa yang berlaku ke atas diri Anwar adalah terlalu cepat seolah-olah apa yang disogokkan kepada kita itu merupakan suatu tayangan filem yang telah disusun plot dan penceritaannya. Ahli-ahli Umno dan rakyat negara masih menunggu apa yang akan berlaku serta dilakukan ke atas Anwar. Walau apapun kesudahannya, keyakinan ahli-ahli Umno terhadap partinya semakin menipis dan terhakis. Biarpun Umno tidak berpecah dalam erti kata yang sebenarnya tetapi perpecahan yang akan berlaku kelak akan menyaksikan Umno dan BN hilang sebahagian daripada sokongan serta undi yang diberikan kepadanya sebelum ini. Pilihan raya umum ke 10 akan menjadi medan dan ujian kepada parti Umno serta BN sama ada masih mendapat sokongan daripada rakyat ataupun ditolak oleh pengundi dan ahlinya sendiri. |