MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

1001 dalil untuk Umno 

BAGAI yang ditunggu-tunggu Dr. Mahathir pun menyingkirkan timbalannya yang ketika baik dalam kabinet mahu pun dalam partinya Umno.

Ia berlaku persis apa yang saya sebut di ruangan ini dalam keluaran sebelum Dr. Mahathir bertindak. Apakah dia baca atau tidak baca komen saya mengingatkan akan ekoran jika dia memecat juga timbalannya. 

Adalah hak Perdana Menteri atau biasa bagi mana-mana Perdana Menteri untuk memilih sesiapa bagi menjadi timbalannya atau menyingkirkannya. 

Maka dia tahu dan mesti sedia memikul risiko atas tindakannya itu. Dia sudah pasti menerima reaksi yang payah diramalkan. 

Ketika berpisah dengan dua timbalannya yang lalu - Tan Sri Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba, ternyata Dr. Mahathir berjaya melepasi risikonya. Tetapi kali ini, adakah dia terselamat lagi. 

Adapun tindakan yang terbaru ini Dr. Mahathir terpaksa menggunakan tindakan memecat, suatu yang tidak berlaku sebelumnya. Dulu dia menerima perletakan jawatan saja. Tindakan yang terbaru itu tentunya tidak terburu-buru. 

Kira-kira empat tahun lalu atau selepas Tun Ghafar tersingkir dari kedudukannya, Dr. Mahathir memberi isyarat untuk membuangnya. Dalam salah satu ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno, Dr. Mahathir menyebut tentang adanyaBrutus dalam Umno. 

Brutus adalah timbalan Jelius Ceaser yang berserta dalam complot membunuhnya. Jelas "Brutus" yang dimaksudkan itu adalah timbalan Dr. Mahathir yang ketiga yang tersingkir itu. 

Setelah lama menunggu Dr. Mahathir pun memecatnya. Bermula dengan menyingkirnya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan lain-lain jawatan dalam kerajaan dan parti. 

Reaksi orang ramai - Umno dan bukan Umno bersedih. Pegawai kerajaan dan orang awam lainnya terharu. Mana yang patut menitiskan air mata lalu mengesat pipi dan mata. Mana yang tak berkata, diam saja. Yang lain masam dan terkuncam. 

Hanya orang-orang tertentu yang rapat dengan Perdana Menteri saja yang bergembira. Ia bererti selamat untuk mereka dalam politik dan kedudukan. 

Ia diikuti dengan siaran afidavit Dato' Nalla yang menggabarkan dia warisan kaum Luth. Dia belum didakwa dan belum dimahkamahkan, belum didengar disiasat, tetapi seperti jatuhkan hukum. 

Lain-lain dalil tidak disebut, dalil yang disebut kepada umum yang menyebabkan dia dipecat ialah atas alasan peribadi. Maka apa lagi kalau tidak warisan kaum Luth tadi. 

Yang suka pun ada, yang percaya pun ada, tetapi dipercayai yang sedih bertambah sedih dan mereka pun bersuara. "Mustahil!" 

Bilangannya tidak sedikit. Yang macam itu berpelajaran, berkedudukan, berjawatan dan macam-macam lagi. 

Lepas itu dia dipecat dari ahli Umno. Maka yang sedih, bersuara dan yang kecewa tadi sudah menjadi simpati pula. Untuk berapa hari? 

Keadaan hampir berubah. Yang bersungut tentangnya dulu, mula bergerak ke kediamannya. Mungkin lama tak mendengar bercakap bebas dari kedudukan kerajaan. Yang tak suka mendengar ceramah pembangkang pun mulai suka mendengar apa yang dikatakan kepincangan kerajaan. 

Maka pada hari-hari awal dan minggu pertama, tokoh-tokoh dan orang Umno yang berkedudukan saja yang berkata mereka menyokong Perdana Menteri. Antaranya orang Umno yang menjadi orang kuat mangsa yang terpecat itu. 

Apakah mereka berlakon atau mereka bersikap seperti Harmoko dan lain menjelang kejatuhan Suharto. Mereka semua memberi tahu Suharto bahawa dia diperlukan dan semua mahukan dia. Jadilah dia calon Presiden yang disokong seratus peratus. 

Kemudian mereka yang tadinya mengaku di bawah dagu Suharto berlumba-lumba memakai baju reformasi. 

Sekarang bekas Timbalan Perdana Menteri dipercayai boleh tidur jika dia mahu tidur, tetapi tidak tidur kerana ramainya orang datang ke rumahnya berkampung dan berkabung. 

Perdana Menteri dan orang-orangnya pula dipercayai tak tidur sekalipun mereka mahu tidur. Banyak kata-kata defensif keluar dari mulut pembesar awam dan pembesar beryuniform. 

Dia tidak ke mana-mana dan tidak ada media tempatan yang menyebarkan kata-kata dan buah fikirannya. Tetapi keadaannya tersebar hingga ke kutub utara dan selatan. 

Semua orang-orang Perdana Menteri mengingatkannya itu dan ini seolah-olah dia Timbalan Perdana Menteri lagi dan Timbalan Presiden Umno lagi. Seolah-oleh pemimpin-pemimpin Umno itu tak tahu dia sudah dipecat dan bukan ahli Umno lagi. 

Jika dia ahli Umno maka wajarlah pemimpin Umno mengambil tindakan disiplin, melarang itu dan ini. Seperti memecatnya dari ahli. Sekarang adakah Umno dapat memecatnya dari tidak menjadi ahli pula? 

Sepatutnya Umno tidak perlu sebok. Umno sudah tidak mahukan dia lagi maka Umno tidak perlu membuang masa memikirkan tentangnya. Kalau Datuk Onn boleh Umno hadapi dengan mudah, Aziz Ishak dan Datuk Harun Idris habis begitu saja, dan Tengku Razaleigh dan Ghafar Baba pun kini menikus kepada Dr. Mahathir semula, mengapa Umno dan kerajaan bertungkus lumus menghadapinya? 

Ternyata bagi saya Dr. Mahathir, Umno dan kerajaan terpaksa menghadapinya setiap minit. 

Semua sekarang mulai gaduh tentang surat-surat sebaran yang ditinggalkan di Masjid dan surau-surau hingga masing-masing tak sedar bertimbun-timbunnya buku "Dalil" di kebanyakan pintu masjid di seluruh negara. 

Hingga sekarang dipercayai lebih banyak keset ucapan rengkasnya yang berharga sampai RM10 satu terjual daripada buku "Dalil" percuma. 

Mengapa Umno dan Dr. Mahathir mesti gaduh dengannya? Adakah bagi Umno dia lebih hebat dari Datuk Onn, dari Cikgu Muhamad Nor Ahmad, dari Dato' Harun dan dari Tengku Razaleigh? 

Sepatutnya Umno mesti menumpukan kerja-kerja bagaimana hendak menyatukan tenaganya dari memberikan penuh tumpuan kepada bekas ahlinya yang tidak berparti dan tak ada kedudukan sekarang. 

Umno sudah tentu banyak masalah hendak dihadapi. Pertama Umno mesti mencari seorang Timbalan Presiden dan ia memerlukan tiga orang Naib Presiden. Ia mencari Ketua Pemuda dan Ketua Wanita. 

Sudah tentu banyak buku dan surat terpaksa dikarang. Sudah tentu lepas ini banyak lagi dalil akan keluar. Sekarang pun sudah ada dalil tentang Dr. Mahathir mesti berhenti. Umno mesti berusaha membuat beratus-ratus dalil mengapa Dr. Mahathir tak boleh berhenti. 

Sudah tentu ada Dalil Dato' Abdullah Badawi tak boleh jadi calon Timbalan Presiden dan l001 dalil Najib tidak boleh jadi timbalan. 

Bukan mustahil sejuta dalil Zahid Hamidi mesti jadi Ketua Pemuda lagi dan mungkin ada pula beratus-ratus dalil dengan Hisyamuddin jangan lupa apa Umno buat pada datuknya iaitu Dato' Onn dulu. 

Saudara mara Datuk Onn tidak lupa. Tetapi Tun Hussein Onn dan anaknya mungkin lupa. Mereka sudah tidak ingat bahawa PASlah yang memberi laluan memungkin Datuk Onn jadi ahli Parlimen. Jika tidak, Dato' Onn tak merasa jadi ahli Parlimen. 

Maka ternyata bahawa Umno masih tidak selesai dan sudah tentu ia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk memikirkan tentang kesejahteraan negara dan rakyat. 

Babak baru bermula lagi dan ini sudah tentu menyulitkan lagi negara untuk memulihkan kegawatan ekonomi. 

Perdana Menteri sudah penat keliling negara sebelum memecat timbalannya hingga tidak lalu ke sidang Nam. Lepas ini dia penat lagi untuk menemui Umno supaya mengesahkan pemecatan timbalannya. 

Tidak pasti siapa antara kedua lebih penat? 

Ke Laman Utama
Hosted by www.Geocities.ws

1