Tiada tokoh layak ganti AnwarKOTA BHARU: Umno kini disifatkan kekurangan tokoh yang berkelayakan untuk menggantikan tempat Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila Perdana Menteri membiarkan jawatan itu kosong sehingga tahun depan.Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Haji Husam Musa berkata, sekiranya ada tokoh yang berkelayakan sudah tentu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad melantiknya mengisi jawatan tersebut. Menurutnya, Perdana Menteri juga mungkin melihat persaingan yang sengit di antara Dato' Seri Najib Razak dan Dato' Seri Abdullah Badawi untuk merebut jawatan tersebut. "Persaingan juga memungkinkan wujud perpecahan yang semakin parah di dalam Umno," katanya pada ceramah di kedai Mulong, baru-baru ini. Bekas calon PAS di Changkat Jering, Ustaz Idris Ahmad dan bekas pembantu khas Timbalan Menteri Besar II, Adnan Mohd Zin, Naib Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Sheikh Mohsin dan Penyelia Dun Salor, Haji Ibrahim Isa hadir sama. Haji Husam berkata, perpecahan yang wujud dalam Umno sekarang akan memberi peluang cerah kepada pembangkang di Kedah dan Pulau Pinang. Beliau juga mencadangkan Dato' Seri Anwar dan Dato' Seri Abdullah mengadakan debat bagi menegakkan kebenaran berdasar isu yang berlaku ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri sekarang. "Abdullah kemukakan hujah sebab Anwar patut dipecat dan Anwar berhujah bagi mempertahankan dirinya," katanya. Ustaz Idris berkata, sekiranya masih ada rakyat negara ini memberi sokongan kepada Umno pada pilihan raya umum akan datang, mereka mengkhianati masa depan generasi sendiri. |