HARAKAH : Jika saya mengaku ejen Dr. Mahathir

Jika saya mengaku ejen Dr. Mahathir - Syed Husin Ali

 

TEMERLOH: Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali yakin, senario politik negara ini tidak berlaku sebagaimana sekarang jika beliau mengaku menjadi ejen Dr Mahathir semasa ditahan di bawah ISA. 

Menceritakan pengalamannya semasa ditahan, Dr Syed Husin berkata, beliau tidak diapa-apakan selama dua bulan pertama ditahan tetapi selepas tempoh itu mereka menyuruh beliau mengaku menjadi orang perantara Dr Mahathir Mohamad dengan gerakan bawah tanah. 

"Saya tidak mengaku kerana tuduhan itu tidak benar, dan tuduhan dipercayai dibuat semata-mata untuk menjerat Mahathir, supaya beliau tidak menjadi Perdana Menteri. 

"Jika saya mengaku sudah tentulah senario politik negara berubah dan kemungkinan Mahathir tidak jadi PM dan Anwar tidak di tuduh seperti sekarang," katanya ketika berucap pada majlis penerangan Gerak di Darul Amin, dekat sini Selasa lalu. 

Dalam ucapannya juga, Dr Syed Husin Ali menyeru rakyat menyokong usaha Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) menentang ISA. 

Menurutnya, beliau menyokong usaha Gerak menentang apa jua bentuk kezaliman termasuk Akta ISA kerana memang disuruh oleh Allah S.W.T. 

Jelas beliau, ISA merupakan akta zalim dan terdapat dua keadaan yang memungkinkan pihak berkuasa menggunakannya sebagai jalan untuk menyelamatkan kedudukan mereka. 

Katanya, ISA akan digunakan apabila berlaku krisis di dalam parti (Umno) dan kedua apabila berlaku kemelesetan ekonomi. 

"Kedua-dua faktor ini telah wujud sekarang dan pihak berkuasa telah pun menggunakan akta itu," katanya. 

Menurut beliau, sebagai bekas mangsa akta zalim itu beliau merasai sendiri kezaliman yang dilakukan ke atasnya apabila ditahan selama 6 tahun tanpa dibicarakan di mahkamah. 

"Ada orang ditahan selama 2 hari, ada yang ditahan 2 minggu ada 2 tahun, tetapi saya 6 tahun. 

"Bagaimanapun pengalaman tahanan adalah berbeza di antara satu dengan lain, ada yang dipukul dan ada yang tidak dijentik pun," ceritanya. 

Dalam ucapannya, Syed Hussein turut mempersoalkan cerita bekas tahanan ISA yang baru dibebaskan kerana mereka memberi pengakuan yang sama, tidak dipukul atau pun dijentik. 

"Semua berkata mereka dilayan dengan baik dan polis menjalankan soal siasat secara profesional, kadang-kadang penumbuk pun profesional juga," katanya berseloroh. 

  

Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1