Runtuhnya sebuah projek mega dhirar UmnoOleh: MOHAMED ZAINAL ABIDIN HUSSINONSEP dhirar merupakan suatu yang dikenal dengan jelas dalam sejarah Islam. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah maka muncullah golongan yang cuba untuk mempertahankan status quo mereka. Golongan ini adalah kelas atasan yang sudah lama memegang kuasa di Madinah. Dengan kedatangan baginda Rasulullah s.a.w adalah dibimbangi kedudukan mereka dalam masyarakat Madinah akan berubah. Mereka enggan menerima kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w. walaupun mereka tahu tidak lagi mampu untuk mempertahankan struktur sosial yang sedia wujud. Kaedah yang diambil oleh golongan ini ialah mereka cuba menjuarai aspek-aspek tertentu di kalangan masyarakat Islam. Secara khusus kegiatan-kegiatan Islam yang menggunakan harta benda dan perbelanjaan yang besar. Ini termasuklah mengadakan jamuan makan atau membina bangunan-bangunan yang dianjurkan oleh Islam. BAKAR MASJID DHIRAR Dalam kisah yang terkenal Rasulullah s.a.w pernah mengarahkan sahabat-sahabat baginda membakar sebuah masjid yang didirikan atas dasar dhirar ini. Umat Islam sentiasa menjadikan kisah ini sebagai iktibar dalam memahami tentang wujudnya usaha mereka yang sebenarnya tidak beriman tetapi cuba mendapat perhatian melalui amalan-amalan dhirar mereka. Kepada mereka pengamal kerja-kerja dhirar, mereka tidak mahu kegiatan Islam yang mereka lakukan berkembang. Kegiatan Islam yang mereka lakukan hanyalah untuk menarik perhatian orang ramai supaya memuji kebaikan mereka. Malah mereka menjadi bimbang jika kegiatan Islam pura-pura yang mereka mulakan mendapat sambutan ramai dan akhirnya merebak dan dikembangkan oleh orang-orang yang ikhlas. Pada peringkat ini biasanya penganjur-penganjur dhirar akan menunjukkan sikap yang berbeza. Mereka akan menjadi musuh kepada kegiatan-kegiatan yang pada mulanya dianjurkan oleh mereka sendiri. Di negara kita, perjuangan kemerdekaan telah dimulakan oleh umat Islam. Melalui semangat jihad, perjuangan menentang Inggeris dapat diterima dengan mudah. Hasrat asal menentang Inggeris ialah untuk menolak penjajahan kufar dan mengembalikan sistem kenegaraan dan kemasyarakatan yang berasaskan Islam. Penjajah Inggeris walau bagaimanapun mempunyai kecekapan yang cukup untuk menghalang wujudnya sebuah negara dan masyarakat Islam. Dengan pengalaman menghadapi umat Islam di seluruh dunia mereka cukup faham bagaimana memastikan kemerdekaan akhirnya menyeleweng dari hasrat asal majoriti pejuang-pejuangnya. Dengan merancang persiapan yang rapi dari awal, golongan atasan dalam masyarakat Islam diberi didikan Inggeris. Mereka akhirnya makin jauh dari kefahaman Islam yang sebenar. Mereka melihat Islam seperti orang-orang Inggeris melihat agama Kristian dalam masyarakat mereka. Islam bagi mereka tidak lebih dari upacara-upacara ritual semata-mata. Menjelang kemerdekaan golongan ini ditatang dengan sempurna oleh pihak Inggeris untuk dilihat oleh rakyat sebagai jaguh-jaguh yang membela masyarakat umum. Melalui konspirasi Inggeris dan elit yang sebenarnya telah mewakili pemikiran penjajah ini kemerdekaan kononnya telah diberikan kepada penduduk tempatan. TRADISI INGGERISHakikatnya, tidak ada perbezaan dalam perkara-perkara asas. Undang-undang dan sistem politik dicedok hampir seratus peratus dari tradisi Inggeris. Bukan sahaja sistem itu tidak dirujuk langsung kepada ajaran Islam, malah tradisi-tradisi tempatan pun tidak pernah diambil kira. Seperti yang diketahui umum, Lord Reid yang mengetuai...perlembagaan negara bukan seorang Islam atau rakyat tempatan.Dalam bidang ekonomi, selain meneruskan tradisi kapitalis, pelbagai peraturan terus dikekalkan bagi mempastikan kepentingan asing terus dipelihara. Walaupun berlaku sedikit penyesuaian (adjustment) selepas rusuhan kaum 1969, sistem asal yang bertunjangkan kapitalis berteraskan sistem riba terus diterima sebagai asas amalan ekonomi negara. Dalam sistem sosial segala yang telah diasaskan penjajah terus disuburkan. Pendidikan Islam terus di ketepikan. Ia hanya wujud atas ihsan rakyat yang cintakan Islam. Peruntukan negara tidak memberi perhatian. Malah pelbagai akta terus menerus dipaksakan hingga generasi baru semakin jauh dari ajaran al-Quran dan Sunnah. Hingga huruf-huruf al-Quran pun tidak lagi dikenali oleh generasi yang kononnya merdeka! Umat Islam yang prihatin bukanlah tidak menyedari fenomena ini. Melalui pelbagai saluran mereka menuntut supaya Islam dilaksanakan seperti yang dikehendaki al-Quran dan Sunnah. Pelbagai usaha dari persatuan-persatuan di peringkat pelajar hinggalah parti politik Islam telah muncul. Mereka cuba memberi peringatan agar Islam dikembalikan ke tempatnya. Menyedari sambutan masyarakat Islam terhadap usaha inilah munculnya tindak balas dari pihak pemerintah. Di satu pihak Islam disisihkan sejauh-jauhnya dari arus perdana negara. Di satu pihak lain pemerintah cuba menunjukkan sikap "kami juga sayang dan berusaha meninggikan syiar Islam". Taktik paling awal yang dilakukan ialah menunjukkan prihatin kepada institusi masjid. Dari pembinaan masjid negara hinggalah bantuan-bantuan kepada masjid di kampung-kampung telah djadikan isu untuk menunjukkan sikap prihatin kerajaan kepada Islam. PERALAT ISLAMSelain itu, aktiviti-aktiviti yang bersangkutan dengan Islam telah dijadikan alat untuk menarik pandangan umum bahawa pihak kerajaan mengambil berat tentang Islam. Sambutan Maulud Nabi biasanya telah diperbesar-besarkan. Suatu ketika perarakan besar-besaran telah diadakan di seluruh negara. Aktiviti lain turut diperalatkan. Musabaqah membaca al-Quran umpamanya. Malaysia begitu bangga menunjukkan kepada dunia betapa Islamnya negara ini menjadi penganjur aktiviti ini di peringkat antarabangsa.Semua ini bagaimanapun dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat akan sifat dhirarnya. Tentang masjid umpamanya, semua orang tahu mana-mana negara pun di dunia, termasuk yang bukan Islam tidak menghalang pembangunannya. Asalkan masjid terus difahami secara jumud sebagai tempat ibadat yang tidak berfungsi untuk mempengaruhi masyarakat dalam isu-isu yang lebih mendasar. Sejak awal tahun 70 an hingga awal tahun 80 an merupakan tempoh masa yang menunjukkan kesedaran baru bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Keadaan ini tidak terkecuali di Malaysia. Selain PAS, sebuah parti politik Islam yang sejak awal mempunyai pandangan yang jelas tentang perlunya diwujudkan sebuah masyarakat yang berpandu sepenuhnya kepada al-Quran dan Sunnah, muncul pelbagai pergerakan Islam yang mendesak kerajaan dan masyarakat meninggalkan sistem sekular dan kembali menghayati Islam. Antara pergerakan yang menonjol ialah Angkatan Belia Islam (Abim) yang pada waktu itu diketuai oleh Saudara Anwar Ibrahim (sekarang Dato' Seri). Didukungi oleh golongan terpelajar lepasan Institut Pengajian Tinggi, pergerakan ini cukup cekap menyelongkar projek-projek dhirar kerajaan untuk mengabui mata umat Islam. Meskipun bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Abim amat ditakuti kerajaan. Suara Abim menyebabkan pihak pemerintah merasa tergugat, semakin merebak kegiatan pertubuhan ini, semakin hilang kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan kerana menyedari bahawa projek-projek Islam kerajaan tidak lebih dari tipu helah semata-mata. Hingga pada satu kemuncak, pihak kerajaan telah memperkenalkan akta pertubuhan yang menghalang pertubuhan -pertubuhan bukan parti politik dari mengkritik dasar-dasar kerajaan. Secara langsung akta ini sebenarnya ditujukan kepada Abim. PERKARA SAMPINGANSebaik saja Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau telah mengubah taktik berhubung dengan soal Islam. Beliau cukup sedar taktik-taktik lama yang telah dibincangkan tidak lagi diterima rakyat. Umat Islam mahukan perlaksanaan Islam yang lebih asasi dalam soal-soal politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.Dr. Mahathir memperkenalkan apa yang beliau namakan 'penerapan nilai-nilai Islam'. Tanpa mengubah sebarang perkara asas dalam perjalanan sebuah negara beberapa perkara sampingan yang kononnya Islamik telah dikemukakan. Ketika inilah Dr. Mahathir berjaya membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam Umno dan kemudian kerajaan. Anwar, dengan keghairahan untuk menukarkan idealisme kepada kenyataan dengan penuh yakin menyahut seruan Dr. Mahathir. Tanpa mempedulikan tegahan sahabat-sahabat utama dan ulama'-ulama' terkenal beliau telah bersedia untuk memulakan tugas baru. Memperkukuhkan Umno dengan laungan kononnya Islam bentuk baru. Tugas Umno dalam menghadapi desakan umat Islam telah menjadi ringan. Program-program dhirar jenis lama seperti pembinaan dan perhiasan masjid, musabaqah al-Quran, perarakan maulud tidak perlu diperbesar-besarkan lagi. Anwar telah memperkenalkan penerapan Islam dalam pelbagai bidang. Pendidikan dengan bersimbolkan Universiti Islam Antarabangsa. Ekonomi bersimbolkan Bank Islam. Dalam bidang pentadbiran dan politik kononnya pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan bagi diserasikan dengan kehendak Islam. Semua ini pada mulanya menggembirakan pemimpin-pemimpin Umno kerana keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin bertambah. Mereka tidak lagi bersusah-payah untuk menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menunjukkan betapa Islamnya kerajaan Malaysia. Cukuplah ditunjukkan ketokohan Anwar Ibrahim seorang bekas pemimpin 'besar' gerakan Islam, maka rakyat boleh tidur lena. Proses penerapan nilai Islam ini bagaimanapun mengundang bahaya kepada Umno sebagai parti sekular yang tidak pernah bercita-cita menukar dasar negara supaya selari dengan ajaran al-Quran dan Sunnah. Proses yang berlaku ialah penerapan Islam telah diambil kesempatan oleh mereka yang ingin turut serta menyumbang kepada Islam. Di dalam dan di luar kerajaan mereka yang ikhlas ini cuba menggunakan sebanyak mungkin ruang yang ada dalam proses penerapan Islam. Walaupun kemampuan mereka dan ruang yang ada sebenarnya terbatas, perlahan-lahan perubahan kelihatan semakin jelas. Di mana-mana ada program khusus atau perjumpaan, tidak sempurna jika tidak ada ceramah agama, tazkirah, qiamullail dan sebagainya. Termasuk kursus atau perjumpaan di kalangan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang dulunya amat asing daripada fenomena seperti ini. PROJEK DHIRAR BENTUK BARU Dengan anggapan bahawa Anwar benar-benar pilihan Dr. Mahathir untuk merubah Umno ke arah yang lebih Islamik, ahli-ahli Umno terus memberi sokongan kepada beliau. Seperti yang telah banyak diperkatakan, kenaikan pangkat Anwar yang begitu mendadak dalam Umno adalah sesuatu yang cukup ajaib. Semua ini sebenarnya amat menakutkan pendukung-pendukung sejati Umno. Mereka pada mulanya mahu menjadikan Anwar sebagai batu loncatan. Mereka hanya mahu Anwar mengemukakan projek dhirar bentuk baru yang belum dikenali masyarakat. Malangnya pada kacamata mereka, projek ini telah mula membakar diri mereka sendiri. Meskipun dari pandangan Islam yang sebenar, penerapan Islam cara Anwar tidak langsung bertepatan dengan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah, namun bunga-bungaan perlaksanaan Islam ini sudah cukup menakut-nakutkan manusia sekular. Dengan itu atas apa alasan pun Anwar Ibrahim terpecat dari Umno dan kerajaan, peristiwa ini membolehkan mereka menarik nafas lega. Bagi Anwar dan pengikut-pengikutnya yang ikhlas, peristiwa ini harus dianggap pertolongan Allah kepada mereka. Mereka terlepas dari tipu daya untuk memperalatkan orang-orang yang ikhlas dalam menjayakan sebuah projek dhirar terbesar di penghujung abad ini. |